Wednesday, January 21, 2009

Menghitung Usia

1 hari - 4 tahun
"Alalala comelnya dia... Bila nak berjalan ni? Cepat besar, nanti boleh tolong mak."

5 tahun - 6 tahun
"Jangan nakal-nakal kat sekolah tau. Malam nanti abah nak tgk Ada mengaji mukasurat baru."

7 tahun - 12 tahun
"Nah, bekal makanan. Nanti duit belanja mintak kat abah. Kerja sekolah dh siap belum?"
"Ha cepat. Abah nak tengok Ada solat macam mana. Dah hafal doa qunut belum?"
"Mak... takut la nak UPSR. Mak doakan Ada ek."

13 tahun - 15 tahun
"Mak, Ada nak beraya rumah kawan boleh? Dekat-dekat sini jer..."
"Keputusan periksa hari tu camne? Dah bagi abah report card?"
"Mak... Abah... Ada dpt masuk MRSM!"

16 tahun - 17 tahun
"Duduk asrama tu elok-elok. Jangan bercinta-cinta ni. Belajar rajin-rajin..."
"SPM dh dekat... Mintak tolong banyak-banyak dengan Allah. Mana tau nak jadi rezeki kamu dapat ambil Medic."

18 tahun - 20 tahun
"Alhamdulillah... Tak dapat Medic nak buat cmna. Allah dah tentukan aku jadi cikgu. Mungkin ada hikmahnya..."

21 tahun - 22 tahun
"Mak... Abah... Apa pendapat mak kalau Ada kata nak kahwin? Ada tak nak bercinta tak tentu hala macam orang lain."
"Jodoh itu di tangan Allah. Dia nak ambil balik sesiapa pada bila-bila masa, itu hak Dia. Mungkin ada yang lebih baik tersedia untuk kita jika kita bersabar..."

23 tahun - ????
Dialognya belum ada kerana baru sehari hidup dengan umur yang baru, diberi kenikmatan menghirup udara Allah, diberi kekuatan untuk terus berjuang di Bumi Allah, diberi kesegaran dan nafas baru untuk memulakan langkah kehidupan.

Abah pernah berkata kepada kami adik-beradik, umur yang panjang tidak semestinya baik dan umur yang pendek tidak semestinya rugi. Yang penting, keberkatan dalam usia itu yang menjadi titik perhitungan. Moga emak, abah, dan seluruh keturunan kami diberkati Allah. Amin...

Menjadi seorang gadis berusia 23 tahun bukan sesuatu yang dilihat mudah. Cabaran dunia semakin mengasak dan pegangan hidup perlu diperkukuhkan agar iman tidak goyah dipermainkan. Pekerjaan, perkahwinan, masa depan... Semuanya menjadi persoalan-persoalan yang masih belum mampu dijawab. Ahli keluarga besar sudah mula bertanya-tanya, siapakah insan yang sudah bertahta di hati untuk dijadikan pasangan hidup. Rasanya masih belum mampu untuk menjawab. Ianya satu soalan yang berat yang entah bila akan ada jawapannya. Hanya usaha dan doa yang mampu disertakan dengan tawakal kepada Allah. Moga bertemu dengan insan yang cintanya yang paling utama adalah kepada Yang Esa.

Sahabat-sahabat, doakan umur ini diberkati. Moga diri ini istiqamah dalam perjuangan membela agama tercinta. Moga hati ini dibalut selimut ketakwaan yang menjadi pengubat duka lara dunia. Moga tubuh yang lemah ini mampu bekerja untuk simpanan di akhirat sana. Moga cabaran dan dugaan mematangkan pemikiran dan bukan memusnahkan diri. Moga hidupku dan matiku dalam Islam, syahid di jalan Allah.

P/S: Terima kasih yang tak terhingga untuk Nurus, Fasihah, Zarif, Huda, Aini, Adilah, Khomsiah, dan Azim untuk sambutan yang diberi. Terharu... Sangat-sangat terharu. Tambahan pula ini semester terakhir di UiTM. Last night was really a night to remember (",) Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Ummu dan Farahani atas hadiah yang diberi. Cantik... Macam orang yang memberinya (^_^) Dan terima kasih juga buat semua teman, junior-junior yang mengingati hari tuaku semalam. Juga buat teman-teman di Brunei yang mendoakan dari jauh (UBD best!). Moga persahabatan kita ini diberkati Allah dan berkekalan hendaknya. Amin...

Sunday, January 18, 2009

Siapa Bunuh Siapa?

Boikot: Perlu praktikal

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Rakyat Malaysia diminta lebih praktikal dalam memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan negara bankrap pada masa depan.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, meskipun tindakan itu bertujuan memprotes situasi yang berlaku di Genting Gaza namun ia boleh mendatangkan musibah kepada negara sekiranya kuasa besar itu membuat perkara yang sama kepada Malaysia.

Beliau yang melahirkan kebimbangan dengan situasi semasa berkata, sebagai rakan dagangan terbesar di Malaysia, AS mampu melakukan apa sahaja untuk membalas tindakan memboikot barangannya.

‘‘Dalam hal ini, Malaysia sebenarnya boleh diibarat seperti mentimun dengan durian, tergolek rosak, digolek binasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

-----------------------------------------------

Ekonomi Barat boleh digugat

Konflik Israel-Palestin dan keganasan Israel tanpa peri kemanusiaan ke atas penduduk Islam Palestin di Gaza sebenarnya mencerminkan kelemahan pemimpin-pemimpin negara Islam itu sendiri.

Demonstrasi, boikot dan bantahan sama ada diplomasi atau keras tanpa tindakan balas yang setara ke atas keganasan Israel tidak membawa sebarang pengertian.

Tidak hairanlah Israel masih mengganas walaupun resolusi gencatan senjata telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti biasa, Amerika Syarikat (AS) mengambil sikap berkecuali dalam resolusi PBB itu.

Konflik Israel-Palestin dan serangan rejim Zionis ke atas Gaza mencerminkan kelemahan kesatuan geopolitik dalam kalangan pemimpin negara Islam.

Kelemahan negara Islam dari segi ekonomi, politik dan tentera, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, memberi ruang kepada negara Barat, terutamanya AS dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan hala tuju ekonomi dan politik dunia.

Merekalah arkitek kepada penubuhan PBB, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

Menerusi institusi antarabangsa itu, AS dan EU melaungkan peri pentingnya demokrasi dan meluaskan pengaruh mereka menerusi bantuan keselamatan dan kewangan kepada negara sedang membangun, termasuk negara Islam.

Liga Arab (22 negara ahli) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC, 57 negara ahli) tidak dapat mempengaruhi, apa lagi menguasai konflik Israel-Palestin, sebaliknya bergantung kepada PBB untuk menyelesaikan konflik itu.

-------------------------------------------------

Sama tapi tak serupa.

Umat Islam di Palestin tertindas - salah siapa?

Umat Islam di Palestin dibunuh - salah siapa?

Israel mengganas di Palestin - salah siapa?

Bantuan ketenteraan dan bekalan senjata kepada Israel - salah siapa?

Penguasaan wilayah2 di Palestin - salah siapa?

Rakyat Palestin menderita kesejukan dan kelaparan - salah siapa?

Bank di Palestin ditutup - salah siapa?

Bekalan makanan dan bantuan disekat oleh pihak Mesir - salah siapa?

Rakyat Palestin merempuh masuk ke Mesir melalui sempadan - salah siapa?

Ekonomi bukanlah satu alasan untuk menjadi pengecut antarabangsa. Sekeping nota yang bernama WANG bukanlah segala-galanya. Dapatkah Masjid Al-Aqsa ditebus dengan wang ringgit? Dapatkah maruah umat Islam dibeli dengan wang ringgit?

Oleh itu, siapa bunuh siapa? Siapa lagi jika bukan kita umat Islam sendiri yang membunuh saudara-saudara kita di Palestin. Jangankan kerana menjaga ekonomi negara, ekonomi akhirat tergadai.

 
Blogger Templates by Wishafriend.com