Saturday, January 16, 2010

Daun Kering Yang Dijilat Api

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Daun itu apabila ia di atas (daun segar), ia masih mampu berfungsi; menjalankan proses fotosintesis dan melakukan kebajikan dengan memberi manusia bekalan oksigen dan udara segar. Tetapi apabila daun sudah berada di bawah (daun kering), ianya tidak mampu berfungsi lagi. Apatah lagi keadaannya bila dijilat api.
Ibarat manusia kudung. Sudah lah tidak bertangan, putus pula kakinya.

Orang yang rugi
Manusia berbuat kebaikan, tetapi ada pelbagai cara yang boleh memusnahkan pahala kebaikan itu. Antaranya ada tiga:-
a) Riak
b) Ujub
c) Mengungkit kebaikan

Orang yang mengungkit kebaikannya adalah seperti daun kering yang mana pahalanya tidak dapat berfungsi lagi, bahkan terhapus begitu sahaja bagai dijilat api.
Tiada lagi fungsi pahala sebagai penyelamat diri di kemudian hari... Rugi... Rugi...

Sabar dalam berahsia tentang kebaikan diri
"Ala Muna... Tak nak ke tolong aku? Kan dulu aku pernah tolong kau hantar surat."

"Abang ni... Saya dari pagi tadi masak, mengemas, basuh baju, sidai kain, jaga anak, trim pokok... Awak duduk baca suratkhabar je."

"Kamu ni dari kecil akak jaga tau. Suap makan lagi. Dah besar, akak mintak tolong sidai baju pun tak nak."

Kenapa dikatakan bersabar dalam berahsia tentang diri adalah kerana dengan mengungkit kebaikan akan terhapusnya pahala. Walaupun dengan niat adalah untuk menyedarkan orang lain.

Sukarnya untuk mengelak dari tersebut kebaikan diri kerana kadangkala ianya telah menjadi satu kebiasaan. Saya sendiri juga terbiasa. Ia adakalanya terasa seperti sebahagian ayat lazim yang biasa diguna untuk membela diri, walhal hakikatnya ia memakan diri. Kerana ianya sering berlaku tanpa sedar, tanpa niat, menjadikan pahala amalan yang disebut itu ditarik tanpa dosa.

Isu nya kecil, tapi ungkitannya mengakibatkan pembaziran yang sangat besar. Langkah pencegahannya mudah, tetapi sukar untuk dibiasakan. Buluh-buluh yang sudah keras masakan boleh dilentur dengan mudah seperti rebung.

Mengambil pesanan dari nasihat Luqman al-Hakim pada anaknya,
"Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan terhadap orang."

Apabila hati menutup dan menepis perasaan 'perasan baik', dan mengambil sikap 'bersangka baik", kita lebih terdorong untuk mengelakkan mulut dari tersebut kebaikan diri.

Contohnya, kita membantu rakan mengangkat kain di jemuran. Ringan rasanya mulut untuk memberitahu dengan gembira bahawa kita lah orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang 'tidak seberapa' itu. Tetapi, cuba lah menepisnya dengan mengingat kebaikan rakan,

"Aku baru angkat kain sekali je untuk Husna, tapi dia dah angkat kain aku banyak kali."

Agak-agak terselitkah perasaan suka untuk menyebut kebaikan diri? Mungkin ada, tetapi peratusnya rendah sekali. Kerana malu; itu lah yang mahu disimpulkan dari nasihat Luqman al-Hakim.

Membaca sememangnya mudah. Memahami juga mudah. Tetapi untuk mengamalkan memerlukan seribu daya dan kemampuan.

Tanpa rahsia manusia itu tidak sempurna. Rahsia apa? Rahsia tentang amalannya~

*_berfikir dan berfikir_*

 
Blogger Templates by Wishafriend.com