Monday, May 24, 2010

Bergurau. Boleh Ke Tak Boleh?

Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana kelas yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat terutamanya waktu nak dekat 'exam'. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah.

Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Kata orang putih "Excess of anything is abnormal!" Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja. Jikalau berlebihan tanpa batas, hidup boleh jadi huru-hara!

Namun, Islam itu cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardawi ada meletakkan 5 syarat untuk bergurau senda.

1. PERKARA YANG HENDAK DICAKAPKAN ITU BUKANLAH SESUATU YANG BOHONG HANYA SEMATA-MATA SUPAYA MANUSIA KETAWA.

Nabi SAW bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له
"Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." (HR Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam berbicara, kita perlu beringat supaya tidak menokok tambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar. Cuba lihat apakah kesan media apabila tokok tambah menjadi bahan utama dalam tulisan mereka. Berita yang tersebar menjadi sensasi. Kita pula selalunya tanpa usul periksa menyebarkan berita-berita sebegini kepada kawan. Tetapi berita yang tersebar itu kadangkala boleh menjadi fitnah bagi orang-orang tertentu, dan kesannya hidup seseorang boleh menjadi hancur disebabkan fitnah. Maka, berhati-hatilah.

2. TIDAK MENGANDUNGI PENGHINAAN TERHADAP SESEORANG MELAINKAN ORANG TERSEBUT MENGIZINKANNYA.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Nabi SAW bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
"Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hati dia. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.

Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.

3. MELAWAK YANG TIDAK MENAKUTKAN ORANG LAIN.

Nukman bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasululah SAW di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi SAW bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا
"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada 'limit' kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. JANGAN BERGURAU PADA PERKARA YANG PERLU SERIUS.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi SAW bersabda:

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق
"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah S.W.T.:

"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai."(59 – 61 : an-Najm)

Seriously, perkara sebegini tidak boleh menjadi bahan gurauan kerana ianya melibatkan hukum agama. Maka, berhati-hatilah.

5. HENDAKLAH MELAWAK SEKADAR PERLU DAN TIDAK BERLEBIHAN.

Nabi SAW bersabda:

وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ
"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan)


Kita seringkali diingatkan, mereka yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Dan bagi mereka yang banyak menangis di dunia (kerana mengenangkan akhirat), hidupnya di akhirat akan lebih bahagia. (Dr. Yusuf Qardawi, Feqhul Lahwi wat Tarwih)

Hmm..siapa kata orang Islam tak boleh bergurau?
Boleh..... Tapi ada caranya.

IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.
Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda
"Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya:
"Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." (Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata
"Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا

Maksudnya:
Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

*Terima kasih pada adik-adik INTEC yang menampalkan artikel ini di surau. Dengan bantuan bahan-bahan lain yang diguna sebagai rujukan, harapnya dapat dijadikan panduan bagi semua.


*_berfikir dan berfikir_*

Saturday, February 6, 2010

Mesej Dalam H1N1

Tiada seorang pun yang menginginkan neraka Allah kerana asalnya manusia adalah dari syurga Allah. Oleh itu, menjadi fitrah manusia menginginkan syurga. Tetapi pengakhirannya Allah menyediakan dua tempat; syurga dan neraka.

Kenapa?

Kerana mereka ada pancaindera tapi tidak digunakan dengan baik. Mereka ada hati tapi tidak mampu untuk menilai.



Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada [Al-Hajj 22:46]

Ada hati, ada minda, tetapi mereka tidak mampu berfikir dengan baik.

Pepatah ada menyebut "Hayawaanun Laatikum" ertinya manusia seperti haiwan yang berakal.
Manusia itu adalah haiwan, cuma ia mampu berfikir. Masakan haiwan pergi ke surau, kuliah maghrib, dan bersikap rasional. Kerana itu, manusia yang apabila terpisah dari agama, dari peribadi yang mulia serta pemikiran yang rasional adalah diumpakan seperti haiwan.

Selsema Babi (H1N1)
"Babi najis apa adik-adik?"
"Najis Mughallazah..!" sambut adik-adik.

Kanak-kanak faham larangan tentang babi. Kita juga faham larangan tentang babi.
Tetapi adakah yang betul-betul memahami haiwan kotor ini?
Kerana masih tiada kefahaman tentang babi lah yang menjadikan virus H1N1 masih menular sehingga kini tanpa dapat dimusnahkan secara sepenuhnya lagi.

Kita melihat dari perspektif luaran tanpa mencari hikmah.

Manusia, terutamanya umat Islam sering melihat babi sebagai sesuatu yang JAUH dari kita.

Orang Islam tak makan babi. Orang Islam tak sentuh babi.

Mengambil Selsema Babi sebagai suatu amaran.
Suatu ketika dahulu negara kita dikejutkan dengan jumlah kes denggi yang sangat tinggi sehinggakan hospital dipenuhi dengan mangsa-mangsa nyamuk!
Ya..nyamuk. Sama seperti apa yang terjadi pada Raja Namrud; diserang oleh seekor nyamuk sahaja lalu mati.

Nyamuk Aedes hanya aktif pada waktu gelap (maghrib dan subuh).
Amaran untuk mengingatkan manusia betapa pentingnya untuk bangun pada waktu-waktu ini untuk beribadat (nyamuk tak ke surau). Atau mungkin juga mengingatkan kita tentang sikap kita yang semakin menghampiri Namrud.

Apabila Allah menurunkan bala, ianya secara menyeluruh
Kajian antara ayam dan babi tentang cara mendapat pasangan menemui hasil yang sangat menarik.

a) Dua ekor ayam jantan dan seekor ayam betina dilepaskan dalam kandang. Apa yang didapati ialah kedua-dua ekor ayan jantan tersebut bertanding secara sistematik untuk mendapat pasangan. Yang menang dalam sabungan akan mendapatkan ayam betina tersebut.

b) Dua ekor babi jantan dan seekor babi betina dilepaskan dalan kandang babi. Apa yang didapati ialah, ketiga-tiga ekor babi menyerbu sekaligus. Tiada sistem yang sistematik seperti ayam. Malahan, jika kedua-dua babi jantan tidak berjaya mendapatkan babi betina, maka yang jantan akan berpasangan dengan yang jantan. Gay!

Sikap babi sangat menyerupai sikap manusia pada akhir zaman.
Ramai yang menyangka sebagai Muslim, H1N1 adalah sesuatu yang jauh dari kita kerana kita tidak pernah menyentuh, makan, atau apa-apa sahaja yang mendekati babi. Akan tetapi, Allah ingin memberitahu bahawa sebenarnya SIKAP dan PERANGAI manusia lah yang mendekati babi.

Oleh itu, hendaklah memperhalusi ujian dan bencana yang telah Allah beri. Jagalah adab, pemakanan, dan perbuatan agar menjauhi maksiat.

"Jangan campakkan diri kamu ke ruang-ruang kebinasaan."
addzariyat211.jpg
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak perhatikan tanda-tanda dan bukti kebesaran Dia?” [Adz-Dzaariyaat 51:21]

*_berfikir dan berfikir_*

Saturday, January 16, 2010

Daun Kering Yang Dijilat Api

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Daun itu apabila ia di atas (daun segar), ia masih mampu berfungsi; menjalankan proses fotosintesis dan melakukan kebajikan dengan memberi manusia bekalan oksigen dan udara segar. Tetapi apabila daun sudah berada di bawah (daun kering), ianya tidak mampu berfungsi lagi. Apatah lagi keadaannya bila dijilat api.
Ibarat manusia kudung. Sudah lah tidak bertangan, putus pula kakinya.

Orang yang rugi
Manusia berbuat kebaikan, tetapi ada pelbagai cara yang boleh memusnahkan pahala kebaikan itu. Antaranya ada tiga:-
a) Riak
b) Ujub
c) Mengungkit kebaikan

Orang yang mengungkit kebaikannya adalah seperti daun kering yang mana pahalanya tidak dapat berfungsi lagi, bahkan terhapus begitu sahaja bagai dijilat api.
Tiada lagi fungsi pahala sebagai penyelamat diri di kemudian hari... Rugi... Rugi...

Sabar dalam berahsia tentang kebaikan diri
"Ala Muna... Tak nak ke tolong aku? Kan dulu aku pernah tolong kau hantar surat."

"Abang ni... Saya dari pagi tadi masak, mengemas, basuh baju, sidai kain, jaga anak, trim pokok... Awak duduk baca suratkhabar je."

"Kamu ni dari kecil akak jaga tau. Suap makan lagi. Dah besar, akak mintak tolong sidai baju pun tak nak."

Kenapa dikatakan bersabar dalam berahsia tentang diri adalah kerana dengan mengungkit kebaikan akan terhapusnya pahala. Walaupun dengan niat adalah untuk menyedarkan orang lain.

Sukarnya untuk mengelak dari tersebut kebaikan diri kerana kadangkala ianya telah menjadi satu kebiasaan. Saya sendiri juga terbiasa. Ia adakalanya terasa seperti sebahagian ayat lazim yang biasa diguna untuk membela diri, walhal hakikatnya ia memakan diri. Kerana ianya sering berlaku tanpa sedar, tanpa niat, menjadikan pahala amalan yang disebut itu ditarik tanpa dosa.

Isu nya kecil, tapi ungkitannya mengakibatkan pembaziran yang sangat besar. Langkah pencegahannya mudah, tetapi sukar untuk dibiasakan. Buluh-buluh yang sudah keras masakan boleh dilentur dengan mudah seperti rebung.

Mengambil pesanan dari nasihat Luqman al-Hakim pada anaknya,
"Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan terhadap orang."

Apabila hati menutup dan menepis perasaan 'perasan baik', dan mengambil sikap 'bersangka baik", kita lebih terdorong untuk mengelakkan mulut dari tersebut kebaikan diri.

Contohnya, kita membantu rakan mengangkat kain di jemuran. Ringan rasanya mulut untuk memberitahu dengan gembira bahawa kita lah orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang 'tidak seberapa' itu. Tetapi, cuba lah menepisnya dengan mengingat kebaikan rakan,

"Aku baru angkat kain sekali je untuk Husna, tapi dia dah angkat kain aku banyak kali."

Agak-agak terselitkah perasaan suka untuk menyebut kebaikan diri? Mungkin ada, tetapi peratusnya rendah sekali. Kerana malu; itu lah yang mahu disimpulkan dari nasihat Luqman al-Hakim.

Membaca sememangnya mudah. Memahami juga mudah. Tetapi untuk mengamalkan memerlukan seribu daya dan kemampuan.

Tanpa rahsia manusia itu tidak sempurna. Rahsia apa? Rahsia tentang amalannya~

*_berfikir dan berfikir_*

 
Blogger Templates by Wishafriend.com