Tuesday, July 12, 2011

Belajar DARI Kesilapan. Bukan Belajar DAN Membuat Kesilapan.


"Teacher nak tahu... Saya telan 10 biji Panadol."


Terkejut. Malah lebih terkejut dengan gaya pelajar tersebut yang nampak bersahaja.

"Kenapa awak telan sampai 10 biji?"

"Saya stress teacher. Dia minta clash dengan saya." terang pelajar tersebut tentang masalah dengan buayafriend nya.

"Owh... Kenapa tak telan sampai mati ja? Tak ada awak stress dah." dengan nada menyindir tapi melawak saya menjawab. Geram!

Itu bukan sekali pelajar tersebut membuat perangai yang membingungkan. Malah guru-guru telah masak dengan sikapnya yang sememangnya tidak mahu berubah.

Beberapa bulan sebelumnya saya adalah guru praktikal kepada pelajar tersebut. Dia pintar, cerdas, dan ceria orangnya. Bagi seorang guru, saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar harus dilayani dengan setara; tiada yang berbeza. Walaupun begitu, sesetengah situasi memerlukan seorang guru melebihkan perhatiannya - bukan kerana mahu membezakan, tetapi mendidik si "ugly duckling" menjadi seperti si itik yang lain.

Cara Abah
Abah diam. Kemana pergi anak-anaknya seolah tidak dihiraukan. Apa sahaja perbuatan kami lima beradik cuma diperhatikan; tanpa sebarang kata. Tetapi abah punyai seribu mata yang tersembunyi.

Abah hanya menunggu masanya bila rotan berlagu riang, sedangkan di dapur emak sudahpun menyanyikan bait-bait leteran. Klasik sepanjang zaman.

Mungkin sukar untuk kami mengerti tetapi apa yang saya fahami, abah mendidik kami dari kesilapan. Dengan merasai pahitnya sebuah kesilapan, barulah nasihat yang bakal abah berikan masuk ke telinga kanan dan tak mungkin mahu keluar dari telinga kiri.

Kesilapan yang kami lakukan menyebabkan kami menutup rapat pintu telinga kiri agar nasihat yang diberi tidak lari. Kami sangat memerlukannya.

Umar al-Khatab juga belajar dari kesilapan. Kerana amarahnya yang membara apatah lagi setelah diketahui saudara perempuan beserta suaminya juga memasuki Islam, amarahnya pada Rasulullah dan Islam itu semakin membara. Tetapi api itu padam setelah Umar menyedari kesilapannya.

Umar BELAJAR dari kesilapan.

Manusia itu hidup, makan, minum, bekerja, tidur, berbual, bersosial, dan bernafas 24 jam sehari. Masakan dalam sesaat pun tiada kesilapan yang dilakukan. Perkara yang membezakan manusia itu hanya bernama 'manusia' dan yang bernama 'hamba Allah' adalah dari kebolehupayaan dia belajar dari kesilapan yang dilakukan dalam rutin harian.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 119:

"Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki (dirinya), sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Belajar DAN membuat kesilapan
Ramainya jenis manusia ini adalah yang belajar DAN membuat kesilapan. Bak kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, taubat cili api. Walaupun cili api terasa pedas apabila dimakan, tetapi kerana 'sedap'nya pedas itu, kita masih mencari cili.

Begitulah juga kisahnya dengan kesilapan. Membuat kesilapan itu diketahui mudarat dan dosanya, tetapi kerana 'sedap'nya kesilapan, ia tetap dibuat berulang kali.

Jadi, apakah formulanya untuk BELAJAR DARI KESILAPAN dan bukan BELAJAR DAN MEMBUAT KESILAPAN?

Lakukanlah TAUBAT itu di atas KESALAHAN. Iaitu segeralah bertaubat dan jangan ia ditangguhkan. Kerana apabila taubat itu ditangguhkan, jadilah kesalahan itu suatu kebiasaan yang sukar dihapuskan lagi.

Pelajar kembali belajar
Setelah pulang dari hospital akibat kesan sampingan terlalu kerap mengambil panadol dalam dos yang berlebihan, pelajar tersebut kembali sedar bahawa perbuatannya hanya mengundang kesengsaraan sendiri. Jawatan-jawatan yang dahulunya dibanggakan kini semuanya telah dilucutkan.

Raja turun menjadi rakyat biasa. Tetapi raja ini, raja berpengalaman.

Kali terakhir saya sempat berbual dengan pelajar tersebut, nampak tanda penyesalan pada riak wajahnya. Semoga dia berubah dan BELAJAR DARI KESILAPAN.


*_berfikir dan berfikir_*

 
Blogger Templates by Wishafriend.com