Baru-baru ini seorang sahabat bercerita tentang kegusarannya pada saya. Resah hatinya, kerisauan terpancar pada riak wajahnya. Mengapa? Kerana sekeping sijil dan nilainya pada masa hadapan. Gusar kerana saudaranya yang merupakan pelajar di sekolah pondok tidak mempunyai sijil untuk bekerja dan meneruskan kehidupan. Terus, dia tidak bersetuju sama sekali dengan cara pengurusan di sekolah-sekolah pondok. Soalnya, apakah sijil itu menentukan hala tuju kita? Apakah dengan sekeping sijil bererti rezeki kita sudah ditentukan? Siapa yg lebih berhak menentukan rezeki kita selain Allah?
Jawapan saya padanya mudah. Saya bertanya kembali, adakah semua orang-orang yang berkelulusan tinggi mendapat pekerjaan yang baik? Dan apakah pula pekerjaan itu menjanjikan dia rezeki yang halal lagi diberkati? Siapa tahu, dia bakal pendakwah yang hebat yang bekerja semata-mata kerana Allah. Dia patut berbangga kerana mempunyai saudara yang sebegitu, yang matanya tidak dibutakan dunia. Belajar di pondok bukanlah satu penghinaan baginya tetapi merupakan satu kemuliaan.
Kadangkala hati saya sendiri geram bila menjawab persoalan-persoalan sebegini. Apakah dunia yg kita kejari? Letaklah dunia di tangan, bukan di hati. Tetapi, memang saya sedari hakikatnya masih ramai yang tidak memahami konsep ilmu itu sendiri. Bahkan saya sendiri adakalanya terlupa. Alhamdulillah, bila ditanya begini, kesedaran itu datang kembali.
Teringat saya pada tajuk research proposal yang baru dihantar pada minggu lepas, "What is the Purpose of Reading among Students? Reading for Exam or Knowledge Purpose?" Tajuk yang memang sengaja saya pilih untuk dikaji. Rata-rata para pelajar memang mementingkan sijil dan kelulusan dalam bidang yang diambil tanpa menyedari pengertian 'Belajar' yang sebenar. Mengejar ilmu yang bagi mereka membawa faedah kepada diri semata-mata tanpa menghiraukan ilmu-ilmu yang lain yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Sehari berteleku di hadapan buku, sanggup tidak makan dan minum semata-mata kerana ingin mencapai keputusan peperiksaan yang tinggi. Bukanlah untuk menyatakan ianya salah, tetapi perbetulkan niat.
Biasanya para pelajar memang terkenal dengan solat hajat. Betul kan? Tetapi bila masanya kita biasa melakukan solat-solat sunat terutamanya solat hajat? Tepuk dada, tanya hati. Menjelang peperiksaan memang ramai yang teringat kewujudan solat hajat ini. Apakah kita solat untuk memohon berkat dan rahmat Allah? Atau semata-mata kerana berhajat untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat pekerjaan yang baik di kemudian hari?
Pesan saya kepada semua, jadikan ilmu itu sebagai satu landasan untuk kita lebih mendekati Allah. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi, kaitkan ia dengan Islam. Segalanya akan menjadi lebih indah dan bermakna. Di Barat, ramai yang tertarik dengan Islam kerana ilmu. Kajian-kajian yang mereka lakukan menjurus mereka kepada penemuan agama Allah. MasyaAllah! Hebat bukan? Bahkan adakalanya mereka lebih menghayati Islam itu daripada kita. Moga hidayah itu terus berkekalan di dalam hati ini.
Monday, November 3, 2008
Belajar Demi Sekeping Sijil atau Ilmu??
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 lontaran pandangan:
Alhamdulillah krn ada insan yang sama sedar akan peri pentingnya perkara ini.Di dalam sibuk mengejar dunia kadang-kadang kita terlupa tujuan sebenar kita dihantar ke bumi yang bersifat sementara ini.Lumrah manusia itu bersifat pelupa, tapi sampai bila?Alhamdulillah saudari sama2 memperingati kita yang sentiasa lupa dan alpa...moga2 kita berjumpa dsyurga Allah s.w.t...
Post a Comment