Pertengahan bulan julai ni, genaplah setahun saya memakai tudung labuh. Mungkin ramai yang tidak tahu permulaan perubahan diri saya. Walaupun dengan teman yang rapat, mereka tidak pernah bertanya. Mungkin takut saya terasa. Tapi, mereka sentiasa memberi sokongan dan tak pernah menganggap perubahan saya ini sesuatu yang luar biasa. Alhamdulillah…terima kasih sahabat.
Mungkin inilah doa seorang emak buat anaknya… doa emak dan abah yang tak pernah kering, doa emak dan abah dihadapan kaabah untuk melihat anak-anak mereka berjaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Emak dan abah bukanlah ustaz dan ustazah. Tetapi kerana mereka lah saya mendapat asas pendidikan agama yang boleh saya gunakan sebagai panduan untuk meneruskan perjuangan ini.
Nama Muhammad Nuruddin memang sudah dikenali dalam hidup saya. Siapa dia? Kekasih? Bukan. Dia hanyalah seorang anak kecil yang baru berusia 1 tahun ketika saya mengenalinya 3 tahun lepas. Anak kecil yang merupakan anak asuhan saya yang pertama. Anak kecil yang membawa saya ke dunia baru. Ah…dia memang istimewa bagi saya. Teringat lagi kali pertama saya diambil umminya untuk menjaganya di rumah mereka. Sudah puas umminya mencari orang yang sesuai untuk menjaganya, kebetulan dengan saya Nuruddin mudah mesra. Ya, umminya seorang pendakwah bebas. Ustazah Suraya namanya. Memang hati ini berkata, “Aku ingin menuntut ilmu dengannya sambil menjaga Nuruddin nanti.” Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap hari tak lekang dari bibir Kak Su bercerita dan berbual, segalanya tentang Islam. Ternyata, memang lain rasanya ketika bersahabat dengan insan solehah.
Orang yang berilmu memang istimewa. Saya diasuh dengan mengenali pejuang-pejuang Islam. Buku pertama yang dipinjam dari ‘perpustakaan’ Kak Su adalah tentang Syeikh Ahmad Yasin. Sungguh, hati ini melonjak ingin tahu dengan lebih lagi, ingin belajar dengan banyak lagi tentang Islam. Nursyuhada…kata Kak Su, nama yang baik maksudnya.
“Nuruddin, Kak Syu ni nak jadi seorang pejuang kot…” kata Kak Su sambil tersenyum.
Gurau sendanya memberi kesan yang mendalam buat saya.
Sampailah sekarang, sedar tak sedar dah 3 tahun berlalu. Kak Su masih dengan perjuangannya menyebarkan dakwah di merata tempat. Saya kagum dengan kesungguhannya. Tanyalah sesiapa sahaja yang mengenalinya. Kata-kata yang lahir dari bibir Kak Su mampu membuka ruang keinsafan di dalam hati yang mendengarnya. Benarlah, keikhlasan hati dalam berjuang mampu menundukkan musuh. Tak kira masa dan hari, dengan anak-anak yang masih kecil, diredahnya juga jalanraya menuju ke kelas-kelas untuk mengajar muslimat. Jika musim cuti, dapatlah juga saya menemannya.
Saat saya ingin memulakan perubahan dari segi pemakaian, saya bertanyakan pendapat Kak Su.
“Syu nak tanya boleh? Kak Su, Syu nak mulakan pakai tudung labuh. Sejuk rasanya tengok orang pakai tudung labuh ni. Mak pn dah bertudung labuh sejak balik Haji. Syu rasa lagi kuat nak teruskan niat Syu ni. Tapi, Syu ada tanya pendapat kawan-kawan. Diorang kata dah pakai tudung labuh ni kenalah istiqamah. Itu Syu paham. Tapi, betul ke tak boleh dah nak pakai tudung yang 60 ela tu?”
“Syu, dulu kt Jordan, Kak Su ada sorang kawan. Dalam semua pelajar, dialah yang paling labuh tudungnya. Kak Su ada terjumpa dia, dah berkahwin sekarang. Dia dah tak pakai tudung labuh bulat tu lagi, tapi dia pakai tudung 60 ela. Kak Su tanya kenapa. Dia kata sebab suami dia kata cantik bila dia pakai tudung camtu. Syu…tudung labuh atau 60 ela, dua-duanya sama je. Dua-duanya labuh menutup dada, tak jarang. Yang membezakan cuma fesyennya aje. Satu dah dijahit siap-siap, satu lagi boleh diPin ketepi. Yang penting, niat kita bertudung tu. Pakailah tudung kerana ingin menutup aurat dengan sempurna. Buatlah kerana Allah, jangan kerana suami kata cantik. Tak ada salahnya kalau Syu nak pakai lagi tudung 60 ela Syu ni walau selepas bertudung bulat tu.”
Seminggu selepas berpindah ke UiTM Shah Alam dari IPKB, saya terus memakai tudung labuh. Bukanlah kerana ingin menunjuk baik. Niat saya adalah untuk menjaga maruah, diri, sejauh mana yang saya mampu. Alhamdulillah, saya tepis segala kata-kata yang kurang enak didengari, tahan diri dari mengalah. Nikmatnya memakai tudung labuh, hanya Allah yang tahu. Lain…ternyata lain benar rasanya.
Buat sahabat-sahabat di luar sana… Saya tahu masih ada yang ingin berubah tetapi takut untuk menghadapi perubahan. Bukan susah nak tinggalkan dunia seluar jeans. Percayalah…tetapkan hati dan bergantunglah pada Allah. Cuba fikirkan, dengan pakaian juga kalian boleh berdakwah. Setiap kali lalu ditepi-tepi orang kafir bahkan orang Islam sendiri yang tidak berpakaian menutup aurat, rasa-rasanya kalian terlepas dari disoal tentang tanggungjawab ke? Macam mana kalian nak nasihat, nak bagitau sedangkan mereka ini kalian hanya jumpa sekali sahaja di pasar malam…di kedai makan…di perhentian bas… Bila bertudung labuh, berpakaian sempurna menutup aurat, sekurang-kurangnya kita boleh niatkan di dalam hati “Ya Allah, moga sesiapa yang melihat pakaian ini akan terbuka hatinya kearah kebaikan. Sekurang-kurangnya biarlah dia senang melihat kecantikan agamaMu.” Dengan berjubah dan bertudung labuh, agak-agaknya la, nak ke kalian buat jahat? Nak ke kalian masuk wayang? Pegi karaoke? Cakap yang bukan-bukan? Tentu rasa malu kan sebab nanti orang akan mengata “Ape la…pakai je tudung labuh tapi perangai tahpape.” Ya…pakaian ini menjauhkan diri dari berbuat dosa. Inilah antara hikmahnya berpakaian seperti yang dianjurkan Islam.
Macam mana nak tau yer kita ni dah sempurna menutup aurat?? Teringat kata-kata Kak Su, “Andaikan sahabat terkandas di sesuatu tempat dan perlu bersolat dengan segera sebelum kehabisan masa. Kebetulan tiada telekung yang dibawa atau apa-apa yang boleh dijadikan pengganti telekung. Pakaian yang sahabat pakai itu jika boleh dibawa dalam solat, maka itu menunjukkan pakaian sahabat itu sudah sempurna menutup aurat.”