Tuesday, February 24, 2009

Rahsia Di Sebalik Demam

Artikel ini saya dapat dari seorang sahabat. Kebetulan saya sedang demam, jadi terifikir untuk berkongsi artikel ini dengan semua pembaca blog.

Demam itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh melebihi suhu biasa. Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa demam, namun apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula hikmahnya?

Hakikat Demam.

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya :

"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Muslim)

Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis
kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.

Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat
dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada
kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan
kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Mencaci-maki Demam.

Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?

Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".

Nabi Shallallahu alaihi wasallam bersabda: "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".

(Hadith Riwayat Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa.

Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.


*_berfikir dan berfikir_*

Friday, February 20, 2009

Harga Buku Laskar Pelangi = Ukhwah

Baru beberapa minggu yang lepas, sahabat saya dari Indonesia menyatakan hajat untuk menghantar sedikit pemberian darinya. Menarik, tertarik, dan teruja. Iya lah...buah tangan dari jauh memang seronok didengar apatah lagi untuk diterima. Dengan hati yang sangat terbuka saya menerima dengan gembira.



Pagi ini, baru lah saya berhasil memperoleh pemberiannya itu. Gembira?? Semestinya! Tipu jika saya katakan tidak. Tak sabar rasanya nak mengetahui isi kandungan bungkusan itu, saya terus membuka tanpa dipinta sahabat yang turut berada di situ. Apa kandungannya? Sebuah buku karangan saudara Andrea Hirata: Laskar Pelangi (fresh from Indonesia).

Apa yang menariknya bukanlah sepenuhnya pada buku itu. Tetapi kandungan yang tersirat disebalik buku. Sesuatu yang tidak dapat dilihat dan sukar digambarkan.

Harga buku Laskar Pelangi tidak mahal. Hanyalah satu ikatan ukhwah yang sangat bermakna untuk dikongsikan dan dihargai kerana harganya tidak ternilai. Allah menjadikan buku itu hanya sebagai satu 'medium' untuk manusia berinteraksi dengan manusia yang lain. Penulis cuba menggambarkan ideanya dan perasaannya dalam bentuk penulisan untuk dikongsikan bersama semua umat manusia. Melalui penulisan, kita dapat menyelami mesej yang cuba disampaikan penulis. Ini merupakan apa yang dipanggil 'Aesthetic' - reading or stance is when the reader is involved with the events in the text during the actual reading (Rosli Thalif: Approaches to Teaching Literature). Dengan itu terasa seolah terjalin ikatan antara pembaca dan penulis sendiri.

Yang teristimewa, ikatan ukhwah antara saya dan sahabat-sahabat di Indonesia (Terima kasih buat Ustaz Risdianto dan Fadel Fadillah atas hadiah itu) dan juga sahabat baru yang sanggup turun ke Kolej Cemara Akasia Seksyen 18 untuk menghantar bungkusan tersebut (Terima kasih juga buat Kak Hanim, kenalan baru saya). Alhamdulillah...keranaNya kita bertemu, keranaNya kita menambah kenalan baru, keranaNya sillaturrahim antara umat Islam makin bersemi, dan keranaNya saya mampu berfikir dengan lebih mendalam lagi serta memahami yang tersurat disebalik setiap pertemuan dan pemberian.

Kerana Allah kita bertemu dan moga kerana Allah juga kita berpisah. Amin...

-*berfikir dan berfikir*_

Tuesday, February 17, 2009

Buku: 40 Rabbana


Buku doa 40 Rabbana ini adalah terbitan sahabat saya sendiri, Ustazah Suraya. Ianya merangkumi 40 ayat-ayat al-Quran yang dimulakan dengan Rabbana. Ada yang bertanya kaifiatnya membaca 40 Rabbana ni tp jawapan saya; tiada. Jawapan yang saya ambil dari Ustazah Suraya sendiri (",)

Analoginya begini...
Andaikan anda sedang berjalan-jalan di bandar dan seorang pelancong dari Indonesia datang bertanyakan arah panduan jalan. Anda menjawab persoalannya dengan berbahasa Melayu. Ya...semestinya dia faham kerana kita dan bangsa Indonesia adalah sama; dua-duanya dari rumpun Melayu juga. Tapi semestinya dia akan lebih senang hati jika kita menggunakan bahasanya. Bila orang luar menggunakan bahasa kita, kita akan merasa lebih rapat dengannya bukan?
Begitu juga apabila kita berdoa. Ya...Allah memahami semua bahasa dunia. Tapi semestinya yang lebih baik, lebih dekat, lebih seronok jika berdoa dengan bahasa arab. Apatah lagi jika ayat-ayat doa itu diambil dari ayat-ayat Al-Quran sendiri; ayat-ayat dari Allah. Dan jika dikaji, 40 Rabbana ini lengkap merangkumi segala jenis doa.

Harganya cuma RM2. Tiada untung yang diambil kerana tujuannya hanya untuk sebaran umum. Jika ada yang berminat untuk membeli, boleh hubungi saya. Ada yang menjadikannya pemberian ketika majlis perkahwinan dan pelbagai lagi. Jadi untuk membuat tempahan, dalam blog ni je pn takpe ^_^

Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, lagi Maha Agung. Salah silap harap diperbetulkan.

H.Y.P.E.R.T.E.N.S.I.O.N.

Hari-hari kena asak.
Hari-hari kena tekan.
Hari-hari tak tahu macam mana nak cakap supaya orang boleh faham yang kita ni tak suka tabiat dia.
Hari-hari tak tahu macam mana nak buat supaya tak tidur lewat.
Hari-hari banyak kerja.
Argh..!! TENSION!

Saya ni seorang yang pemendam. Tak tahu luahkan perasaan (sekarang dah ok sikit), tak tahu nak tegur orang, dan tak tahu nak kata "TAK NAK" secara terus terang. Jadi bila terlalu banyak asakan perasaan dan minda, saya mula jadi tak keruan. Mula la rasa nak mengamuk tak tentu pasal... Tapi dalam khayalan semata-mata kerana bukan sikap saya untuk marah dan menengking secara tiba-tiba.

Kenapa la saya jadi macam ni...?

Bila difikirkan kembali... Bermuhasabah di malam yang sunyi... Barulah akal yang sihat dapat berfikir secara waras. Baru saya sedar yang saya dah makin jauh dari Allah. Dah lama mata tak menangis kerana Allah. Dah lama tak bangun malam sujud kepada Allah. Buku-buku agama, usrah, ceramah, dan kerja-kerja agama pun sudah 'bersawang'...

Cantiknya Allah jadikan dugaan dan cabaran itu untuk manusia sebagai satu pemangkin untuk kita ingat kepadaNya. Rasanya jika tidak diberi HYPERTENSION ni kepada saya, tak beringat-ingat la kot. Alhamdulillah.. Segala puji hanya untuk Allah.

_*berfikir dan berfikir*_

Saturday, February 7, 2009

Politik dan Pelajar.

Politik adalah sebahagian dari Islam. Siapa yang tak ambil endah dengan politik DUNIA mahupun yang berlaku di NEGARA SENDIRI, sama lah dengan tidak mengendahkan isu umat Islam.

Rata-rata pelajar di Malaysia tidak mahu, takut, dan tidak punya minat untuk mengikuti perkembangan politik negara. Ada yang mengikuti tetapi tidak mahu turut serta, ada yang tidak mahu mengikuti langsung, dan yang paling mengecewakan... Ada yang tidak mahu mengikuti perkembangan politik di negara sendiri tetapi lebih berminat dengan perkembangan politik di luar negara. Apakah kita tidak sama dengan mereka di luar sana? Apakah isu politik di negara sendiri kurang penting berbanding isu politik dunia?

Menyatakan isu kekesalan terhadap kebanyakkan pelajar Malaysia, mereka cemerlang dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu umat Islam di Palestin. Perhimpunan, boikot, bakar bendera, laungan suara, macam-macam bentuk penentangan yang dibuat semata-mata ingin menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di Palestin. Jadi, mengapa tidak berbuat perkara yang sama terhadap isu penindasan dan penghinaan Islam di negara sendiri?

Hamas dan Fatah: Mana satu pilihan anda??
Yang mengambil dan memperjuangkan politik Islam di negara sendiri adalah sama dengan Hamas.
Yang memencilkan dan berdiam diri adalah sama dengan Fatah.

Tepuk dada tanya iman. Apakah anda akan berjuang bersama Hamas jika dihantar kesana, atau adakah anda akan bertukar fikiran dan mengikuti Fatah? Jawapannya ada dalam diri anda sekarang. Sedangkan di negara sendiri hati kita sudah tidak kuat dan takut berjuang demi menegakkan Islam di negara sendiri, apakah kita akan menjadi HERO yang berani di negara Palestin yang pastinya lebih dasyat situasinya??

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

"Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka." (Riwayat Al-Baihaqi dalam "Shuab Al-Iman"At-Tabari,Abu Nua'im dalam "hilyah"dan Al-Hakim)

Jadi apa tunggu lagi..? Jalankan tanggungjawab mu sekarang!!

Tragedi Gaza Berulang di Perak??

IPOH, 7 Feb (Hrkh) - Saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita tragedi di Semenanjung Gaza dan penderitaan rakyat Palestin, khususnya melalui televisyen.

Bagaimanapun, perkembangan di Kuala Kangsar semalam, selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiyyah, apabila pasukan FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan yang membantah perlantikan Menteri Besar baru.

Seorang penulis blog, Azizul NIzam Zulkifli memberitahu beliau melihat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menitiskan airmata apabila merawat seorang kanak-kanak sekolah yang berusia 10 tahun pengsan akibat asap tebal gas.

Melalui siaran TV, rakyat Malaysia dan juga warga antarabangsa dapat menyaksikan gas pemedih mata dibedil anggota FRU ke dalam masjid.

Tidak kira yang muda mahupun yang tua, mereka dilayan secara kasar oleh anggota FRU. Ramai yang sesak nafas dan pedih mata akibat gas tersebut. Masjid bukan lagi tempat yang selamat daripada serangan polis.

Anggota pasukan keselamatan digunakan sebagai perisai untuk menenggelamkan suara rakyat yang mahu peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dilaksanakan secara adil.

Rakyat Perak menyedari bahawa penyingkiran Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin daripada jawatan menteri besar adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negeri.

Rakyat hari ini tidak mudah lagi untuk diperbodohkan oleh media pengampu dengan label-label buruk kepada Nizar, misalnya sebagai "penderhaka" dan sebagainya.

"Bubarkan sahaja Dun Perak," itulah pinta majoriti rakyat.

Diambil dari:
HarakahDaily.Net

Kami Bukan Menderhaka, Tetapi Kami Memartabatkan Perlembagaan Malaysia.

Rampasan kuasa yang berlaku di Perak membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN termasuk dalam golongan lanun kerana tidak menghormati dan mengikuti Perlembagaan negeri Perak.

Demikian menurut Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa ketika ditemui selepas merasmikan seminar Kebajikan Nasional anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, di Taman Melewar.

Beliau menegaskan, Umno-BN tahu bahawa mengikut perlembagaan negeri Perak perlu ada undinya tidak percaya barulah kerusi Menteri Besar kosong dan pimpinan Umno-BN boleh mengangkat sumpah.

Katanya, mereka mengambil orang yang dituduh terlibat dengan rasuah sebagai orang yang menyokong pembentukan kerajaan (BN) sebagai tekanan dan cara yang mereka lakukan betul-betul lanun.

"Lanun ini tidak ada hati perut dan tidak ada undang-undang dan Adun Pakatan Rakyat adalah wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat, jadi kalau orang itu ada hati perut mereka tidak akan buat kerja seperti ini kerana ia melukakan perasaan rakyat," tegasnya.

Tetapi kata beliau Umno-BN merupakan lanun tidak ada hati perut jadi mereka tidak peduli perasaan rakyat.

Beliau turut berharap rakyat di negeri Perak terus mendesak Sultan Perak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) yang masih sah dikuasai Pakatan Rakyat.

Katanya, bantahan itu perlu berterusan jika tidak Malaysia tidak mempunyai kedaulatan undang-undang dan rakyat perlu pertahankan kedaulatan undang-undang.

"Kita mahu pertahankan kedaulatan undang-undang dan Menteri Besar, Dato' Nizar Jamaluddin adalah lambang mempertahankan kedaulatan undang-undang," jelasnya.

Diambil dari:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019267&Itemid=85

Wednesday, January 21, 2009

Menghitung Usia

1 hari - 4 tahun
"Alalala comelnya dia... Bila nak berjalan ni? Cepat besar, nanti boleh tolong mak."

5 tahun - 6 tahun
"Jangan nakal-nakal kat sekolah tau. Malam nanti abah nak tgk Ada mengaji mukasurat baru."

7 tahun - 12 tahun
"Nah, bekal makanan. Nanti duit belanja mintak kat abah. Kerja sekolah dh siap belum?"
"Ha cepat. Abah nak tengok Ada solat macam mana. Dah hafal doa qunut belum?"
"Mak... takut la nak UPSR. Mak doakan Ada ek."

13 tahun - 15 tahun
"Mak, Ada nak beraya rumah kawan boleh? Dekat-dekat sini jer..."
"Keputusan periksa hari tu camne? Dah bagi abah report card?"
"Mak... Abah... Ada dpt masuk MRSM!"

16 tahun - 17 tahun
"Duduk asrama tu elok-elok. Jangan bercinta-cinta ni. Belajar rajin-rajin..."
"SPM dh dekat... Mintak tolong banyak-banyak dengan Allah. Mana tau nak jadi rezeki kamu dapat ambil Medic."

18 tahun - 20 tahun
"Alhamdulillah... Tak dapat Medic nak buat cmna. Allah dah tentukan aku jadi cikgu. Mungkin ada hikmahnya..."

21 tahun - 22 tahun
"Mak... Abah... Apa pendapat mak kalau Ada kata nak kahwin? Ada tak nak bercinta tak tentu hala macam orang lain."
"Jodoh itu di tangan Allah. Dia nak ambil balik sesiapa pada bila-bila masa, itu hak Dia. Mungkin ada yang lebih baik tersedia untuk kita jika kita bersabar..."

23 tahun - ????
Dialognya belum ada kerana baru sehari hidup dengan umur yang baru, diberi kenikmatan menghirup udara Allah, diberi kekuatan untuk terus berjuang di Bumi Allah, diberi kesegaran dan nafas baru untuk memulakan langkah kehidupan.

Abah pernah berkata kepada kami adik-beradik, umur yang panjang tidak semestinya baik dan umur yang pendek tidak semestinya rugi. Yang penting, keberkatan dalam usia itu yang menjadi titik perhitungan. Moga emak, abah, dan seluruh keturunan kami diberkati Allah. Amin...

Menjadi seorang gadis berusia 23 tahun bukan sesuatu yang dilihat mudah. Cabaran dunia semakin mengasak dan pegangan hidup perlu diperkukuhkan agar iman tidak goyah dipermainkan. Pekerjaan, perkahwinan, masa depan... Semuanya menjadi persoalan-persoalan yang masih belum mampu dijawab. Ahli keluarga besar sudah mula bertanya-tanya, siapakah insan yang sudah bertahta di hati untuk dijadikan pasangan hidup. Rasanya masih belum mampu untuk menjawab. Ianya satu soalan yang berat yang entah bila akan ada jawapannya. Hanya usaha dan doa yang mampu disertakan dengan tawakal kepada Allah. Moga bertemu dengan insan yang cintanya yang paling utama adalah kepada Yang Esa.

Sahabat-sahabat, doakan umur ini diberkati. Moga diri ini istiqamah dalam perjuangan membela agama tercinta. Moga hati ini dibalut selimut ketakwaan yang menjadi pengubat duka lara dunia. Moga tubuh yang lemah ini mampu bekerja untuk simpanan di akhirat sana. Moga cabaran dan dugaan mematangkan pemikiran dan bukan memusnahkan diri. Moga hidupku dan matiku dalam Islam, syahid di jalan Allah.

P/S: Terima kasih yang tak terhingga untuk Nurus, Fasihah, Zarif, Huda, Aini, Adilah, Khomsiah, dan Azim untuk sambutan yang diberi. Terharu... Sangat-sangat terharu. Tambahan pula ini semester terakhir di UiTM. Last night was really a night to remember (",) Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Ummu dan Farahani atas hadiah yang diberi. Cantik... Macam orang yang memberinya (^_^) Dan terima kasih juga buat semua teman, junior-junior yang mengingati hari tuaku semalam. Juga buat teman-teman di Brunei yang mendoakan dari jauh (UBD best!). Moga persahabatan kita ini diberkati Allah dan berkekalan hendaknya. Amin...

Sunday, January 18, 2009

Siapa Bunuh Siapa?

Boikot: Perlu praktikal

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Rakyat Malaysia diminta lebih praktikal dalam memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan negara bankrap pada masa depan.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, meskipun tindakan itu bertujuan memprotes situasi yang berlaku di Genting Gaza namun ia boleh mendatangkan musibah kepada negara sekiranya kuasa besar itu membuat perkara yang sama kepada Malaysia.

Beliau yang melahirkan kebimbangan dengan situasi semasa berkata, sebagai rakan dagangan terbesar di Malaysia, AS mampu melakukan apa sahaja untuk membalas tindakan memboikot barangannya.

‘‘Dalam hal ini, Malaysia sebenarnya boleh diibarat seperti mentimun dengan durian, tergolek rosak, digolek binasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

-----------------------------------------------

Ekonomi Barat boleh digugat

Konflik Israel-Palestin dan keganasan Israel tanpa peri kemanusiaan ke atas penduduk Islam Palestin di Gaza sebenarnya mencerminkan kelemahan pemimpin-pemimpin negara Islam itu sendiri.

Demonstrasi, boikot dan bantahan sama ada diplomasi atau keras tanpa tindakan balas yang setara ke atas keganasan Israel tidak membawa sebarang pengertian.

Tidak hairanlah Israel masih mengganas walaupun resolusi gencatan senjata telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti biasa, Amerika Syarikat (AS) mengambil sikap berkecuali dalam resolusi PBB itu.

Konflik Israel-Palestin dan serangan rejim Zionis ke atas Gaza mencerminkan kelemahan kesatuan geopolitik dalam kalangan pemimpin negara Islam.

Kelemahan negara Islam dari segi ekonomi, politik dan tentera, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, memberi ruang kepada negara Barat, terutamanya AS dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan hala tuju ekonomi dan politik dunia.

Merekalah arkitek kepada penubuhan PBB, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

Menerusi institusi antarabangsa itu, AS dan EU melaungkan peri pentingnya demokrasi dan meluaskan pengaruh mereka menerusi bantuan keselamatan dan kewangan kepada negara sedang membangun, termasuk negara Islam.

Liga Arab (22 negara ahli) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC, 57 negara ahli) tidak dapat mempengaruhi, apa lagi menguasai konflik Israel-Palestin, sebaliknya bergantung kepada PBB untuk menyelesaikan konflik itu.

-------------------------------------------------

Sama tapi tak serupa.

Umat Islam di Palestin tertindas - salah siapa?

Umat Islam di Palestin dibunuh - salah siapa?

Israel mengganas di Palestin - salah siapa?

Bantuan ketenteraan dan bekalan senjata kepada Israel - salah siapa?

Penguasaan wilayah2 di Palestin - salah siapa?

Rakyat Palestin menderita kesejukan dan kelaparan - salah siapa?

Bank di Palestin ditutup - salah siapa?

Bekalan makanan dan bantuan disekat oleh pihak Mesir - salah siapa?

Rakyat Palestin merempuh masuk ke Mesir melalui sempadan - salah siapa?

Ekonomi bukanlah satu alasan untuk menjadi pengecut antarabangsa. Sekeping nota yang bernama WANG bukanlah segala-galanya. Dapatkah Masjid Al-Aqsa ditebus dengan wang ringgit? Dapatkah maruah umat Islam dibeli dengan wang ringgit?

Oleh itu, siapa bunuh siapa? Siapa lagi jika bukan kita umat Islam sendiri yang membunuh saudara-saudara kita di Palestin. Jangankan kerana menjaga ekonomi negara, ekonomi akhirat tergadai.

Wednesday, December 31, 2008

Berpindah, Berubah, Beralih Arah.

Rasanya masih sempat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 buat semua umat Islam. Dah lama tak menulis di blog kerana beberapa kesukaran dan halangan yang dialami. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan kelapangan untuk berdakwah menggunakan medium ini.

Bercerita tentang tahun baru Hijrah, ianya dimulakan dengan peristiwa yang pastinya membangkitkan bara di hati apabila Gaza diserang lagi secara berterusan hingga ada yang menyebabkan ratusan umat Islam terbunuh. Di sini saya sertakan sedikit maklumat tentang aktiviti Yahudi yang saya dapati:

1 Januari 1948 ? kira-kira 200 pelampau Yahudi bersenjata mesingan dan bom tangan menceroboh kampung Al-Sheikh (5 km di tenggara Haifa) lalu membunuh wanita dan kanak-kanak.
10 April 1948 ? dalam Operation Unity, pengganas Haganah, Irgun dan Stern bersatu mengepung kampung Deir Yassin selama dua hari. Dalam tempoh itu 250 orang Arab dibunuh dan dengan kejam dan wanitanya dirogol. Seramai 25 orang wanita hamil dibelah perutnya dan bayi mereka disembelih, 52 kanak-kanak dikudungkan kaki dan tangan.
11 Julai 1948 ? Batalion ke-89 komando Yahudi yang diketuai Moshe Dayan menawarkan pengampunan kepada penduduk Islam Lyadd dan Ramle setelah berjaya menawan berkumpul di Masjid Dahmash seperti di janjikan. Namun malang, perlindungan yang diharapkan rupanya bala yang tiba, mereka semua mati.
18 September 1982: Seramai 3,000 kanak-kanak dan wanita Palestin disembelih di khemah di Sabra dan Shatila di Lebanon. Ketua tukang sembelih itu ialah Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel sekarang.

Itu hanya sebahagian sahaja. Serangan udara baru-baru ini benar-benar membuatkan saya terpana seketika. Perasaan marah, benci, semuanya meluap-luap. Walau tidak berada bersama-sama mereka tapi bak kata pepatah, cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. Walau tidak sesakit mana, ianya satu perbuatan yang memang dikeji umat Islam yang memahami erti perjuangan ini. Oleh sebab itu, saya mengharapkan jika ada insan-insan di luar sana yang masih mengambil remeh perkara ini, endah tak endah hal saudara kita di Palestin, marilah kita bersama-sama berubah dan membantu mereka sebelum kejayaan tiba dan kesempatan untuk berjihad sudah tiada. Andaikata pahala itu boleh dihitung, maka pahala untuk jihad ini rasanya tidak terhitung dek kerana besar nilainya disisi Allah.

"Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengannya (al-Quran) dengan jihad yang besar" (Al-Furqan, 52)

Pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk membantu rakyat Palestin ini. Bukan semestinya kita kesana, tetapi bantuan kita juga boleh bermula disini.

Tahun 1429H membawa saya kepada banyak perubahan dalam diri dan pengalaman-pengalaman hidup yang sangat berharga. Kesabaran dan keteguhan iman benar-benar diuji sedikit demi sedikit. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Ujian ditempuhi dengan berkat dan rahmatNya.

Buat sahabat-sahabat, doakan saya berjaya menempuh tahun ini dengan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga perjuangan ini mampu saya teruskan dengan berbekalkan sedikit ilmu yang ada.

 
Blogger Templates by Wishafriend.com