Wednesday, December 31, 2008

Berpindah, Berubah, Beralih Arah.

Rasanya masih sempat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 buat semua umat Islam. Dah lama tak menulis di blog kerana beberapa kesukaran dan halangan yang dialami. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan kelapangan untuk berdakwah menggunakan medium ini.

Bercerita tentang tahun baru Hijrah, ianya dimulakan dengan peristiwa yang pastinya membangkitkan bara di hati apabila Gaza diserang lagi secara berterusan hingga ada yang menyebabkan ratusan umat Islam terbunuh. Di sini saya sertakan sedikit maklumat tentang aktiviti Yahudi yang saya dapati:

1 Januari 1948 ? kira-kira 200 pelampau Yahudi bersenjata mesingan dan bom tangan menceroboh kampung Al-Sheikh (5 km di tenggara Haifa) lalu membunuh wanita dan kanak-kanak.
10 April 1948 ? dalam Operation Unity, pengganas Haganah, Irgun dan Stern bersatu mengepung kampung Deir Yassin selama dua hari. Dalam tempoh itu 250 orang Arab dibunuh dan dengan kejam dan wanitanya dirogol. Seramai 25 orang wanita hamil dibelah perutnya dan bayi mereka disembelih, 52 kanak-kanak dikudungkan kaki dan tangan.
11 Julai 1948 ? Batalion ke-89 komando Yahudi yang diketuai Moshe Dayan menawarkan pengampunan kepada penduduk Islam Lyadd dan Ramle setelah berjaya menawan berkumpul di Masjid Dahmash seperti di janjikan. Namun malang, perlindungan yang diharapkan rupanya bala yang tiba, mereka semua mati.
18 September 1982: Seramai 3,000 kanak-kanak dan wanita Palestin disembelih di khemah di Sabra dan Shatila di Lebanon. Ketua tukang sembelih itu ialah Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel sekarang.

Itu hanya sebahagian sahaja. Serangan udara baru-baru ini benar-benar membuatkan saya terpana seketika. Perasaan marah, benci, semuanya meluap-luap. Walau tidak berada bersama-sama mereka tapi bak kata pepatah, cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. Walau tidak sesakit mana, ianya satu perbuatan yang memang dikeji umat Islam yang memahami erti perjuangan ini. Oleh sebab itu, saya mengharapkan jika ada insan-insan di luar sana yang masih mengambil remeh perkara ini, endah tak endah hal saudara kita di Palestin, marilah kita bersama-sama berubah dan membantu mereka sebelum kejayaan tiba dan kesempatan untuk berjihad sudah tiada. Andaikata pahala itu boleh dihitung, maka pahala untuk jihad ini rasanya tidak terhitung dek kerana besar nilainya disisi Allah.

"Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengannya (al-Quran) dengan jihad yang besar" (Al-Furqan, 52)

Pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk membantu rakyat Palestin ini. Bukan semestinya kita kesana, tetapi bantuan kita juga boleh bermula disini.

Tahun 1429H membawa saya kepada banyak perubahan dalam diri dan pengalaman-pengalaman hidup yang sangat berharga. Kesabaran dan keteguhan iman benar-benar diuji sedikit demi sedikit. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Ujian ditempuhi dengan berkat dan rahmatNya.

Buat sahabat-sahabat, doakan saya berjaya menempuh tahun ini dengan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga perjuangan ini mampu saya teruskan dengan berbekalkan sedikit ilmu yang ada.

Monday, December 1, 2008

Motivasi: Brainwash.


Minggu lepas saya dihubungi oleh sahabat-sahabat lama yang sama bertugas sebagai fasilitator untuk kembali bertugas di bawah syarikat Master Even Management; sebuah syarikat yang mengendalikan program-program motivasi di kem sekitar Sungai Gombak. Kali ini merupakan program kem ibadah smart solat yang melibatkan pelajar seluruh Malaysia dari peringkat rendah hinggalah menengah. Peserta termuda berusia 8 tahun manakala peserta tertua berusia 15 tahun.

Apa yang menariknya tentang peserta-peserta ini ialah mereka datang dari pelbagai latar belakang. Terkejut juga melihat ada yang mewarna rambut dan berpakaian ketat ketika sampai. Terlintas di fikiran, adakah ibubapa mereka menghantar untuk anak-anak mereka memperbaiki solat atau untuk belajar solat buat pertama kalinya??




Keutamaan kami adalah untuk menanamkan jatidiri, semangat yang baru, melatih, mendidik, serta memperbaiki sikap dan peribadi benih-benih muda ini. Masakan anak-anak ini dapat diajar solat sedangkan asas pengetahuan agama mereka masih di tahap terendah sekali. Mustahil untuk dilakukan dalam masa 3 hari 2 malam! Oleh sebab itu, kami terlebih dahulu memotivasikan mereka dengan diselangi juga pengetahuan tentang solat dimana mereka diberi 2 naskah buku ringkas tentang panduan bersolat. Setakat mana yang termampu dibuat dan mampu diajarkan~


Selain ceramah oleh ustaz yang dijemput pihak penganjur dan ceramah motivasi oleh jurulatih sendiri, ada juga LDK dan aktiviti luar seperti merempuh halangan dan jungle-trekking. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan melatih semangat berpasukan di antara mereka serta bantu-membantu sesama rakan.
Teringat saya ketika aktiviti dalam gambar ini dijalankan, saya ke bilik setelah menangkap gambar-gambar (lari dari dibaling lumpur..Hehe). Sedang leka melihat-lihat mereka dari beranda bilik, saya terdengar suara orang menangis... Salah seorang peserta kem ini sedang bercakap dengan ibunya dalam telefon di belakang bilik yang saya duduki.
"Mak..orang nak balik la! Amek la mak.. Please.. Tolong la mak.. Orang dah tak tahan ni.. Mak yang paksa! Orang bukan suka nak datang pun..."
Setelah habis berbual, dia menjengah ke beranda bilik memanggil sesiapa yang ada. Bincang punya bincang, rupa-rupanya dia dibuli oleh rakan-rakan sebilik. Kebetulan ustazah dari pihak penganjur datang ke beranda tersebut dan terus memberitahu saya peserta tersebut merupakan antara 5 pelajar bermasalah yang memang sengaja ditinggalkan oleh ibubapa mereka untuk di'brainwash'kan. Hmm...
Permasalahan untuk direnungkan sejenak.
"Kadang-kadang tuan-tuan dan puan-puan hantar anak-anak ke kem ibadah untuk belajar bersolat... Tapi tuan-tuan dan puan-puan sendiri tak bersolat! Macam mana anak nak berubah?!" Saya mengambil petikan kata-kata abang Jo, salah seorang jurulatih kem.
Benar! Kita sering terlupa dan tanpa rasa sangsi menuding jari ke arah anak-anak sendiri tanpa menilai di tahap manakah diri kita berada. Pendidikan anak-anak bermula di rumah, dan ibubapa lah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak mereka. Jika baik warnanya maka cantiklah coraknya. Jika buruk warnanya maka hodohlah coraknya. Nah! Bagai memulangkan paku buah keras.

KENAPA..Dan Jawapan Dari Al-Quran.


KENAPA AKU DIUJI??
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN??
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI??
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. " -Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST??
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA??
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). " -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI??
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... -Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP??
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. " -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!
"...dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." -Surah Yusuf ayat 12

Thursday, November 27, 2008

Salam Bahagia..Selamat Datang ke Dunia Perkahwinan.



Alhamdulillah...
Hari ini seorang lagi sahabat lama saya selamat diijab kabulkn...
Bermulalah satu lagi kisah keluarga yang baru...
Saya doakan agar mereka bahagia hendaknya, hidup di bawah payungan kasih Ilahi, dan moga berjaya mengharungi kehidupan yang baru ini dengan tanggungjawab sebagai suami isteri.

Apakah sejarah disebalik perkahwinan?

Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah s.w.t kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu. Selain al-Quran dan hadith, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud, “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya”. [2]

Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalah Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain,bahawa mereka berkata yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu.” Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan.
(Petikan dari Wikipedia)

Firman Allah S.W.T,
" Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. " (Yaasin ayat 36)

Betapa indahnya digambarkan Islam itu dikala semua makhluk-makhlukNya dijadikan berpasangan. Haiwan jantan dan haiwan betina, malam dan siang, pokok dan tanah, lautan dan daratan, langit dan bumi, bulan dan matahari, lelaki dan perempuan, raja dan permaisuri, serta bermacam-macam lagi. Cuba kita renungkan sejenak, jika Bumi ini sentiasa malam tanpa siang menemaninya? Bumi ini tandus seperti padang pasir tanpa pokok-pokok menghijau menemani tanah-tanah? Lautan yang luas tanpa daratan? Tentunya Bumi ini kelihatan membosankan dan sukar untuk didiami manusia.

Begitulah hebatnya ciptaan dan ilmu Allah. Antara hikmahnya dijadikan makhluk-makhlukNya berpasang-pasangan. Dengan itu juga disertakanNya tanggungjawab yang besar untuk pasangan-pasangan itu memakmurkan Bumi ini.

Bagi kebanyakkan individu tambahan pula muda-mudi zaman sekarang, perkahwinan dilihat sebagai satu medan melepaskan nafsu semata-mata tanpa mengetahui erti perkahwinan yang sebenar dan tujuannya. Inilah antara punca-punca yang menyebabkan majoriti institusi perkahwinan pada masa kini mudah retak dan tidak tahan lama. Penceraian bagaikan satu permainan bagi mereka, lafaz talak bagaikan ucapan biasa, janji-janji cumalah satu sandiwara, dan pergaduhan itu adalah aktiviti mereka yang biasa.



How can we be lovers if we can't be friends, kata Michael Bolton dalam salah satu lagunya. Kebanyakkan suami isteri tidak memahami kehendak pasangan masing-masing dan kurang menerima kekurangan yang ada. Kemanisan dan keutuhan institusi perkahwinan boleh dikekalkan dengan persahabatan yang kuat antara suami isteri. Manusia memang sentiasa mencari kesempurnaan dan seringkali tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Itu sememangnya lumrah sikap manusia. Oleh itu, belajarlah menerima setiap kekurangan dengan rasa bersyukur.
Adakalanya kita dikurniakan suami yang pemalas, mungkin kerana Allah ingin kita belajar menjadi rajin. Jika bukan kerana mendapat suami yang sebegitu, kita tak mungkin terdidik untuk menjadi insan yang lebih baik dan sentiasa beringat kepada Allah. Di dalam setiap perkara, ada terselit kasih Allah pada hambaNya... Cuma kita tidak sedar dan jarang menghargainya...

"Kadangkala kita tidak sedar, orang yang kita tidak peduli sayang pada kita... Kadangkala kita tidak sedar, kita terlampau sayang pada orang sedangkan dialah yang sering menyakiti hati kita... Dan kita tidak pernah sedar, kita bukannya sempurna untuk mendapatkan orang yang sangat-sangat sempurna dalam hidup kita... Dan kita bukan sesiapa untuk buat orang menyayangi kita sepertimana kita menyayangi dia... Kerana kita hanyalah manusia biasa." Terima kasih pada sahabat yang menghantar mesej ini dikala saya sedang menaip artikel ini (",)

Buat teman-teman yang lain yang bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, Salam Bahagia saya ucapkan dan selamat datang ke alam rumah tangga. Moga jodoh kalian berkekalan hendaknya. Amin...

Monday, November 24, 2008

Kenduri merapatkan silaturrahim.

Semalam kami sekeluarga ke Port Dickson. Bukan untuk berkelah di pantai tapi kerana memenuhi undangan kenduri kahwin salah seorang anak rakan abah. Ini aktiviti pertama semenjak bermula cuti seminggu yang lalu. Lepas ni akan ada banyak lagi aktiviti-aktiviti untuk dipenuhi.

Hujung minggu pertama: Kenduri..kenduri..dan kenduri.
Hujung minggu kedua: Ke Gombak utk kem.
Hujung minggu ketiga: Balik ke Pontian - Raya Haji.
Hujung minggu keempat: Balik Perak - Mak Ngah Nozi kahwin.
Hujung minggu kelima: Balik ke Shah Alam - persediaan ke Brunei.
Hujung minggu keenam: Packing barang utk semester baru.

Perjalanan ke Negeri Sembilan memang memakan masa yang agak lama. Tidak la terlalu lama tetapi cuaca yang panas terik membuatkan perjalanan menjadi kurang selesa. Kenduri itu sebenarnya bukan sahaja merapatkan ikatan antara dua keluarga iaitu keluarga pengantin, tetapi juga merapatkan ikatan persahabatan antara rakan-rakan lama yang sudah 30 tahun tidak bertemu..
Kedatangan rakan-rakan sekerja abah yang sama-sama bertugas di JKR dulu memang satu peristiwa yang manis untuk dikenang. Masing-masing sudah mempunyai anak yang dewasa. Kebanyakkannya seusia dengan saya. Melihat pertemuan sahabat-sahabat ini membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana keadaannya saya 30 tahun akan datang? Adakah sempat untuk saya meraikan hari tua bersama rakan-rakan saya juga? InsyAllah..jika diberi usia yang panjang..
Mendengarkan kisah-kisah mereka pada zaman muda memang seronok! Dan kebanyakkannya berkisar kepada kerjaya dan keluarga. Mereka mengenali saya mungkin kerana saya yang sulung. Tak sangka, mereka adalah orang-orang yang pernah mendukung saya suatu ketika dulu.
Secebis kenangan saya sebenarnya tersimpan bersama mereka. Satu pandangan yang menarik untuk difikirkan sejenak..

Monday, November 3, 2008

Belajar Demi Sekeping Sijil atau Ilmu??

Baru-baru ini seorang sahabat bercerita tentang kegusarannya pada saya. Resah hatinya, kerisauan terpancar pada riak wajahnya. Mengapa? Kerana sekeping sijil dan nilainya pada masa hadapan. Gusar kerana saudaranya yang merupakan pelajar di sekolah pondok tidak mempunyai sijil untuk bekerja dan meneruskan kehidupan. Terus, dia tidak bersetuju sama sekali dengan cara pengurusan di sekolah-sekolah pondok. Soalnya, apakah sijil itu menentukan hala tuju kita? Apakah dengan sekeping sijil bererti rezeki kita sudah ditentukan? Siapa yg lebih berhak menentukan rezeki kita selain Allah?

Jawapan saya padanya mudah. Saya bertanya kembali, adakah semua orang-orang yang berkelulusan tinggi mendapat pekerjaan yang baik? Dan apakah pula pekerjaan itu menjanjikan dia rezeki yang halal lagi diberkati? Siapa tahu, dia bakal pendakwah yang hebat yang bekerja semata-mata kerana Allah. Dia patut berbangga kerana mempunyai saudara yang sebegitu, yang matanya tidak dibutakan dunia. Belajar di pondok bukanlah satu penghinaan baginya tetapi merupakan satu kemuliaan.

Kadangkala hati saya sendiri geram bila menjawab persoalan-persoalan sebegini. Apakah dunia yg kita kejari? Letaklah dunia di tangan, bukan di hati. Tetapi, memang saya sedari hakikatnya masih ramai yang tidak memahami konsep ilmu itu sendiri. Bahkan saya sendiri adakalanya terlupa. Alhamdulillah, bila ditanya begini, kesedaran itu datang kembali.

Teringat saya pada tajuk research proposal yang baru dihantar pada minggu lepas, "What is the Purpose of Reading among Students? Reading for Exam or Knowledge Purpose?" Tajuk yang memang sengaja saya pilih untuk dikaji. Rata-rata para pelajar memang mementingkan sijil dan kelulusan dalam bidang yang diambil tanpa menyedari pengertian 'Belajar' yang sebenar. Mengejar ilmu yang bagi mereka membawa faedah kepada diri semata-mata tanpa menghiraukan ilmu-ilmu yang lain yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Sehari berteleku di hadapan buku, sanggup tidak makan dan minum semata-mata kerana ingin mencapai keputusan peperiksaan yang tinggi. Bukanlah untuk menyatakan ianya salah, tetapi perbetulkan niat.

Biasanya para pelajar memang terkenal dengan solat hajat. Betul kan? Tetapi bila masanya kita biasa melakukan solat-solat sunat terutamanya solat hajat? Tepuk dada, tanya hati. Menjelang peperiksaan memang ramai yang teringat kewujudan solat hajat ini. Apakah kita solat untuk memohon berkat dan rahmat Allah? Atau semata-mata kerana berhajat untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat pekerjaan yang baik di kemudian hari?

Pesan saya kepada semua, jadikan ilmu itu sebagai satu landasan untuk kita lebih mendekati Allah. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi, kaitkan ia dengan Islam. Segalanya akan menjadi lebih indah dan bermakna. Di Barat, ramai yang tertarik dengan Islam kerana ilmu. Kajian-kajian yang mereka lakukan menjurus mereka kepada penemuan agama Allah. MasyaAllah! Hebat bukan? Bahkan adakalanya mereka lebih menghayati Islam itu daripada kita. Moga hidayah itu terus berkekalan di dalam hati ini.

Exam Mood~


Alhamdulillah..akhirnya terlepas sudah dari kejaran-kejaran masa untuk menyiapkan assignment yang tanpa henti dan tanpa belas kasihan datangnya. Bertubi-tubi hingga menyesakkan dada. Hiperbola? Sama sekali tidak.


Di kala sibuk melayan masa dan tugasan-tugasan yang ada, kadangkala hampir terlupa pada tugasan sebagai seorang hamba yang masih mencari jalan ke syurga. bukan hampir, malah memang sudah terlupa! Syaitan menyanyi lagu riang. Usaha mereka menyesatkan seorang anak Adam sudah berjaya. Astaghfirullah al-azim...


Memang diakui, kadangkala kita terasa bagaikan perlu dan penting mendahulukan assignment dari hal-hal yang lain. Hinggakan adakalanya sanggup melewatkan waktu solat semata-mata untuk mengejar masa menyiapkan assignment. Apakah dengan perbuatan itu assignment kita akan lebih hebat? Lebih cepat disiapkan? Idea senang keluar?


Bila tibanya musim peperiksaan ni, barulah terasa keringnya hati dari zikir munajat, dari solat-solat sunat, dari tahajjud di malam hari kepada Allah..


Moga masih ada kesempatan untuk bertaubat dan masih terbuka pintu-pintu keberkatan untuk ilmu yang telah diperolehi. Amin

KeHidUpAn



Suatu pagi, seorang guru berdiri di hadapan kelas sambil mengangkat segelas(secawan) air. Dia bertanya kepada murid-muridnya; "Cuba kamu teka, berapa berat gelas ini?"



Jawab murid yang duduk di hadapan kelas: "50 gram, cikgu!"



Guru tersebut tersenyum. "Yang lain?" soalnya."



Saya rasa mungkin 100 gram," jawab seorang pelajar perempuan.



Bangun pula seorang pelajar lelaki di tengah-tengah kelas, "Jawapannya mesti antara 50 hingga 500 gram.



Siapakah yang berjaya memberi jawapan yang betul? Adakah berat gelas itu 200 gram? 300 gram? 410 gram? atau 100 gram?



Jawab gurunya, "Jawapan kamu mungkin betul dan mungkin juga salah! Sebenarnya, berat segelas air ini tidak begitu penting sebab ianya bergantung kepada berapa lama kamu memegangnya. Jika kamu pegang gelas ini satu minit, tak jadi masalah. Kalau satu jam, tangan kamu akan sakit. Sehari! Kamu perlu diusung ke ambulans." Ketawa murid-muridnya mendengar kata- kata guru itu.



Sambung guru tersebut; "Murid-murid sekalian… berat segelas air ini takkan berubah tapi semakin lama kamu memegangnya, ia akan menjadi semakin berat.Apa yang patut kamu lakukan ialah letakkan gelas itu ke bawah, rehat beberapa minit dan sambungnya kembali."



"Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Jika kita ada masalah, selesaikannya secepat mungkin. Kalau kita masih gagal menyelesaikannya, rehat sebentar. Lupakan masalah itu untuk seketika."



"Jangan terlalu memikirkannya kerana ia akan menyebabkan fikiran kita tidak tenang dan terganggu. Ketenangan amat penting sebelum kita memikirkan masalah itu kembali."

___________________________~
Dalam menghadapi dunia dan kehidupan masa kini, memang tidak dinafikan ada banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Baru-baru ini di akhbar Kesihatan juga menyiarkan bahawa manusia di zaman ini dilanda masalah mental yang semakin teruk dan terdapat peningkatan jumlah pesakit-pesakit mental. Mengapakah dan bagaimanakah fenomena ini berlaku?

“ Dan apabila mereka dipukul ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru dengan penuh keikhlasan kepadaNya, maka tatkala Allah telah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka masih tetap menempuh jalan yang lurus dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami melainkan orang yang tidak setia lagi engkar.” (Surah Luqman : ayat 32)

Manusia sering lupa pada Allah. Mereka lupa bahawa manusia amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah ketikamana mereka dilanda satu bencana atau masalah serta kesulitan yang mendesak. Doa dan usaha itu amat penting serta bertawakal kepada Allah.

Berehat seketika dengan muhasabah diri agar kita tidak tersasar jauh dari jalanNya (",)

Tuesday, September 30, 2008

Keperluan atau Pembaziran?

Mak Limah : e’eh..cuba kau tengok tu Jah.. Banyaknya si Timah beli baju raya..
Mak Jah : Jangan kata baju, kuih raya dia pn aku tengok bertin-tin dekat daput. Nanti anak dia balik beraya bawak lagi. Habis ke nanti tu?
Mak Limah : Entahlah Jah.. Tapi cemburu pulak aku tengok. Rasanya aku pon nak tambah koleksi baju raya la Jah. Aku ada 2 pasang je.. Lagipun kau tau Jah, sekarang ni tengah murah-murah. Megasale la katakan..
Mak Jah : Dah..kau pun nak jadi macam dia jugak?? Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih..
Mak Limah : Kau mengata aku ye Jah..? Tak ada salahnya pun aku nak beli. Nanti-nanti kan aku pakai jugak buat berjalan. Ha..pakai ke surau lagi..
Mak Jah : Suka hati kau lah Limah.. Aku tak nak dikatakan membazir. Itu kan amalan syaitan.


Keperluan atau pembaziran? Anda keliru? Jika anda keliru bermakna anda masih belum bijak dalam mentafsirkan kedua-dua maksud perkataan itu dengan sempurna. Barangkali anda juga tergolong dalam golongan yang suka membazir. Hati-hati…

Kemarin ketika menyediakan juadah untuk bersahur, saya mendengar ceramah di radio. Siapa penceramahnya tak pula saya ingat. “Perayaan sering dilihat sebagai satu pesta dan bukannya ibadah pada zaman ini.” Betul kata ustaz tu, manusia lupa bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal hadir ini bukanlah satu pesta dimana semua berseronok-seronok sambil berjalan ke rumah saudara dengan menunjuk-nunjuk perhiasan baru yang mereka ada. Bahkan ia merupakan satu ibadah dimana kita meraikan 1 Syawal, hari yang mulia lagi bermakna buat umat Islam. Sambutan bukanlah bertujuan bersuka ria tetapi menyambut kemenangan setelah sebulan berperang dengan nafsu diri yang menggila. Dan jangan kita lupa pada peristiwa-peristiwa di zaman Rasulullah yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini. Hayatilah dan fahamilah maknanya yang tersirat.

Tak kurang juga ada yang sanggup melaburkan sejumlah besar wang ringgit hanya untuk membeli juadah berbuka yang sememangnya mampu untuk menampung perbelanjaan selama 5 bulan! Ya, tanpa kita sedari sebenarnya bulan Ramadhan adalah bulan yang dipenuhi pembaziran. Oleh siapa?? Oleh kita semua. Membeli yang tidak perlu tanpa beringat sedikit pun. Melayan nafsu membeli sepuas-puasnya. Mata dan hati dikaburi MEGASALE yang terdapat di merata-rata. Siapakah anda?? Inikah jatidiri umat Islam masa kini??

Tepuk dada tanya iman. Berbelanja sekadar memenuhi keperluan tanpa perlu membazir. Beraya bukanlah semestinya memerlukan baju baru, sofa baru, langsir baru dan bermacam-macam lagi perkakas yang baru. Tetapi, tukarlah konsep supaya di lebaran yang mulia ini, kita menjadi insan baru dengan iman yang baru yang lebih berkilau dari sebelumnya.

Sinarilah Syawal dengan cahaya keimanan… bukan dengan cahaya keduniaan.

Thursday, September 18, 2008

Cerita Harimau, Buaya, Tikus, dan Madu Lebah.

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi.. jeng!jeng!jeng! .. bunyi.... aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja..

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!... . Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.

Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. Lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni... habislah jadi mangsa buaya.

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah bawa madu.

Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.... Tikus yg sedang mengigit tali........

Kalau semua nak tahu ... si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti. Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita. Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu. Madu... madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah.
Astaghfirullah. . ..

Thursday, September 11, 2008

Perpisahan Itu Memang Menyedihkan


Lepas sorang..sorang pergi

Nanti sorang lagi pergi..

Pastu yang lain sama jugak nanti..

Sedihnya..kenapa perpisahan mesti terjadi?


Setiap pertemuan pasti disudahi dengan perpisahan.


Ayat yang biasa didengari. Tapi, sejauh manakah kita memahami dan menerimanya? Menjadi lumrah hidup untuk kita mengenali manusia-manusia yang bertabur di bumi Allah ini, dan sudah semestinya, bila tiba masa yang ditentukan Allah, mereka akan hilang satu persatu dari hidup kita. Kematian, perpisahan, adalah sesuatu yang pastinya terjadi. Cuma masa yang menjadi penentuan.


Patah tumbuh hilang berganti.


Setiap hari ada saja kelahiran yang akan menggantikan kematian. Di merata tempat, bayi-bayi baru dilahirkan. Di merata tempat juga, lubang-lubang kubur yang baru digali. Yang pastinya, kita akan bertemu lagi. Dimana? Bila? Sememangnya bukan di dunia ini...tetapi di suatu dunia yang lain. Di padang masyar ketika perhitungan dijalankan.


Lain orang lain caranya menghadapi perpisahan. Seharusnya, setiap pertemuan dimulakan dengan senyuman dan kesyukuran. Begitu juga dengan perpisahan. Mungkin dengan cara perpisahan sahaja manusia akan lebih beringat kepadaNya, Zat yang Maha Agung.


Ada hikmah disebalik setiap kejadian.


Belajar untuk menerima dan belajar untuk redha atas ketentuanNya. Apakah dengan tangisan, kita mampu mengubah dunia mengikut kehendak dan nafsu kita?

Kem Sifat Solat Nabi


Alhamdulillah.. Akhirnya selesai juga program kem sifat solat nabi yang dirancang ustaz Ridha setelah sekian lama. Program ini yang turut dijayakan oleh Biro Agama HEP INTEC dengan kerjasama JAWI mendapat sambutan yang baik. Masjid Wilayah menjadi sasaran utama tempat penginapan kami. Selesa. Itulah yang kami dapati kemudahan di sana. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang bertungkus-lumus membantu menjayakan kem ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa-jasamu.


Handout ada diberikan. Video akan dijual kemudian, InsyAllah. Ingin mengupas secara ringkas tentang input2 dari kem ini tapi masih belum berkesempatan disebabkan tugasan kuliah yang masih bertimbun. InsyAllah..akan disambung kemudian (",)

Thursday, September 4, 2008

Penat yang Membahagiakan.

"Meeting...meeting...meeting. Besok kene pegi HEP pulak nak setelkan pasal surat. Surat perlantikan AJK la, surat mohon pertukaran budget la, surat mohon cenderamata penceramah la, surat jemputan la. Peserta program tak selesai lagi. Promosi kene dipergiatkan. Terawikh, tazkirah dan qiam... Organisasi Surau belum buat-buat. PSC dh ajak bermesyuarat tapi tak ada masa. Kesian budak-budak Smart Group ku... dah 2 minggu tak buat usrah..."

Ini sekadar monolog ana yang memang biasa.

Kerja yang tak berkesudahan... Tak putus-putus tugasan datang. Pelajaran?? Assignment?? Itu satu hal lagi.
Jadual harian yang padat. Sangat padat dari bangun tidur di subuh hari hinggalah ke pagi jam 2. Tak penat ke? Penat....

Beberapa hari sebelumnya, ana sering di SMS ustaz, meminta ana untuk mencari beberapa nombor telefon pejabat-pejabat penting untuk dihubungi. Alhamdulillah, ana ada di bilik membuat tugasan jadi laptop sentiasa ada di depan mata.

Sibuk memang sibuk sampaikan tiada masa untuk diri sendiri. Tapi kata ustaz, fikirkan pahala itu sebagai matawang syurga. Kita sering mendengar Multi-level Marketing (MLM) yang memang menjanjikan ganjaran yang lumayan. Caranya mudah; cari orang bawahan. Begitu juga dengan kerja-kerja yang kami sedang lakukan. Kem Sifat Solat Nabi yang sememangnya seronok di dengar tetapi memerlukan tenaga kerja yang banyak.

"Korang buat program ni ajak orang ramai pergi. Bila nanti mereka-mereka ini mendapat ilmu yang mana diaplikasikan dalam kehidupan harian, mereka sudah tahu bagaimana caranya solat yang betul, insyAllah, pahala mereka korang juga akan turut sama merasa. Jadi, tidak ada ruginya korang berhempas pulas bekerja siang dan malam. Ikhlaskan kerana Allah, ganjarannya memang tidak terkata."

Tazkirah ringkas ustaz selepas mesyuarat membangkitkan semangat kami. Terasa segar kembali otot-otot untuk bekerja. Inilah nikmatnya bekerja untuk agama, untuk Allah. Semoga kalian turut sama merasa kebahagiaan yang kami rasakan. Ukhwah yang terbina antara kami semua bukanlah kerana kebendaan dan pangkat semata-mata. Tapi ianya merupakan satu jalinan yang sukar digambarkan.

Indahnya hidup jika semuanya hanya kerana Allah.

Wednesday, September 3, 2008

Siapa Mahukan Haruman Kasturi?


Ramadhan yang dinanti-nanti kini tiba kembali setelah sekian lama menyepi. Rindu...terasa rindu menggamit hati. Pada Ramadhan yang datang dan pergi.

Ramadhan dan puasa memang tidak dapat dipisahkan lagi. Setiap kali menyebut bulan Ramadhan, pasti dibenak fikiran setiap orang akan terus tertacap perkataan 'puasa'. Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bauan kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Mengapa Allah menggunakan haruman kasturi dan bukan emas, berlian, madu dan lain-lain ganjaran yang sememangnya nampak lebih hebat? Apa ada dengan haruman tersebut?

Pernahkan kalian membeli haruman (perfume) di kedai-kedai? Jikalau tidak sekalipun, semestinya ada yang mencuba. Adakah pernah kalian melihat haruman-haruman ini dibiarkan terbuka? Tidak. Haruman tidak pernah dan tidak akan dibiarkan terbuka kerana akan habislah rosak dan hilang wangian tersebut.

Begitulah yang terjadi pada orang-orang yang berpuasa. Hadis tersebut bukan sahaja menerangkan bahawa Allah memberi ganjaran berupa haruman dari mulut, tetapi juga Allah ingin menyampaikan kepada kita pengertian sebenar berpuasa. Di dalam berpuasa seseorang hendaklah menahan mulutnya dari banyak berkata-kata. Apatah lagi jika apa yang diakatakan itu hanyalah perkara yang bukan-bukan dan tidak membawa sebarang manfaat. Tidak banyak bercakap dan menutup mulut boleh diumpamakan dengan menutup haruman kasturi tadi. Lebih banyak percakapan dari mulut, lebih banyaklah haruman yang keluar. Akhirnya tidak meninggalkan apa-apa untuk disimpan sebagai bekalan di akhirat. Di penghujung Ramadhan, kita tidak mendapat apa-apa. Bahkan ibadah puasa yang dijalani hanyalah kosong semata-mata.

Nakkan haruman kasturi dari mulutmu? Nah, jangan banyak berkata yang sia-sia di bulan mulia ini.

Monday, August 25, 2008

Lembut Yang Lemah atau Lembut Yang Berhemah?

Wanita dan kelembutan adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan. Tapi apa yang dapat dilihat, wanita zaman moden ini sering menyalahgunakan kelembutan. Apakah salah wanita berlembut? Bukankah itu suatu kebiasaan yang tidak dapat dicegah? Atau ada cara lain untuk menunjukkan kelembutan?
“Maka janganlah kalian merendahkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginan jeleklah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang ma‘ruf.” (Al Ahzab: 32)
Ramai sahabat-sahabat yang saya temui mengatakan sukar untuk tidak melembutkan suara kerana "Nak buat cmna?Dah memang suara saya cmtu", "Eei..pompuan mana boleh kasar suara"..
Apa yang hendak disampaikan bukanlah deperti yang mereka fahami. Boleh saja bercakap dengan lembut. Tapi adakah perlu berlembut suara apabila bercakap dengan lelaki yang bukan muhrim? Bercakap dengan gaya manja, lebih mesra dari bercakap dengan kaum sendiri. Suara merupakan anugerah Allah yang sangat bermakna. Suara-suara wanita mampu mendamaikan hati para suami, mampu mendodoikan anak-anak kecil, mampu mengalirkan air mata sesiapa yang mendengar suara rintihan seorang wanita. Ia punya satu tarikan yang besar, tetapi jangan digunakan ke arah kemaksiatan.
Suara merupakan bagian dari wanita sehingga suara termasuk aurat, demikian fatwa yang disampaikan Asy Syaikh Shalih bin Fauzan bin Abdillah Al Fauzan dan Asy Syaikh Abdullah bin Abdirrahman Al Jibrin sebagaimana dinukil dalam kitab Fatawa Al Mar’ah Al Muslimah (1/ 431, 434)

* banyak persoalan tentang kelembutan yang bukan hanya pada suara, malah perlakuan. wanita sering menggunakan alasan untuk menagih simpati kaum lelaki. Adakah ini ciri wanita muslimah? Banyak tugasan perlu disiapkan dalam masa terdekat jadi tak berkesempatan untuk menulis di blog..

Monday, July 14, 2008

Kerana Diriku Begitu Berharga


Pertengahan bulan julai ni, genaplah setahun saya memakai tudung labuh. Mungkin ramai yang tidak tahu permulaan perubahan diri saya. Walaupun dengan teman yang rapat, mereka tidak pernah bertanya. Mungkin takut saya terasa. Tapi, mereka sentiasa memberi sokongan dan tak pernah menganggap perubahan saya ini sesuatu yang luar biasa. Alhamdulillah…terima kasih sahabat.

Mungkin inilah doa seorang emak buat anaknya… doa emak dan abah yang tak pernah kering, doa emak dan abah dihadapan kaabah untuk melihat anak-anak mereka berjaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Emak dan abah bukanlah ustaz dan ustazah. Tetapi kerana mereka lah saya mendapat asas pendidikan agama yang boleh saya gunakan sebagai panduan untuk meneruskan perjuangan ini.

Nama Muhammad Nuruddin memang sudah dikenali dalam hidup saya. Siapa dia? Kekasih? Bukan. Dia hanyalah seorang anak kecil yang baru berusia 1 tahun ketika saya mengenalinya 3 tahun lepas. Anak kecil yang merupakan anak asuhan saya yang pertama. Anak kecil yang membawa saya ke dunia baru. Ah…dia memang istimewa bagi saya. Teringat lagi kali pertama saya diambil umminya untuk menjaganya di rumah mereka. Sudah puas umminya mencari orang yang sesuai untuk menjaganya, kebetulan dengan saya Nuruddin mudah mesra. Ya, umminya seorang pendakwah bebas. Ustazah Suraya namanya. Memang hati ini berkata, “Aku ingin menuntut ilmu dengannya sambil menjaga Nuruddin nanti.” Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap hari tak lekang dari bibir Kak Su bercerita dan berbual, segalanya tentang Islam. Ternyata, memang lain rasanya ketika bersahabat dengan insan solehah.
Orang yang berilmu memang istimewa. Saya diasuh dengan mengenali pejuang-pejuang Islam. Buku pertama yang dipinjam dari ‘perpustakaan’ Kak Su adalah tentang Syeikh Ahmad Yasin. Sungguh, hati ini melonjak ingin tahu dengan lebih lagi, ingin belajar dengan banyak lagi tentang Islam. Nursyuhada…kata Kak Su, nama yang baik maksudnya.

“Nuruddin, Kak Syu ni nak jadi seorang pejuang kot…” kata Kak Su sambil tersenyum.

Gurau sendanya memberi kesan yang mendalam buat saya.
Sampailah sekarang, sedar tak sedar dah 3 tahun berlalu. Kak Su masih dengan perjuangannya menyebarkan dakwah di merata tempat. Saya kagum dengan kesungguhannya. Tanyalah sesiapa sahaja yang mengenalinya. Kata-kata yang lahir dari bibir Kak Su mampu membuka ruang keinsafan di dalam hati yang mendengarnya. Benarlah, keikhlasan hati dalam berjuang mampu menundukkan musuh. Tak kira masa dan hari, dengan anak-anak yang masih kecil, diredahnya juga jalanraya menuju ke kelas-kelas untuk mengajar muslimat. Jika musim cuti, dapatlah juga saya menemannya.

Saat saya ingin memulakan perubahan dari segi pemakaian, saya bertanyakan pendapat Kak Su.
“Syu nak tanya boleh? Kak Su, Syu nak mulakan pakai tudung labuh. Sejuk rasanya tengok orang pakai tudung labuh ni. Mak pn dah bertudung labuh sejak balik Haji. Syu rasa lagi kuat nak teruskan niat Syu ni. Tapi, Syu ada tanya pendapat kawan-kawan. Diorang kata dah pakai tudung labuh ni kenalah istiqamah. Itu Syu paham. Tapi, betul ke tak boleh dah nak pakai tudung yang 60 ela tu?”

“Syu, dulu kt Jordan, Kak Su ada sorang kawan. Dalam semua pelajar, dialah yang paling labuh tudungnya. Kak Su ada terjumpa dia, dah berkahwin sekarang. Dia dah tak pakai tudung labuh bulat tu lagi, tapi dia pakai tudung 60 ela. Kak Su tanya kenapa. Dia kata sebab suami dia kata cantik bila dia pakai tudung camtu. Syu…tudung labuh atau 60 ela, dua-duanya sama je. Dua-duanya labuh menutup dada, tak jarang. Yang membezakan cuma fesyennya aje. Satu dah dijahit siap-siap, satu lagi boleh diPin ketepi. Yang penting, niat kita bertudung tu. Pakailah tudung kerana ingin menutup aurat dengan sempurna. Buatlah kerana Allah, jangan kerana suami kata cantik. Tak ada salahnya kalau Syu nak pakai lagi tudung 60 ela Syu ni walau selepas bertudung bulat tu.”

Seminggu selepas berpindah ke UiTM Shah Alam dari IPKB, saya terus memakai tudung labuh. Bukanlah kerana ingin menunjuk baik. Niat saya adalah untuk menjaga maruah, diri, sejauh mana yang saya mampu. Alhamdulillah, saya tepis segala kata-kata yang kurang enak didengari, tahan diri dari mengalah. Nikmatnya memakai tudung labuh, hanya Allah yang tahu. Lain…ternyata lain benar rasanya.

Buat sahabat-sahabat di luar sana… Saya tahu masih ada yang ingin berubah tetapi takut untuk menghadapi perubahan. Bukan susah nak tinggalkan dunia seluar jeans. Percayalah…tetapkan hati dan bergantunglah pada Allah. Cuba fikirkan, dengan pakaian juga kalian boleh berdakwah. Setiap kali lalu ditepi-tepi orang kafir bahkan orang Islam sendiri yang tidak berpakaian menutup aurat, rasa-rasanya kalian terlepas dari disoal tentang tanggungjawab ke? Macam mana kalian nak nasihat, nak bagitau sedangkan mereka ini kalian hanya jumpa sekali sahaja di pasar malam…di kedai makan…di perhentian bas… Bila bertudung labuh, berpakaian sempurna menutup aurat, sekurang-kurangnya kita boleh niatkan di dalam hati “Ya Allah, moga sesiapa yang melihat pakaian ini akan terbuka hatinya kearah kebaikan. Sekurang-kurangnya biarlah dia senang melihat kecantikan agamaMu.” Dengan berjubah dan bertudung labuh, agak-agaknya la, nak ke kalian buat jahat? Nak ke kalian masuk wayang? Pegi karaoke? Cakap yang bukan-bukan? Tentu rasa malu kan sebab nanti orang akan mengata “Ape la…pakai je tudung labuh tapi perangai tahpape.” Ya…pakaian ini menjauhkan diri dari berbuat dosa. Inilah antara hikmahnya berpakaian seperti yang dianjurkan Islam.

Macam mana nak tau yer kita ni dah sempurna menutup aurat?? Teringat kata-kata Kak Su, “Andaikan sahabat terkandas di sesuatu tempat dan perlu bersolat dengan segera sebelum kehabisan masa. Kebetulan tiada telekung yang dibawa atau apa-apa yang boleh dijadikan pengganti telekung. Pakaian yang sahabat pakai itu jika boleh dibawa dalam solat, maka itu menunjukkan pakaian sahabat itu sudah sempurna menutup aurat.”

Thursday, June 26, 2008

Sebakul Air

(cerita ini saya tulis berdasarkan sebuah artikel kisah yang saya dapat melalui e-mail)

Di sebuah kampong, ada seorang lelaki tua yang selalu membaca Al-Quran di dapurnya setiap
pagi. Cucunya yang tinggal bersama nak jadi seperti datuknya, lalu dia pun mengikut apa yang datuknya lakukan. Satu hari cucunya berkata:

Cucu : Tok.. hari-hari Aril tengok atuk dok ngaji Quran. Aril ikut ngaji jugak tp Aril tak paham. Lepas Aril tutup ja Quran, teruih tak ingat apa dah. Elok ka baca Quran ni tok?


Lelaki tua yang sedang memunggah arang dari bakul terus berpaling pada cucunya…

Tok: Nah, hang p amek ayaq kt sungai bawah tu pakai bakui nih.

Oleh sebab disuruh, cucunya segera bertindak mengikut arahan. Tetapi setibanya di rumah, air yang diambilnya sudahpun melimpah ke tanah.

Tok: (sambil tergelak) Aril kena lari cepat sket..

Kali ni cucunya berlari ke sungai dan mengambil air. Sambil tercungap-cungap, dia pulang ke rumah dan memberitahu datuknya bahawa mustahil baginya untuk mengambil air menggunakan bakul. Dia terus berjalan pergi untuk mengambil timba.

Tok: Atok tak mau ayaq dalam timba, atok nak ayaq dalam bakui ja. Aril tak bersungguh lagi ni…

Lelaki tua itu pergi ke muka pintu memerhatikan cucunya pergi ke sungai untuk mengambil air lagi. Pada ketika ini, cucunya sudah pun tahu bahawa memang mustahil baginya mengambil air menggunakan bakul. Akan tetapi, dia pergi juga kerana ingin menunjukkan datuknya betapa cepat pun dia berlari, air yang dibawanya akan tetap keluar dari bakul.
Sekali lagi budak lelaki itu mencedok air dengan bakul dan berlari-lari ke arah datuknya.

Cucu : (sambil tercungap-cungap keletihan) Tok, tengok la ni. Kan Aril dah kata memang tak boleh amek ayaq pakai bakui nih.

Tok : Abes tu Aril rasa tak berguna la dok pi balik amek ayaq tadi? Cuba Aril tengok bakui tuh.

Budak lelaki itu pun melihat pada bakul yang dipegangnya dan baru disedari bakul arang yang kotor tadi telah bertukar menjadi bersih… Luar dan dalamnya…

Tok : Aril, itu la kebaikan mambaca Quran. Walaupun kadang-kadang kita tak paham maksudnya, tapi bila kita baca, kita akan berubah luaran dan dalaman. Itu semua kerja Allah dalam kehidupan kita.

Kadangkala kita merasakan bahawa kebaikan yang kita lakukan adalah sia-sia. Tetapi, Allah jadikan setiap perkara itu ada hikmahnya yang tersendiri. Renungkanlah…

Indahnya Ukhwah Yang Terjalin

“Trr… Trr…”, handphoneku bergetar.

1 new message:
Syu kat ne? Rindu la

“tet…tet…tet…”, dengan cepat aku membalas mesej tadi.

Syu ada kt umah. Tula..mmg ingt nk p umah kak su tp x kesampaian lagi.
Message sent…

1 new message:
Jom ikut k.su ngajar kat tmn permata ptg esok kul 3

Ok :)
Message sent…

Esoknya saya mengikut abah keluar ke tempat kerja. Memang sudah lama bercadang untuk keluar menjual buku-buku lama di kedai buku terpakai. Pulang dari Central Market menjual buku, saya terus ke kedai buku berdekatan dengan bazaar di Masjid India. Hajatnya ingin mencari buku bertajuk ‘PELIK tapi BENAR DALAM SOLAT’ buat rujukan untuk menyediakan pembentangan bagi ceramah Ustaz Ridha semester depan.
Alhamdulillah…duit yang didapati hasil menjual buku-buku lama dapat saya gunakan untuk membeli buku tersebut.

“Tiket ke Pandan Jaya satu.”

Perjalanan hari ini agak menarik. Semasa menunggu LRT bagi laluan ke Ampang, saya terlihat satu keluarga yang sedang menangkap gambar. Rasanya pelik juga kerana biasanya pelancong asing seperti orang inggeris sahaja yang akan berbuat sedemikian. Tetapi yang ini…rupa mereka saling tak tumpah macam orang Melayu. Saya cuba mendengar perbualan mereka…

“Pak, ke mana kita selepas ini? Aduh..seronok ya disini.”

Owh..orang Indonesia rupanya. Tersenyum sendirian melihat kemesraan mereka.

Kami mengambil tren yang sama dan kebetulan saya duduk di sebelah ibu mereka. Saya cuba mengambil kesempatan yang ada untuk beramah mesra.

“Melancong ya? Menetap di mana?”

“Ya, sambil bercuti-cuti. Menetapnya di Bintang.”, balas wanita yang berusia awal 30-an itu. Riak wajahnya biasa, tersenyum tidak, masam pun tidak. Mungkin terkejut kerana disapa.


“Lepas ini mahu kemana lagi cadangnya? Seronok di sini?”

“Mahu ke Genting. Ya, seronok juga..”, senyuman mula terukir di wajahnya.

Perbualan kami agak singkat kerana setibanya di hentian Hang Tuah, mereka turun untuk meneruskan perjalanan. Ketika LRT hampir bergerak, sempat saya berbalas senyuman dengan mereka.

Sejenak terfikir reaksi mereka di awal pertemuan. Seperti tidak biasa melihat keramahan rakyat tempatan. Ya, rata-rata rakyat Malaysia lebih senang melayan pelancong asing berbangsa inggeris dari bangsa Indonesia. Mungkin kerana terbiasa dengan bangsa Indonesia yang membanjiri Malaysia, atau mungkin juga kerana memikirkan standard mereka sama bahkan kadangkala lebih rendah berbanding kita. Itulah rakyat Malaysia, bersikap memilih tidak bertempat adakalanya.

Setibanya di Pandan Jaya, saya bergegas ke pasaraya berdekatan membeli sedikit buah tangan untuk dibawa. Memikirkan baby Kak Su yang baru, tak sabar rasanya untuk tiba di rumahnya.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam. Masuk la Syu.”, sambut Kak Su sambil membuka pintu. Kami bersalaman mesra.

“Eh..Mursyid. Meh sini salam. Emm..rindunya. Abang Nuruddin mana?”, tanyaku pada si kecil itu.

“Addin ayek ampong”, katanya dengan pelat.

Petang itu kami berbual-bual sambil makan buah-buahan. Kak Su bercerita perkembangan terbarunya yang sememangnya seronok untuk didengari. Kak Su tak pernah mengenal erti penat dalam menyampaikan ajaran Islam. Biarpun dengan anak-anak yang masih kecil, perjuangan tetap diteruskan sebaik sahaja selepas tempoh berpantang. Satu perkara yang jarang saya jumpa pada wanita zaman ini.

Kelas Kak Su petang itu dihadiri ramai muslimat dari kawasan sekitar Taman Permata. Masjid itu merupakan antara masjid yang aktif dengan aktiviti di kawasan KL ini. Tajuk ‘Wahai orang-orang yang beriman’ memang dibawa Kak Su sejak dari tahun lepas lagi. Cadangnya, dia mahu menerbitkan buku tentang ayat-ayat Quran yang dimulakan dengan ‘wahai orang-orang yang beriman’ nanti. Rasanya ia masih dalam pembikinan. Perlukan banyak bahan rujukan kata Kak Su.

“Kak Su, senang la jaga baby yang kali ni.”

“A’a tula Syu. Luqluq ni tak banyak ragam sikit.”, balas Kak Su sambil tergelak kecil.

Setiap kali menemani Kak Su ke kelasnya, memang menjadi perkara biasa saya menjaga anak-anaknya. Baby yang baru ni Luqluq Khaisah namanya. Petang itu setelah pulang ke rumah, Kak Su memujuk untuk pergi ke Raihan bersamanya selepas Maghrib.

“Ok Kak Su, mak bagi.”, kataku.

Kami memasak bersama, berbual, dan terus bersiap untuk ke Raihan yang terletak di Pandan Indah. Dengan Kak Su, segala perbualan memang tak pernah lari dari topik agama. Apa jua memang sering dikaitkan dengan agama. Indahnya bersama wanita solehah…

Pulang dari Raihan dihantar Kak Su, aku terus ke bilik mengemas barang-barang yang dibawa.

“Mak, tengok la ni. Kak Su bagi Ada jubah yang dia beli masa kat Jordan.”

Merenung kembali segala yang berlaku hari ini, bahagia rasanya hidup jika dikelilingi insan-insan yang hidup berlandaskan Islam. Bahagia rasanya menjalin ukhwah sesama manusia. Hasrat dan azam saya untuk menjadi salah seorang wanita solehah menjadi segar kembali setelah hampir layu dilanda kalalaian.


(Rabu 25 Jun 2008)

Wednesday, June 25, 2008

Nak ke kawan dgn budak nakal??


Satu petang selepas selesai kuliah, dua orang sahabat dari jauh berdiskusi apabila terlihat kelibat saya…
“Eh, cuba tgk tu Anis. Nurul nak kemana dengan Liz?”
“A’a la…macam rapat je diorg tu. Berbual mesra lagi. Takpe ke ni Fatma? Awak tau jela Liz tu cmna orangnya..”

Keesokannya…kedua-dua sahabat ini menemui saya.
“Nurul, ana nak tanya. Sejak bila enti berkawan dengan Liz? Enti kan tahu mcm mana orangnya. Ana risau enti akan terpengaruh dengannya. Bukan ana nak bersangka buruk dengan sesiapa, cuma ana sayangkan enti.”

“Alhamdulillah..ana dikurniakan sahabat yang baik mcm enti Fatma, Anis. Tapi orang kata berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” saya mengenyit mata pada kedua-dua sahabat sekadar bergurau senda.

“Ana tahu..ana tak halang enti berkawan dengan sesiapa. Tapi enti sendiri maklum, Liz tu orangnya sosial, pakaiannya saja mencerminkan peribadinya, tutur katanya sering menyakitkan hati. Lagipun, penampilan enti saja dah nampakkan perbezaan dengannya. Enti bertudung labuh, dia… Ana tak suka dengan orang mcm Liz tu.” Anis melahirkan rasa hatinya. Terlihat pada riak wajahnya ada rasa tidak senang dengan perlakuan saya.

Salah ke kawan-kawan untuk saya bersahabat dengan orang seperti Liz??

Kebanyakkan orang lebih selesa berkawan dengan orang yang ‘masuk’ dengannya. Jika di IPT, memang satu panorama yang biasa kelompok-kelompok dari ‘ragam’ yang sama dilihat berkumpul sekali. Biasa lah.. yang nerd kawan dengan nerd jugak. Yang rambut perang dengan rambut perang. Yang bertudung labuh, dengan geng-geng tudung labuhnya. Best ke camni? Takde integrasi pon.

Kebanyakkan golongan yang ‘baik sket’ kurang bergaul dengan insan-insan yang dirasakan ‘tak sama taraf’ dengannya. Mereka yang ‘baik sket’ ni rata-rata pengetahuan agamanya lebih baik jika dibandingkan dengan yang lain. Bukan la tidak bagus, tetapi kan lebih bagus lagi jika dikongsikan dan disebarkan kepada semua?

“Eh..bukan kami tak sampaikan. Kami dah buat usrah lagi. Dekat surau pun selalu kami buat aktiviti. Diorang yang tak nak datang”

Memang benar… Tapi cukup ke dengan itu sahaja? Orang yang selalu ke surau ni, dah memang hari-hari nampak muka tu jugak. Tak nak ke tambah orang lagi? Mungkin mereka yang tak biasa ke surau segan nak datang. Kita yang perlu mendekati mereka. Jangan hanya duduk dalam comfort zone, berkongsi ilmu dengan yang senang menerima nasihat kita sahaja. Bagaimana dakwah kita nak berkembang dengan hanya bergaul dengan orang-orang yang seangkatan dengan kita?

Sebagai orang yang diberikan Allah sedikit ilmu yang lebih dari orang lain, janganlah kita merasa sombong dan bongkak. Memang susah, memang benci rasanya nak berkawan dengan budak-budak nakal ni. Tapi, apakah kita merasakan diri kita cukup baik? Iman kita cukup sempurna? Jika kita baik sekalipun, adakah kita yakin pengakhiran kita juga baik? Mungkin dia yang kita kutuk-kutuk dan kita benci, berubah menjadi insan yang lebih baik 10 tahun akan datang. Bagi Allah, semuanya tidak mustahil…

Orang bijaksana selalu melengkapi kehidupannya dengan banyak persahabatan.

Hidayah itu bukan atas kuasa kita untuk memberinya. Apa yang dapat kita lakukan adalah menyampaikan dakwah atas muka bumi ini selagi mana kita mampu. Berdakwah, berjuang, memang susah..kerana syurga itu mahal harganya.

Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. Amin…

* segala nama-nama yg tertera di atas hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kait-mengait dengan mana-mana individu samada yg masih hidup atau yg telah mati.

Saturday, June 21, 2008

Penatnya...

Duhai diri...duhai hati...penatnya terasa...
Dua tahun lepas aku tak begini...dua tahun lepas aku bebas...
Tapi sekarang...

Ya, penat memang penat. Tapi itulah yang membahagiakan.. Dulu diri ini terasa kosong. Hari-hari yang berlalu bagaikan helaian kertas putih. Tiada warna penyeri yang mencorakkan kehidupan. Tiada cerita suka dan duka perjuangan..
Duhai diri...duhai hati...
Kadangkala aku alpa...
Tetapi Allah sentiasa bersama...Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Tika aku lalai, Dialah yang mengingatkan...

"Syuhada, boleh tak tolong jadi AJK Kuliah Maghrib?"
"Kak Syu, jom la join usrah kami."
"Syuhada, Makcik Liza mintak kamu tolong untuk aktiviti surau ni. Jangan lari ye..."

Bila diri ini hampir terlupa tujuan sebenar berada di dunia, terasa ditarik kembali ke jalanNya...
Ya Allah...betapa aku ini hambaMu yang hina...
Aku leka... Aku leka Ya Allah...
Berikanlah aku sinar hidayahMu
Janganlah kau palingkan pandanganMu dariku Ya Allah
Hanya kepadaMu aku berserah

Sekali aku melangkah ke jalan ini
Ujian dan dugaan mencanak tiba
Tabahkanlah hatiku Ya Allah
Kuatkanlah diriku
Nafsuku bukan sesuatu yang mudah dilawan... tetapi akan ku cuba
dan cuba...dan cuba lagi...
Perjuangan itu belum selesai...

Tuesday, June 17, 2008

Who I Am



An Excellent poem about the Muslim Woman.

What do you see when you look at me

Do you see someone limited,or someone free

All some people can do is just look and stare

Simply because they can't see my hair

Others think I am controlled and uneducated

They think that I am limited and un-liberated

They are so thankful that they are not me

Because they would like to remain 'free'

Well free isn't exactly the word I would've used

Describing women who are cheated on and abused

They think that I do not have opinions or voice

They think that being hooded isn't my choice

They think that the hood makes me look caged

That my husband or dad are totally outraged

All they can do is look at me in fear

And in my eye there is a tear

Not because I have been stared at or made fun of

But because people are ignoring the one up above

On the day of judgment they will be the fools

Because they were too ashamed to play by their own rules

Maybe the guys won't think I am a cutie

But at least I am filled with more inner beauty

See I have declined from being a guy's toy

Because I won't let myself be controlled by a boy

Real men are able to appreciate my mind

And aren't busy looking at my behind

Hooded girls are the ones really helping the muslim cause

The role that we play definitely deserves applause

I will be recognized because I am smart and bright

And because some people are inspired by my sight

The smart ones are attracted by my tranquility

In the back of their mind they wish they were me

We have the strength to do what we think is right

Even if it means putting up a life long fight

You see we are not controlled by a mini skirt and tight shirt

We are given only respect, and never treated like dirt

So you see, we are the ones that are free and liberated

We are not the ones that are sexually terrorized and violated

We are the ones that are free and pure

We're free of STD's that have no cure

So when people ask you how you feel about the hood

Just sum it up by saying 'baby its all good' ;)

Monday, June 16, 2008

Antara Anjing & Manusia



LEMBU : Hai anjing, apa habaq? Macam ada yg tak kena je?

ANJING : Aku tengah tension nih. Mau je aku gigit manusia tadi.

LEMBU : eh? kenapa?

ANJING : aku lalu tepi dua orang manusia lelaki dan perempuan yg sedang berkepit. Tetiba si lelaki terperanjat dan terus melompat dan berkata "hoi anjing, pergi jauh-jauh,najis !

LEMBU : Ya, lah. Ko kan haram. Najis tahap berat bagi manusia. Biasalah tu.

ANJING : Kalau aku najis sekali pon, kalau dia tersentuh aku, boleh disamak. Yang dia sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa?

LEMBU : Betul tu. Memegang wanita yg bukan mahramnya tanpa ikatan yg sah, lebih dahsyat kenajisannya daripada memegang ko anjing, malah tak boleh suci sekalipun disamak.

ANJING : Wah.. ayat ko memang powerla...manusia kena ubah pepatah "Pandai macam LEMBU"


Sedikit Penjelasan:Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada ibnu majah menyatakan bahawa "Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram".

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat.Tetapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

Di dalam satu riwayat hadis yang lain yang maksudnya, "Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya."(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

"Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".(Surah Zumar: 9)

p/s: ini peringatan buat diri ini n kengkwn sume...=) same2 kite renung2kn

Saturday, June 14, 2008

Apa ada dengan menutup aurat?


Satu hari saya dan beberapa orang sahabat seperti biasa ke surau untuk menunaikan solat lepas kelas. Satu panorama biasa di UiTM yang mana rata-rata pelajarnya agak kecil kain mereka dan kurang saiz bajunya. Sorg sahabat saya berkata,



“Diorg ni tahpape je kn.”



Saya diam.. Kata sahabat saya yang lain,



“Eh..jangan cakap cmtu..korg mana tau dia baik ke jahat. Kadang-kadang nampak je seksi tapi diorg baik tau. Cuba tengok, diorg pon solat ape. Yang tutup aurat pon sama jer. Ade yang lebih teruk lg dari diorang ni..”



Saya berdiam diri lagi.. cuba memikirkan perbualan sahabat-sahabat saya sebentar tadi.. usai solat,kami bergegas ke kelas untuk menyambung pelajaran.
Malam pn berlabuh…setelah menjamu sedikit juadah ilmu, saya pergi meluangkan sedikit masa bersama sahabat-sahabat tercinta. Berbual mesra sambil minum telah menjadi satu kebiasaan bagi kami setelah mengulangkaji dan menyiapkan tugasan. Teringat saya kepada perkara penting yang saya ingin sampaikn kepada mereka..



“Korg..nk mencelah jap. Korg ingt tak ape yang korg cakap masa kat surau petang tadi?”



“Pasal ape ek..?”



“Ala..pasal kes dak seksi yg solat tula..hehe”



“Owh..knape?”



“Takde la..sekadar ingin berkongsi sedikit pendapat dan ilmu..nk dgr tak?”



“Nak…cerita la. Yela, sekarang ni nampak macam semuanya sama jer.. susah nak bezakan mana yang baik mana yang buruk, kn.”



“Ok..macam ni.. ustazah su yang ana jaga anaknya dulu pernah berkata, orang yang tak menutup auratnya ni solatnya memang Allah takkan terima. Memang bila difikirkan, orang yang tutup aurat pon adakalanya lebih teruk. Tinggal solat, mulut jahat jugak. Tapi, satu kelebihannya ialah, orang yang menutup aurat dah memang sah akan dapat pahala menutup aurat, tapi yang tak tutup aurat agak-agak dapat tak? Dan bila bersolat, orang yang seksi solat tak diterima, orang yang menutup aurat insyAllah kalau dia betul bersolat, Allah terima...”



“Tapi kalau tak khusyuk, tak betul, Allah tak terima jugak kan. Solat tu kan tiang agama.. kalau dah tutup aurat dan solat tapi perangai teruk jugak, kan ke masih tak betul?”



“Kita ketepikan dulu soal lain, kita cerita tentang kaitan menutup aurat dan solat je dulu.”



“Ok.. hehe.. sambung la cepat.”



“Sekarang, cuba korg fikirkan. Orang yang tak tutup aurat ni, bila nk solat jer tutup aurat. Bila waktu lain xde pulak. Seksi bukan main… kan kita tau, salah satu ciri orang munafik ialah berpura-pura. Korang tak rasa perbuatan tu satu kepuraan jugak ke? Dihadapan Allah jer diorg jadi baik. Betul tak? Kalau nak dikatakan dari segi kesempurnaan menutup aurat, memang susah nak cari wanita yang menutup aurat mengikut tuntutan Islam sekarang. Apa yang penting, kita jangan berhenti untuk belajar dan sentiasa memperbaiki diri. Dan apa yang telah kita pelajari, kongsikan dengan orang lain. Kan lebih baik kita menegur budak tadi dengan baik. Sekurang-kurangnya kita dah melaksanakan tugas menyampai. Nak ikut atau tidak, itu terpulang pada individu tersebut..”



Tidak banyak yg kami kongsikan malam itu. Cukuplah sedikit sahaja tapi ada penambahan ilmu dari berbual kosong. Memang isu aurat ini terlalu luas, banyak yang perlu dikupas. Tetapi apa yang ingin disampaikan cumalah untuk mengubah perspektif masyarakat terhadap wanita yang menutup aurat. Bukanlah memenangkan mereka yang mana juga adakalanya sama taraf dengan yang berpakaian mendedah aurat. Cuma janganlah kerana sikap buruk mereka, kita menyalahkan pakaian mereka.

Friday, June 13, 2008

Doaku Untukmu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,Ya Allah Ya Tuhan Kami, Limpahkanlah kurniaMu kepada Nabi junjungan kami, utusanMu Muhammad S.A.W, berikanlah Baginda darjat yang tinggi dan terpuji yang telah Engkau janjikan. Kurniakanlah kesejahteraan kepada keluarga Baginda dan para sahabat solihin, ulama dan tabi’in, para wali dan imam di kalangan umat baginda.


Ya Allah Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Berikanlah kekuatan kepada saudara-saudara kami di Palestin. Anugerahkanlah mereka ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujianMu yang amat getir ini. Kasihanilah mereka, lindungilah dan payungilah mereka dari kekejaman kaum kafir .


Ya Allah Ya Rabbul A’lamin, sesungguhnya Engkau telah menjanjikan syurga dan kemudahan Siratul Mustaqim kepada para Syuhada, maka kau letakkanlah saudara-saudara kami di Palestin, dikalangan para Syuhada. Ya Allah, mereka berjuang bukan kerana nama, bukan kerana harta. Mereka berjuang kerana ingin mempertahankan tanah suciMu, mereka Syahid kerana menegakkan agamaMU, Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui setiap sesuatu yang ada di hati hambaMU.


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, terdapat halangan antara kami untuk berjuang bersama mereka, maka jadikanlah doa kami ini sebagai senjata kepada mereka. Jadikanlah ingatan kami ini sebagai pertolongan kepada mereka, jadikanlah kasih sayang kami sebagai kudrat dan dorongan kepada mereka. Dekatkanlah hati kami kepada mereka agar dapat kami menyelami perjuangan mereka.


Ya Allah, Ya Zaljalali wal Ikram, tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya kami tergolong dalam golongan yang menzalimi diri sendiri. Engkau ampunkanlah dosa kami, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami, ampunkanlah dosa kaum muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah kembali kepadaMU. Ampunkanlah dosa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh penjuru dunia. Berikanlah kekuatan kepada kami dalam menghadapi musuh-musuhMu. Makbulkanlah doa kami, Ya Tuhan sekalian alam. Amin…


P/s: Sabda Rasulullah S.A.W., Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, “ Barangsiapa yang menunjuk ke arah kebaikan, dan yang ditunjuk itu berbuat baik seolah-olah dia yang melakukannya. Barangsiapa yang menunjuk ke arah keburukan, dan yang ditunjuk itu berlaku buruk, seolah-olah dia juga yang melakukannya”

Ingatlah, jika kita mengajar satu lafaz dari Al-Quran kepada seseorang, dan jika orang itu kelak menjadi ilmuwan Al-Quran, seolah-olah kita juga ilmuwan itu. Dan jika kita mengajar orang bergelek dan menari di pentas dan kelak orang itu menjadi masyur kerana tarian geleknya, maka seolah-olah kita pun bergelek juga. Moralnya, fikirlah sendiri.

 
Blogger Templates by Wishafriend.com