Wednesday, September 3, 2008

Siapa Mahukan Haruman Kasturi?


Ramadhan yang dinanti-nanti kini tiba kembali setelah sekian lama menyepi. Rindu...terasa rindu menggamit hati. Pada Ramadhan yang datang dan pergi.

Ramadhan dan puasa memang tidak dapat dipisahkan lagi. Setiap kali menyebut bulan Ramadhan, pasti dibenak fikiran setiap orang akan terus tertacap perkataan 'puasa'. Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bauan kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Mengapa Allah menggunakan haruman kasturi dan bukan emas, berlian, madu dan lain-lain ganjaran yang sememangnya nampak lebih hebat? Apa ada dengan haruman tersebut?

Pernahkan kalian membeli haruman (perfume) di kedai-kedai? Jikalau tidak sekalipun, semestinya ada yang mencuba. Adakah pernah kalian melihat haruman-haruman ini dibiarkan terbuka? Tidak. Haruman tidak pernah dan tidak akan dibiarkan terbuka kerana akan habislah rosak dan hilang wangian tersebut.

Begitulah yang terjadi pada orang-orang yang berpuasa. Hadis tersebut bukan sahaja menerangkan bahawa Allah memberi ganjaran berupa haruman dari mulut, tetapi juga Allah ingin menyampaikan kepada kita pengertian sebenar berpuasa. Di dalam berpuasa seseorang hendaklah menahan mulutnya dari banyak berkata-kata. Apatah lagi jika apa yang diakatakan itu hanyalah perkara yang bukan-bukan dan tidak membawa sebarang manfaat. Tidak banyak bercakap dan menutup mulut boleh diumpamakan dengan menutup haruman kasturi tadi. Lebih banyak percakapan dari mulut, lebih banyaklah haruman yang keluar. Akhirnya tidak meninggalkan apa-apa untuk disimpan sebagai bekalan di akhirat. Di penghujung Ramadhan, kita tidak mendapat apa-apa. Bahkan ibadah puasa yang dijalani hanyalah kosong semata-mata.

Nakkan haruman kasturi dari mulutmu? Nah, jangan banyak berkata yang sia-sia di bulan mulia ini.

0 lontaran pandangan:

 
Blogger Templates by Wishafriend.com