Saturday, February 7, 2009

Politik dan Pelajar.

Politik adalah sebahagian dari Islam. Siapa yang tak ambil endah dengan politik DUNIA mahupun yang berlaku di NEGARA SENDIRI, sama lah dengan tidak mengendahkan isu umat Islam.

Rata-rata pelajar di Malaysia tidak mahu, takut, dan tidak punya minat untuk mengikuti perkembangan politik negara. Ada yang mengikuti tetapi tidak mahu turut serta, ada yang tidak mahu mengikuti langsung, dan yang paling mengecewakan... Ada yang tidak mahu mengikuti perkembangan politik di negara sendiri tetapi lebih berminat dengan perkembangan politik di luar negara. Apakah kita tidak sama dengan mereka di luar sana? Apakah isu politik di negara sendiri kurang penting berbanding isu politik dunia?

Menyatakan isu kekesalan terhadap kebanyakkan pelajar Malaysia, mereka cemerlang dalam menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu umat Islam di Palestin. Perhimpunan, boikot, bakar bendera, laungan suara, macam-macam bentuk penentangan yang dibuat semata-mata ingin menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di Palestin. Jadi, mengapa tidak berbuat perkara yang sama terhadap isu penindasan dan penghinaan Islam di negara sendiri?

Hamas dan Fatah: Mana satu pilihan anda??
Yang mengambil dan memperjuangkan politik Islam di negara sendiri adalah sama dengan Hamas.
Yang memencilkan dan berdiam diri adalah sama dengan Fatah.

Tepuk dada tanya iman. Apakah anda akan berjuang bersama Hamas jika dihantar kesana, atau adakah anda akan bertukar fikiran dan mengikuti Fatah? Jawapannya ada dalam diri anda sekarang. Sedangkan di negara sendiri hati kita sudah tidak kuat dan takut berjuang demi menegakkan Islam di negara sendiri, apakah kita akan menjadi HERO yang berani di negara Palestin yang pastinya lebih dasyat situasinya??

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

"Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka." (Riwayat Al-Baihaqi dalam "Shuab Al-Iman"At-Tabari,Abu Nua'im dalam "hilyah"dan Al-Hakim)

Jadi apa tunggu lagi..? Jalankan tanggungjawab mu sekarang!!

Tragedi Gaza Berulang di Perak??

IPOH, 7 Feb (Hrkh) - Saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita tragedi di Semenanjung Gaza dan penderitaan rakyat Palestin, khususnya melalui televisyen.

Bagaimanapun, perkembangan di Kuala Kangsar semalam, selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiyyah, apabila pasukan FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan yang membantah perlantikan Menteri Besar baru.

Seorang penulis blog, Azizul NIzam Zulkifli memberitahu beliau melihat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menitiskan airmata apabila merawat seorang kanak-kanak sekolah yang berusia 10 tahun pengsan akibat asap tebal gas.

Melalui siaran TV, rakyat Malaysia dan juga warga antarabangsa dapat menyaksikan gas pemedih mata dibedil anggota FRU ke dalam masjid.

Tidak kira yang muda mahupun yang tua, mereka dilayan secara kasar oleh anggota FRU. Ramai yang sesak nafas dan pedih mata akibat gas tersebut. Masjid bukan lagi tempat yang selamat daripada serangan polis.

Anggota pasukan keselamatan digunakan sebagai perisai untuk menenggelamkan suara rakyat yang mahu peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dilaksanakan secara adil.

Rakyat Perak menyedari bahawa penyingkiran Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin daripada jawatan menteri besar adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negeri.

Rakyat hari ini tidak mudah lagi untuk diperbodohkan oleh media pengampu dengan label-label buruk kepada Nizar, misalnya sebagai "penderhaka" dan sebagainya.

"Bubarkan sahaja Dun Perak," itulah pinta majoriti rakyat.

Diambil dari:
HarakahDaily.Net

Kami Bukan Menderhaka, Tetapi Kami Memartabatkan Perlembagaan Malaysia.

Rampasan kuasa yang berlaku di Perak membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN termasuk dalam golongan lanun kerana tidak menghormati dan mengikuti Perlembagaan negeri Perak.

Demikian menurut Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa ketika ditemui selepas merasmikan seminar Kebajikan Nasional anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, di Taman Melewar.

Beliau menegaskan, Umno-BN tahu bahawa mengikut perlembagaan negeri Perak perlu ada undinya tidak percaya barulah kerusi Menteri Besar kosong dan pimpinan Umno-BN boleh mengangkat sumpah.

Katanya, mereka mengambil orang yang dituduh terlibat dengan rasuah sebagai orang yang menyokong pembentukan kerajaan (BN) sebagai tekanan dan cara yang mereka lakukan betul-betul lanun.

"Lanun ini tidak ada hati perut dan tidak ada undang-undang dan Adun Pakatan Rakyat adalah wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat, jadi kalau orang itu ada hati perut mereka tidak akan buat kerja seperti ini kerana ia melukakan perasaan rakyat," tegasnya.

Tetapi kata beliau Umno-BN merupakan lanun tidak ada hati perut jadi mereka tidak peduli perasaan rakyat.

Beliau turut berharap rakyat di negeri Perak terus mendesak Sultan Perak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) yang masih sah dikuasai Pakatan Rakyat.

Katanya, bantahan itu perlu berterusan jika tidak Malaysia tidak mempunyai kedaulatan undang-undang dan rakyat perlu pertahankan kedaulatan undang-undang.

"Kita mahu pertahankan kedaulatan undang-undang dan Menteri Besar, Dato' Nizar Jamaluddin adalah lambang mempertahankan kedaulatan undang-undang," jelasnya.

Diambil dari:
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019267&Itemid=85

Wednesday, January 21, 2009

Menghitung Usia

1 hari - 4 tahun
"Alalala comelnya dia... Bila nak berjalan ni? Cepat besar, nanti boleh tolong mak."

5 tahun - 6 tahun
"Jangan nakal-nakal kat sekolah tau. Malam nanti abah nak tgk Ada mengaji mukasurat baru."

7 tahun - 12 tahun
"Nah, bekal makanan. Nanti duit belanja mintak kat abah. Kerja sekolah dh siap belum?"
"Ha cepat. Abah nak tengok Ada solat macam mana. Dah hafal doa qunut belum?"
"Mak... takut la nak UPSR. Mak doakan Ada ek."

13 tahun - 15 tahun
"Mak, Ada nak beraya rumah kawan boleh? Dekat-dekat sini jer..."
"Keputusan periksa hari tu camne? Dah bagi abah report card?"
"Mak... Abah... Ada dpt masuk MRSM!"

16 tahun - 17 tahun
"Duduk asrama tu elok-elok. Jangan bercinta-cinta ni. Belajar rajin-rajin..."
"SPM dh dekat... Mintak tolong banyak-banyak dengan Allah. Mana tau nak jadi rezeki kamu dapat ambil Medic."

18 tahun - 20 tahun
"Alhamdulillah... Tak dapat Medic nak buat cmna. Allah dah tentukan aku jadi cikgu. Mungkin ada hikmahnya..."

21 tahun - 22 tahun
"Mak... Abah... Apa pendapat mak kalau Ada kata nak kahwin? Ada tak nak bercinta tak tentu hala macam orang lain."
"Jodoh itu di tangan Allah. Dia nak ambil balik sesiapa pada bila-bila masa, itu hak Dia. Mungkin ada yang lebih baik tersedia untuk kita jika kita bersabar..."

23 tahun - ????
Dialognya belum ada kerana baru sehari hidup dengan umur yang baru, diberi kenikmatan menghirup udara Allah, diberi kekuatan untuk terus berjuang di Bumi Allah, diberi kesegaran dan nafas baru untuk memulakan langkah kehidupan.

Abah pernah berkata kepada kami adik-beradik, umur yang panjang tidak semestinya baik dan umur yang pendek tidak semestinya rugi. Yang penting, keberkatan dalam usia itu yang menjadi titik perhitungan. Moga emak, abah, dan seluruh keturunan kami diberkati Allah. Amin...

Menjadi seorang gadis berusia 23 tahun bukan sesuatu yang dilihat mudah. Cabaran dunia semakin mengasak dan pegangan hidup perlu diperkukuhkan agar iman tidak goyah dipermainkan. Pekerjaan, perkahwinan, masa depan... Semuanya menjadi persoalan-persoalan yang masih belum mampu dijawab. Ahli keluarga besar sudah mula bertanya-tanya, siapakah insan yang sudah bertahta di hati untuk dijadikan pasangan hidup. Rasanya masih belum mampu untuk menjawab. Ianya satu soalan yang berat yang entah bila akan ada jawapannya. Hanya usaha dan doa yang mampu disertakan dengan tawakal kepada Allah. Moga bertemu dengan insan yang cintanya yang paling utama adalah kepada Yang Esa.

Sahabat-sahabat, doakan umur ini diberkati. Moga diri ini istiqamah dalam perjuangan membela agama tercinta. Moga hati ini dibalut selimut ketakwaan yang menjadi pengubat duka lara dunia. Moga tubuh yang lemah ini mampu bekerja untuk simpanan di akhirat sana. Moga cabaran dan dugaan mematangkan pemikiran dan bukan memusnahkan diri. Moga hidupku dan matiku dalam Islam, syahid di jalan Allah.

P/S: Terima kasih yang tak terhingga untuk Nurus, Fasihah, Zarif, Huda, Aini, Adilah, Khomsiah, dan Azim untuk sambutan yang diberi. Terharu... Sangat-sangat terharu. Tambahan pula ini semester terakhir di UiTM. Last night was really a night to remember (",) Terima kasih yang tak terhingga juga kepada Ummu dan Farahani atas hadiah yang diberi. Cantik... Macam orang yang memberinya (^_^) Dan terima kasih juga buat semua teman, junior-junior yang mengingati hari tuaku semalam. Juga buat teman-teman di Brunei yang mendoakan dari jauh (UBD best!). Moga persahabatan kita ini diberkati Allah dan berkekalan hendaknya. Amin...

Sunday, January 18, 2009

Siapa Bunuh Siapa?

Boikot: Perlu praktikal

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Rakyat Malaysia diminta lebih praktikal dalam memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) kerana tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan negara bankrap pada masa depan.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, meskipun tindakan itu bertujuan memprotes situasi yang berlaku di Genting Gaza namun ia boleh mendatangkan musibah kepada negara sekiranya kuasa besar itu membuat perkara yang sama kepada Malaysia.

Beliau yang melahirkan kebimbangan dengan situasi semasa berkata, sebagai rakan dagangan terbesar di Malaysia, AS mampu melakukan apa sahaja untuk membalas tindakan memboikot barangannya.

‘‘Dalam hal ini, Malaysia sebenarnya boleh diibarat seperti mentimun dengan durian, tergolek rosak, digolek binasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

-----------------------------------------------

Ekonomi Barat boleh digugat

Konflik Israel-Palestin dan keganasan Israel tanpa peri kemanusiaan ke atas penduduk Islam Palestin di Gaza sebenarnya mencerminkan kelemahan pemimpin-pemimpin negara Islam itu sendiri.

Demonstrasi, boikot dan bantahan sama ada diplomasi atau keras tanpa tindakan balas yang setara ke atas keganasan Israel tidak membawa sebarang pengertian.

Tidak hairanlah Israel masih mengganas walaupun resolusi gencatan senjata telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti biasa, Amerika Syarikat (AS) mengambil sikap berkecuali dalam resolusi PBB itu.

Konflik Israel-Palestin dan serangan rejim Zionis ke atas Gaza mencerminkan kelemahan kesatuan geopolitik dalam kalangan pemimpin negara Islam.

Kelemahan negara Islam dari segi ekonomi, politik dan tentera, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, memberi ruang kepada negara Barat, terutamanya AS dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan hala tuju ekonomi dan politik dunia.

Merekalah arkitek kepada penubuhan PBB, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

Menerusi institusi antarabangsa itu, AS dan EU melaungkan peri pentingnya demokrasi dan meluaskan pengaruh mereka menerusi bantuan keselamatan dan kewangan kepada negara sedang membangun, termasuk negara Islam.

Liga Arab (22 negara ahli) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC, 57 negara ahli) tidak dapat mempengaruhi, apa lagi menguasai konflik Israel-Palestin, sebaliknya bergantung kepada PBB untuk menyelesaikan konflik itu.

-------------------------------------------------

Sama tapi tak serupa.

Umat Islam di Palestin tertindas - salah siapa?

Umat Islam di Palestin dibunuh - salah siapa?

Israel mengganas di Palestin - salah siapa?

Bantuan ketenteraan dan bekalan senjata kepada Israel - salah siapa?

Penguasaan wilayah2 di Palestin - salah siapa?

Rakyat Palestin menderita kesejukan dan kelaparan - salah siapa?

Bank di Palestin ditutup - salah siapa?

Bekalan makanan dan bantuan disekat oleh pihak Mesir - salah siapa?

Rakyat Palestin merempuh masuk ke Mesir melalui sempadan - salah siapa?

Ekonomi bukanlah satu alasan untuk menjadi pengecut antarabangsa. Sekeping nota yang bernama WANG bukanlah segala-galanya. Dapatkah Masjid Al-Aqsa ditebus dengan wang ringgit? Dapatkah maruah umat Islam dibeli dengan wang ringgit?

Oleh itu, siapa bunuh siapa? Siapa lagi jika bukan kita umat Islam sendiri yang membunuh saudara-saudara kita di Palestin. Jangankan kerana menjaga ekonomi negara, ekonomi akhirat tergadai.

Wednesday, December 31, 2008

Berpindah, Berubah, Beralih Arah.

Rasanya masih sempat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 buat semua umat Islam. Dah lama tak menulis di blog kerana beberapa kesukaran dan halangan yang dialami. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan kelapangan untuk berdakwah menggunakan medium ini.

Bercerita tentang tahun baru Hijrah, ianya dimulakan dengan peristiwa yang pastinya membangkitkan bara di hati apabila Gaza diserang lagi secara berterusan hingga ada yang menyebabkan ratusan umat Islam terbunuh. Di sini saya sertakan sedikit maklumat tentang aktiviti Yahudi yang saya dapati:

1 Januari 1948 ? kira-kira 200 pelampau Yahudi bersenjata mesingan dan bom tangan menceroboh kampung Al-Sheikh (5 km di tenggara Haifa) lalu membunuh wanita dan kanak-kanak.
10 April 1948 ? dalam Operation Unity, pengganas Haganah, Irgun dan Stern bersatu mengepung kampung Deir Yassin selama dua hari. Dalam tempoh itu 250 orang Arab dibunuh dan dengan kejam dan wanitanya dirogol. Seramai 25 orang wanita hamil dibelah perutnya dan bayi mereka disembelih, 52 kanak-kanak dikudungkan kaki dan tangan.
11 Julai 1948 ? Batalion ke-89 komando Yahudi yang diketuai Moshe Dayan menawarkan pengampunan kepada penduduk Islam Lyadd dan Ramle setelah berjaya menawan berkumpul di Masjid Dahmash seperti di janjikan. Namun malang, perlindungan yang diharapkan rupanya bala yang tiba, mereka semua mati.
18 September 1982: Seramai 3,000 kanak-kanak dan wanita Palestin disembelih di khemah di Sabra dan Shatila di Lebanon. Ketua tukang sembelih itu ialah Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel sekarang.

Itu hanya sebahagian sahaja. Serangan udara baru-baru ini benar-benar membuatkan saya terpana seketika. Perasaan marah, benci, semuanya meluap-luap. Walau tidak berada bersama-sama mereka tapi bak kata pepatah, cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya. Walau tidak sesakit mana, ianya satu perbuatan yang memang dikeji umat Islam yang memahami erti perjuangan ini. Oleh sebab itu, saya mengharapkan jika ada insan-insan di luar sana yang masih mengambil remeh perkara ini, endah tak endah hal saudara kita di Palestin, marilah kita bersama-sama berubah dan membantu mereka sebelum kejayaan tiba dan kesempatan untuk berjihad sudah tiada. Andaikata pahala itu boleh dihitung, maka pahala untuk jihad ini rasanya tidak terhitung dek kerana besar nilainya disisi Allah.

"Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengannya (al-Quran) dengan jihad yang besar" (Al-Furqan, 52)

Pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk membantu rakyat Palestin ini. Bukan semestinya kita kesana, tetapi bantuan kita juga boleh bermula disini.

Tahun 1429H membawa saya kepada banyak perubahan dalam diri dan pengalaman-pengalaman hidup yang sangat berharga. Kesabaran dan keteguhan iman benar-benar diuji sedikit demi sedikit. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Ujian ditempuhi dengan berkat dan rahmatNya.

Buat sahabat-sahabat, doakan saya berjaya menempuh tahun ini dengan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga perjuangan ini mampu saya teruskan dengan berbekalkan sedikit ilmu yang ada.

Monday, December 1, 2008

Motivasi: Brainwash.


Minggu lepas saya dihubungi oleh sahabat-sahabat lama yang sama bertugas sebagai fasilitator untuk kembali bertugas di bawah syarikat Master Even Management; sebuah syarikat yang mengendalikan program-program motivasi di kem sekitar Sungai Gombak. Kali ini merupakan program kem ibadah smart solat yang melibatkan pelajar seluruh Malaysia dari peringkat rendah hinggalah menengah. Peserta termuda berusia 8 tahun manakala peserta tertua berusia 15 tahun.

Apa yang menariknya tentang peserta-peserta ini ialah mereka datang dari pelbagai latar belakang. Terkejut juga melihat ada yang mewarna rambut dan berpakaian ketat ketika sampai. Terlintas di fikiran, adakah ibubapa mereka menghantar untuk anak-anak mereka memperbaiki solat atau untuk belajar solat buat pertama kalinya??




Keutamaan kami adalah untuk menanamkan jatidiri, semangat yang baru, melatih, mendidik, serta memperbaiki sikap dan peribadi benih-benih muda ini. Masakan anak-anak ini dapat diajar solat sedangkan asas pengetahuan agama mereka masih di tahap terendah sekali. Mustahil untuk dilakukan dalam masa 3 hari 2 malam! Oleh sebab itu, kami terlebih dahulu memotivasikan mereka dengan diselangi juga pengetahuan tentang solat dimana mereka diberi 2 naskah buku ringkas tentang panduan bersolat. Setakat mana yang termampu dibuat dan mampu diajarkan~


Selain ceramah oleh ustaz yang dijemput pihak penganjur dan ceramah motivasi oleh jurulatih sendiri, ada juga LDK dan aktiviti luar seperti merempuh halangan dan jungle-trekking. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan melatih semangat berpasukan di antara mereka serta bantu-membantu sesama rakan.
Teringat saya ketika aktiviti dalam gambar ini dijalankan, saya ke bilik setelah menangkap gambar-gambar (lari dari dibaling lumpur..Hehe). Sedang leka melihat-lihat mereka dari beranda bilik, saya terdengar suara orang menangis... Salah seorang peserta kem ini sedang bercakap dengan ibunya dalam telefon di belakang bilik yang saya duduki.
"Mak..orang nak balik la! Amek la mak.. Please.. Tolong la mak.. Orang dah tak tahan ni.. Mak yang paksa! Orang bukan suka nak datang pun..."
Setelah habis berbual, dia menjengah ke beranda bilik memanggil sesiapa yang ada. Bincang punya bincang, rupa-rupanya dia dibuli oleh rakan-rakan sebilik. Kebetulan ustazah dari pihak penganjur datang ke beranda tersebut dan terus memberitahu saya peserta tersebut merupakan antara 5 pelajar bermasalah yang memang sengaja ditinggalkan oleh ibubapa mereka untuk di'brainwash'kan. Hmm...
Permasalahan untuk direnungkan sejenak.
"Kadang-kadang tuan-tuan dan puan-puan hantar anak-anak ke kem ibadah untuk belajar bersolat... Tapi tuan-tuan dan puan-puan sendiri tak bersolat! Macam mana anak nak berubah?!" Saya mengambil petikan kata-kata abang Jo, salah seorang jurulatih kem.
Benar! Kita sering terlupa dan tanpa rasa sangsi menuding jari ke arah anak-anak sendiri tanpa menilai di tahap manakah diri kita berada. Pendidikan anak-anak bermula di rumah, dan ibubapa lah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak mereka. Jika baik warnanya maka cantiklah coraknya. Jika buruk warnanya maka hodohlah coraknya. Nah! Bagai memulangkan paku buah keras.

KENAPA..Dan Jawapan Dari Al-Quran.


KENAPA AKU DIUJI??
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN??
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI??
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. " -Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST??
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA??
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). " -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI??
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... -Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP??
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. " -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!
"...dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." -Surah Yusuf ayat 12

Thursday, November 27, 2008

Salam Bahagia..Selamat Datang ke Dunia Perkahwinan.



Alhamdulillah...
Hari ini seorang lagi sahabat lama saya selamat diijab kabulkn...
Bermulalah satu lagi kisah keluarga yang baru...
Saya doakan agar mereka bahagia hendaknya, hidup di bawah payungan kasih Ilahi, dan moga berjaya mengharungi kehidupan yang baru ini dengan tanggungjawab sebagai suami isteri.

Apakah sejarah disebalik perkahwinan?

Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah s.w.t kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu. Selain al-Quran dan hadith, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud, “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya”. [2]

Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalah Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain,bahawa mereka berkata yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu.” Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan.
(Petikan dari Wikipedia)

Firman Allah S.W.T,
" Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. " (Yaasin ayat 36)

Betapa indahnya digambarkan Islam itu dikala semua makhluk-makhlukNya dijadikan berpasangan. Haiwan jantan dan haiwan betina, malam dan siang, pokok dan tanah, lautan dan daratan, langit dan bumi, bulan dan matahari, lelaki dan perempuan, raja dan permaisuri, serta bermacam-macam lagi. Cuba kita renungkan sejenak, jika Bumi ini sentiasa malam tanpa siang menemaninya? Bumi ini tandus seperti padang pasir tanpa pokok-pokok menghijau menemani tanah-tanah? Lautan yang luas tanpa daratan? Tentunya Bumi ini kelihatan membosankan dan sukar untuk didiami manusia.

Begitulah hebatnya ciptaan dan ilmu Allah. Antara hikmahnya dijadikan makhluk-makhlukNya berpasang-pasangan. Dengan itu juga disertakanNya tanggungjawab yang besar untuk pasangan-pasangan itu memakmurkan Bumi ini.

Bagi kebanyakkan individu tambahan pula muda-mudi zaman sekarang, perkahwinan dilihat sebagai satu medan melepaskan nafsu semata-mata tanpa mengetahui erti perkahwinan yang sebenar dan tujuannya. Inilah antara punca-punca yang menyebabkan majoriti institusi perkahwinan pada masa kini mudah retak dan tidak tahan lama. Penceraian bagaikan satu permainan bagi mereka, lafaz talak bagaikan ucapan biasa, janji-janji cumalah satu sandiwara, dan pergaduhan itu adalah aktiviti mereka yang biasa.



How can we be lovers if we can't be friends, kata Michael Bolton dalam salah satu lagunya. Kebanyakkan suami isteri tidak memahami kehendak pasangan masing-masing dan kurang menerima kekurangan yang ada. Kemanisan dan keutuhan institusi perkahwinan boleh dikekalkan dengan persahabatan yang kuat antara suami isteri. Manusia memang sentiasa mencari kesempurnaan dan seringkali tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Itu sememangnya lumrah sikap manusia. Oleh itu, belajarlah menerima setiap kekurangan dengan rasa bersyukur.
Adakalanya kita dikurniakan suami yang pemalas, mungkin kerana Allah ingin kita belajar menjadi rajin. Jika bukan kerana mendapat suami yang sebegitu, kita tak mungkin terdidik untuk menjadi insan yang lebih baik dan sentiasa beringat kepada Allah. Di dalam setiap perkara, ada terselit kasih Allah pada hambaNya... Cuma kita tidak sedar dan jarang menghargainya...

"Kadangkala kita tidak sedar, orang yang kita tidak peduli sayang pada kita... Kadangkala kita tidak sedar, kita terlampau sayang pada orang sedangkan dialah yang sering menyakiti hati kita... Dan kita tidak pernah sedar, kita bukannya sempurna untuk mendapatkan orang yang sangat-sangat sempurna dalam hidup kita... Dan kita bukan sesiapa untuk buat orang menyayangi kita sepertimana kita menyayangi dia... Kerana kita hanyalah manusia biasa." Terima kasih pada sahabat yang menghantar mesej ini dikala saya sedang menaip artikel ini (",)

Buat teman-teman yang lain yang bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, Salam Bahagia saya ucapkan dan selamat datang ke alam rumah tangga. Moga jodoh kalian berkekalan hendaknya. Amin...

Monday, November 24, 2008

Kenduri merapatkan silaturrahim.

Semalam kami sekeluarga ke Port Dickson. Bukan untuk berkelah di pantai tapi kerana memenuhi undangan kenduri kahwin salah seorang anak rakan abah. Ini aktiviti pertama semenjak bermula cuti seminggu yang lalu. Lepas ni akan ada banyak lagi aktiviti-aktiviti untuk dipenuhi.

Hujung minggu pertama: Kenduri..kenduri..dan kenduri.
Hujung minggu kedua: Ke Gombak utk kem.
Hujung minggu ketiga: Balik ke Pontian - Raya Haji.
Hujung minggu keempat: Balik Perak - Mak Ngah Nozi kahwin.
Hujung minggu kelima: Balik ke Shah Alam - persediaan ke Brunei.
Hujung minggu keenam: Packing barang utk semester baru.

Perjalanan ke Negeri Sembilan memang memakan masa yang agak lama. Tidak la terlalu lama tetapi cuaca yang panas terik membuatkan perjalanan menjadi kurang selesa. Kenduri itu sebenarnya bukan sahaja merapatkan ikatan antara dua keluarga iaitu keluarga pengantin, tetapi juga merapatkan ikatan persahabatan antara rakan-rakan lama yang sudah 30 tahun tidak bertemu..
Kedatangan rakan-rakan sekerja abah yang sama-sama bertugas di JKR dulu memang satu peristiwa yang manis untuk dikenang. Masing-masing sudah mempunyai anak yang dewasa. Kebanyakkannya seusia dengan saya. Melihat pertemuan sahabat-sahabat ini membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana keadaannya saya 30 tahun akan datang? Adakah sempat untuk saya meraikan hari tua bersama rakan-rakan saya juga? InsyAllah..jika diberi usia yang panjang..
Mendengarkan kisah-kisah mereka pada zaman muda memang seronok! Dan kebanyakkannya berkisar kepada kerjaya dan keluarga. Mereka mengenali saya mungkin kerana saya yang sulung. Tak sangka, mereka adalah orang-orang yang pernah mendukung saya suatu ketika dulu.
Secebis kenangan saya sebenarnya tersimpan bersama mereka. Satu pandangan yang menarik untuk difikirkan sejenak..

 
Blogger Templates by Wishafriend.com