Monday, November 3, 2008

Exam Mood~


Alhamdulillah..akhirnya terlepas sudah dari kejaran-kejaran masa untuk menyiapkan assignment yang tanpa henti dan tanpa belas kasihan datangnya. Bertubi-tubi hingga menyesakkan dada. Hiperbola? Sama sekali tidak.


Di kala sibuk melayan masa dan tugasan-tugasan yang ada, kadangkala hampir terlupa pada tugasan sebagai seorang hamba yang masih mencari jalan ke syurga. bukan hampir, malah memang sudah terlupa! Syaitan menyanyi lagu riang. Usaha mereka menyesatkan seorang anak Adam sudah berjaya. Astaghfirullah al-azim...


Memang diakui, kadangkala kita terasa bagaikan perlu dan penting mendahulukan assignment dari hal-hal yang lain. Hinggakan adakalanya sanggup melewatkan waktu solat semata-mata untuk mengejar masa menyiapkan assignment. Apakah dengan perbuatan itu assignment kita akan lebih hebat? Lebih cepat disiapkan? Idea senang keluar?


Bila tibanya musim peperiksaan ni, barulah terasa keringnya hati dari zikir munajat, dari solat-solat sunat, dari tahajjud di malam hari kepada Allah..


Moga masih ada kesempatan untuk bertaubat dan masih terbuka pintu-pintu keberkatan untuk ilmu yang telah diperolehi. Amin

KeHidUpAn



Suatu pagi, seorang guru berdiri di hadapan kelas sambil mengangkat segelas(secawan) air. Dia bertanya kepada murid-muridnya; "Cuba kamu teka, berapa berat gelas ini?"



Jawab murid yang duduk di hadapan kelas: "50 gram, cikgu!"



Guru tersebut tersenyum. "Yang lain?" soalnya."



Saya rasa mungkin 100 gram," jawab seorang pelajar perempuan.



Bangun pula seorang pelajar lelaki di tengah-tengah kelas, "Jawapannya mesti antara 50 hingga 500 gram.



Siapakah yang berjaya memberi jawapan yang betul? Adakah berat gelas itu 200 gram? 300 gram? 410 gram? atau 100 gram?



Jawab gurunya, "Jawapan kamu mungkin betul dan mungkin juga salah! Sebenarnya, berat segelas air ini tidak begitu penting sebab ianya bergantung kepada berapa lama kamu memegangnya. Jika kamu pegang gelas ini satu minit, tak jadi masalah. Kalau satu jam, tangan kamu akan sakit. Sehari! Kamu perlu diusung ke ambulans." Ketawa murid-muridnya mendengar kata- kata guru itu.



Sambung guru tersebut; "Murid-murid sekalian… berat segelas air ini takkan berubah tapi semakin lama kamu memegangnya, ia akan menjadi semakin berat.Apa yang patut kamu lakukan ialah letakkan gelas itu ke bawah, rehat beberapa minit dan sambungnya kembali."



"Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Jika kita ada masalah, selesaikannya secepat mungkin. Kalau kita masih gagal menyelesaikannya, rehat sebentar. Lupakan masalah itu untuk seketika."



"Jangan terlalu memikirkannya kerana ia akan menyebabkan fikiran kita tidak tenang dan terganggu. Ketenangan amat penting sebelum kita memikirkan masalah itu kembali."

___________________________~
Dalam menghadapi dunia dan kehidupan masa kini, memang tidak dinafikan ada banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Baru-baru ini di akhbar Kesihatan juga menyiarkan bahawa manusia di zaman ini dilanda masalah mental yang semakin teruk dan terdapat peningkatan jumlah pesakit-pesakit mental. Mengapakah dan bagaimanakah fenomena ini berlaku?

“ Dan apabila mereka dipukul ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru dengan penuh keikhlasan kepadaNya, maka tatkala Allah telah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka masih tetap menempuh jalan yang lurus dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami melainkan orang yang tidak setia lagi engkar.” (Surah Luqman : ayat 32)

Manusia sering lupa pada Allah. Mereka lupa bahawa manusia amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah ketikamana mereka dilanda satu bencana atau masalah serta kesulitan yang mendesak. Doa dan usaha itu amat penting serta bertawakal kepada Allah.

Berehat seketika dengan muhasabah diri agar kita tidak tersasar jauh dari jalanNya (",)

Tuesday, September 30, 2008

Keperluan atau Pembaziran?

Mak Limah : e’eh..cuba kau tengok tu Jah.. Banyaknya si Timah beli baju raya..
Mak Jah : Jangan kata baju, kuih raya dia pn aku tengok bertin-tin dekat daput. Nanti anak dia balik beraya bawak lagi. Habis ke nanti tu?
Mak Limah : Entahlah Jah.. Tapi cemburu pulak aku tengok. Rasanya aku pon nak tambah koleksi baju raya la Jah. Aku ada 2 pasang je.. Lagipun kau tau Jah, sekarang ni tengah murah-murah. Megasale la katakan..
Mak Jah : Dah..kau pun nak jadi macam dia jugak?? Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih..
Mak Limah : Kau mengata aku ye Jah..? Tak ada salahnya pun aku nak beli. Nanti-nanti kan aku pakai jugak buat berjalan. Ha..pakai ke surau lagi..
Mak Jah : Suka hati kau lah Limah.. Aku tak nak dikatakan membazir. Itu kan amalan syaitan.


Keperluan atau pembaziran? Anda keliru? Jika anda keliru bermakna anda masih belum bijak dalam mentafsirkan kedua-dua maksud perkataan itu dengan sempurna. Barangkali anda juga tergolong dalam golongan yang suka membazir. Hati-hati…

Kemarin ketika menyediakan juadah untuk bersahur, saya mendengar ceramah di radio. Siapa penceramahnya tak pula saya ingat. “Perayaan sering dilihat sebagai satu pesta dan bukannya ibadah pada zaman ini.” Betul kata ustaz tu, manusia lupa bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal hadir ini bukanlah satu pesta dimana semua berseronok-seronok sambil berjalan ke rumah saudara dengan menunjuk-nunjuk perhiasan baru yang mereka ada. Bahkan ia merupakan satu ibadah dimana kita meraikan 1 Syawal, hari yang mulia lagi bermakna buat umat Islam. Sambutan bukanlah bertujuan bersuka ria tetapi menyambut kemenangan setelah sebulan berperang dengan nafsu diri yang menggila. Dan jangan kita lupa pada peristiwa-peristiwa di zaman Rasulullah yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini. Hayatilah dan fahamilah maknanya yang tersirat.

Tak kurang juga ada yang sanggup melaburkan sejumlah besar wang ringgit hanya untuk membeli juadah berbuka yang sememangnya mampu untuk menampung perbelanjaan selama 5 bulan! Ya, tanpa kita sedari sebenarnya bulan Ramadhan adalah bulan yang dipenuhi pembaziran. Oleh siapa?? Oleh kita semua. Membeli yang tidak perlu tanpa beringat sedikit pun. Melayan nafsu membeli sepuas-puasnya. Mata dan hati dikaburi MEGASALE yang terdapat di merata-rata. Siapakah anda?? Inikah jatidiri umat Islam masa kini??

Tepuk dada tanya iman. Berbelanja sekadar memenuhi keperluan tanpa perlu membazir. Beraya bukanlah semestinya memerlukan baju baru, sofa baru, langsir baru dan bermacam-macam lagi perkakas yang baru. Tetapi, tukarlah konsep supaya di lebaran yang mulia ini, kita menjadi insan baru dengan iman yang baru yang lebih berkilau dari sebelumnya.

Sinarilah Syawal dengan cahaya keimanan… bukan dengan cahaya keduniaan.

Thursday, September 18, 2008

Cerita Harimau, Buaya, Tikus, dan Madu Lebah.

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi.. jeng!jeng!jeng! .. bunyi.... aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja..

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!... . Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.

Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. Lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni... habislah jadi mangsa buaya.

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah bawa madu.

Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.... Tikus yg sedang mengigit tali........

Kalau semua nak tahu ... si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah. 2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti. Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita. Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu. Madu... madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah.
Astaghfirullah. . ..

Thursday, September 11, 2008

Perpisahan Itu Memang Menyedihkan


Lepas sorang..sorang pergi

Nanti sorang lagi pergi..

Pastu yang lain sama jugak nanti..

Sedihnya..kenapa perpisahan mesti terjadi?


Setiap pertemuan pasti disudahi dengan perpisahan.


Ayat yang biasa didengari. Tapi, sejauh manakah kita memahami dan menerimanya? Menjadi lumrah hidup untuk kita mengenali manusia-manusia yang bertabur di bumi Allah ini, dan sudah semestinya, bila tiba masa yang ditentukan Allah, mereka akan hilang satu persatu dari hidup kita. Kematian, perpisahan, adalah sesuatu yang pastinya terjadi. Cuma masa yang menjadi penentuan.


Patah tumbuh hilang berganti.


Setiap hari ada saja kelahiran yang akan menggantikan kematian. Di merata tempat, bayi-bayi baru dilahirkan. Di merata tempat juga, lubang-lubang kubur yang baru digali. Yang pastinya, kita akan bertemu lagi. Dimana? Bila? Sememangnya bukan di dunia ini...tetapi di suatu dunia yang lain. Di padang masyar ketika perhitungan dijalankan.


Lain orang lain caranya menghadapi perpisahan. Seharusnya, setiap pertemuan dimulakan dengan senyuman dan kesyukuran. Begitu juga dengan perpisahan. Mungkin dengan cara perpisahan sahaja manusia akan lebih beringat kepadaNya, Zat yang Maha Agung.


Ada hikmah disebalik setiap kejadian.


Belajar untuk menerima dan belajar untuk redha atas ketentuanNya. Apakah dengan tangisan, kita mampu mengubah dunia mengikut kehendak dan nafsu kita?

Kem Sifat Solat Nabi


Alhamdulillah.. Akhirnya selesai juga program kem sifat solat nabi yang dirancang ustaz Ridha setelah sekian lama. Program ini yang turut dijayakan oleh Biro Agama HEP INTEC dengan kerjasama JAWI mendapat sambutan yang baik. Masjid Wilayah menjadi sasaran utama tempat penginapan kami. Selesa. Itulah yang kami dapati kemudahan di sana. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang bertungkus-lumus membantu menjayakan kem ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa-jasamu.


Handout ada diberikan. Video akan dijual kemudian, InsyAllah. Ingin mengupas secara ringkas tentang input2 dari kem ini tapi masih belum berkesempatan disebabkan tugasan kuliah yang masih bertimbun. InsyAllah..akan disambung kemudian (",)

Thursday, September 4, 2008

Penat yang Membahagiakan.

"Meeting...meeting...meeting. Besok kene pegi HEP pulak nak setelkan pasal surat. Surat perlantikan AJK la, surat mohon pertukaran budget la, surat mohon cenderamata penceramah la, surat jemputan la. Peserta program tak selesai lagi. Promosi kene dipergiatkan. Terawikh, tazkirah dan qiam... Organisasi Surau belum buat-buat. PSC dh ajak bermesyuarat tapi tak ada masa. Kesian budak-budak Smart Group ku... dah 2 minggu tak buat usrah..."

Ini sekadar monolog ana yang memang biasa.

Kerja yang tak berkesudahan... Tak putus-putus tugasan datang. Pelajaran?? Assignment?? Itu satu hal lagi.
Jadual harian yang padat. Sangat padat dari bangun tidur di subuh hari hinggalah ke pagi jam 2. Tak penat ke? Penat....

Beberapa hari sebelumnya, ana sering di SMS ustaz, meminta ana untuk mencari beberapa nombor telefon pejabat-pejabat penting untuk dihubungi. Alhamdulillah, ana ada di bilik membuat tugasan jadi laptop sentiasa ada di depan mata.

Sibuk memang sibuk sampaikan tiada masa untuk diri sendiri. Tapi kata ustaz, fikirkan pahala itu sebagai matawang syurga. Kita sering mendengar Multi-level Marketing (MLM) yang memang menjanjikan ganjaran yang lumayan. Caranya mudah; cari orang bawahan. Begitu juga dengan kerja-kerja yang kami sedang lakukan. Kem Sifat Solat Nabi yang sememangnya seronok di dengar tetapi memerlukan tenaga kerja yang banyak.

"Korang buat program ni ajak orang ramai pergi. Bila nanti mereka-mereka ini mendapat ilmu yang mana diaplikasikan dalam kehidupan harian, mereka sudah tahu bagaimana caranya solat yang betul, insyAllah, pahala mereka korang juga akan turut sama merasa. Jadi, tidak ada ruginya korang berhempas pulas bekerja siang dan malam. Ikhlaskan kerana Allah, ganjarannya memang tidak terkata."

Tazkirah ringkas ustaz selepas mesyuarat membangkitkan semangat kami. Terasa segar kembali otot-otot untuk bekerja. Inilah nikmatnya bekerja untuk agama, untuk Allah. Semoga kalian turut sama merasa kebahagiaan yang kami rasakan. Ukhwah yang terbina antara kami semua bukanlah kerana kebendaan dan pangkat semata-mata. Tapi ianya merupakan satu jalinan yang sukar digambarkan.

Indahnya hidup jika semuanya hanya kerana Allah.

Wednesday, September 3, 2008

Siapa Mahukan Haruman Kasturi?


Ramadhan yang dinanti-nanti kini tiba kembali setelah sekian lama menyepi. Rindu...terasa rindu menggamit hati. Pada Ramadhan yang datang dan pergi.

Ramadhan dan puasa memang tidak dapat dipisahkan lagi. Setiap kali menyebut bulan Ramadhan, pasti dibenak fikiran setiap orang akan terus tertacap perkataan 'puasa'. Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bauan kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

Mengapa Allah menggunakan haruman kasturi dan bukan emas, berlian, madu dan lain-lain ganjaran yang sememangnya nampak lebih hebat? Apa ada dengan haruman tersebut?

Pernahkan kalian membeli haruman (perfume) di kedai-kedai? Jikalau tidak sekalipun, semestinya ada yang mencuba. Adakah pernah kalian melihat haruman-haruman ini dibiarkan terbuka? Tidak. Haruman tidak pernah dan tidak akan dibiarkan terbuka kerana akan habislah rosak dan hilang wangian tersebut.

Begitulah yang terjadi pada orang-orang yang berpuasa. Hadis tersebut bukan sahaja menerangkan bahawa Allah memberi ganjaran berupa haruman dari mulut, tetapi juga Allah ingin menyampaikan kepada kita pengertian sebenar berpuasa. Di dalam berpuasa seseorang hendaklah menahan mulutnya dari banyak berkata-kata. Apatah lagi jika apa yang diakatakan itu hanyalah perkara yang bukan-bukan dan tidak membawa sebarang manfaat. Tidak banyak bercakap dan menutup mulut boleh diumpamakan dengan menutup haruman kasturi tadi. Lebih banyak percakapan dari mulut, lebih banyaklah haruman yang keluar. Akhirnya tidak meninggalkan apa-apa untuk disimpan sebagai bekalan di akhirat. Di penghujung Ramadhan, kita tidak mendapat apa-apa. Bahkan ibadah puasa yang dijalani hanyalah kosong semata-mata.

Nakkan haruman kasturi dari mulutmu? Nah, jangan banyak berkata yang sia-sia di bulan mulia ini.

Monday, August 25, 2008

Lembut Yang Lemah atau Lembut Yang Berhemah?

Wanita dan kelembutan adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan. Tapi apa yang dapat dilihat, wanita zaman moden ini sering menyalahgunakan kelembutan. Apakah salah wanita berlembut? Bukankah itu suatu kebiasaan yang tidak dapat dicegah? Atau ada cara lain untuk menunjukkan kelembutan?
“Maka janganlah kalian merendahkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginan jeleklah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang ma‘ruf.” (Al Ahzab: 32)
Ramai sahabat-sahabat yang saya temui mengatakan sukar untuk tidak melembutkan suara kerana "Nak buat cmna?Dah memang suara saya cmtu", "Eei..pompuan mana boleh kasar suara"..
Apa yang hendak disampaikan bukanlah deperti yang mereka fahami. Boleh saja bercakap dengan lembut. Tapi adakah perlu berlembut suara apabila bercakap dengan lelaki yang bukan muhrim? Bercakap dengan gaya manja, lebih mesra dari bercakap dengan kaum sendiri. Suara merupakan anugerah Allah yang sangat bermakna. Suara-suara wanita mampu mendamaikan hati para suami, mampu mendodoikan anak-anak kecil, mampu mengalirkan air mata sesiapa yang mendengar suara rintihan seorang wanita. Ia punya satu tarikan yang besar, tetapi jangan digunakan ke arah kemaksiatan.
Suara merupakan bagian dari wanita sehingga suara termasuk aurat, demikian fatwa yang disampaikan Asy Syaikh Shalih bin Fauzan bin Abdillah Al Fauzan dan Asy Syaikh Abdullah bin Abdirrahman Al Jibrin sebagaimana dinukil dalam kitab Fatawa Al Mar’ah Al Muslimah (1/ 431, 434)

* banyak persoalan tentang kelembutan yang bukan hanya pada suara, malah perlakuan. wanita sering menggunakan alasan untuk menagih simpati kaum lelaki. Adakah ini ciri wanita muslimah? Banyak tugasan perlu disiapkan dalam masa terdekat jadi tak berkesempatan untuk menulis di blog..

Monday, July 14, 2008

Kerana Diriku Begitu Berharga


Pertengahan bulan julai ni, genaplah setahun saya memakai tudung labuh. Mungkin ramai yang tidak tahu permulaan perubahan diri saya. Walaupun dengan teman yang rapat, mereka tidak pernah bertanya. Mungkin takut saya terasa. Tapi, mereka sentiasa memberi sokongan dan tak pernah menganggap perubahan saya ini sesuatu yang luar biasa. Alhamdulillah…terima kasih sahabat.

Mungkin inilah doa seorang emak buat anaknya… doa emak dan abah yang tak pernah kering, doa emak dan abah dihadapan kaabah untuk melihat anak-anak mereka berjaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Emak dan abah bukanlah ustaz dan ustazah. Tetapi kerana mereka lah saya mendapat asas pendidikan agama yang boleh saya gunakan sebagai panduan untuk meneruskan perjuangan ini.

Nama Muhammad Nuruddin memang sudah dikenali dalam hidup saya. Siapa dia? Kekasih? Bukan. Dia hanyalah seorang anak kecil yang baru berusia 1 tahun ketika saya mengenalinya 3 tahun lepas. Anak kecil yang merupakan anak asuhan saya yang pertama. Anak kecil yang membawa saya ke dunia baru. Ah…dia memang istimewa bagi saya. Teringat lagi kali pertama saya diambil umminya untuk menjaganya di rumah mereka. Sudah puas umminya mencari orang yang sesuai untuk menjaganya, kebetulan dengan saya Nuruddin mudah mesra. Ya, umminya seorang pendakwah bebas. Ustazah Suraya namanya. Memang hati ini berkata, “Aku ingin menuntut ilmu dengannya sambil menjaga Nuruddin nanti.” Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap hari tak lekang dari bibir Kak Su bercerita dan berbual, segalanya tentang Islam. Ternyata, memang lain rasanya ketika bersahabat dengan insan solehah.
Orang yang berilmu memang istimewa. Saya diasuh dengan mengenali pejuang-pejuang Islam. Buku pertama yang dipinjam dari ‘perpustakaan’ Kak Su adalah tentang Syeikh Ahmad Yasin. Sungguh, hati ini melonjak ingin tahu dengan lebih lagi, ingin belajar dengan banyak lagi tentang Islam. Nursyuhada…kata Kak Su, nama yang baik maksudnya.

“Nuruddin, Kak Syu ni nak jadi seorang pejuang kot…” kata Kak Su sambil tersenyum.

Gurau sendanya memberi kesan yang mendalam buat saya.
Sampailah sekarang, sedar tak sedar dah 3 tahun berlalu. Kak Su masih dengan perjuangannya menyebarkan dakwah di merata tempat. Saya kagum dengan kesungguhannya. Tanyalah sesiapa sahaja yang mengenalinya. Kata-kata yang lahir dari bibir Kak Su mampu membuka ruang keinsafan di dalam hati yang mendengarnya. Benarlah, keikhlasan hati dalam berjuang mampu menundukkan musuh. Tak kira masa dan hari, dengan anak-anak yang masih kecil, diredahnya juga jalanraya menuju ke kelas-kelas untuk mengajar muslimat. Jika musim cuti, dapatlah juga saya menemannya.

Saat saya ingin memulakan perubahan dari segi pemakaian, saya bertanyakan pendapat Kak Su.
“Syu nak tanya boleh? Kak Su, Syu nak mulakan pakai tudung labuh. Sejuk rasanya tengok orang pakai tudung labuh ni. Mak pn dah bertudung labuh sejak balik Haji. Syu rasa lagi kuat nak teruskan niat Syu ni. Tapi, Syu ada tanya pendapat kawan-kawan. Diorang kata dah pakai tudung labuh ni kenalah istiqamah. Itu Syu paham. Tapi, betul ke tak boleh dah nak pakai tudung yang 60 ela tu?”

“Syu, dulu kt Jordan, Kak Su ada sorang kawan. Dalam semua pelajar, dialah yang paling labuh tudungnya. Kak Su ada terjumpa dia, dah berkahwin sekarang. Dia dah tak pakai tudung labuh bulat tu lagi, tapi dia pakai tudung 60 ela. Kak Su tanya kenapa. Dia kata sebab suami dia kata cantik bila dia pakai tudung camtu. Syu…tudung labuh atau 60 ela, dua-duanya sama je. Dua-duanya labuh menutup dada, tak jarang. Yang membezakan cuma fesyennya aje. Satu dah dijahit siap-siap, satu lagi boleh diPin ketepi. Yang penting, niat kita bertudung tu. Pakailah tudung kerana ingin menutup aurat dengan sempurna. Buatlah kerana Allah, jangan kerana suami kata cantik. Tak ada salahnya kalau Syu nak pakai lagi tudung 60 ela Syu ni walau selepas bertudung bulat tu.”

Seminggu selepas berpindah ke UiTM Shah Alam dari IPKB, saya terus memakai tudung labuh. Bukanlah kerana ingin menunjuk baik. Niat saya adalah untuk menjaga maruah, diri, sejauh mana yang saya mampu. Alhamdulillah, saya tepis segala kata-kata yang kurang enak didengari, tahan diri dari mengalah. Nikmatnya memakai tudung labuh, hanya Allah yang tahu. Lain…ternyata lain benar rasanya.

Buat sahabat-sahabat di luar sana… Saya tahu masih ada yang ingin berubah tetapi takut untuk menghadapi perubahan. Bukan susah nak tinggalkan dunia seluar jeans. Percayalah…tetapkan hati dan bergantunglah pada Allah. Cuba fikirkan, dengan pakaian juga kalian boleh berdakwah. Setiap kali lalu ditepi-tepi orang kafir bahkan orang Islam sendiri yang tidak berpakaian menutup aurat, rasa-rasanya kalian terlepas dari disoal tentang tanggungjawab ke? Macam mana kalian nak nasihat, nak bagitau sedangkan mereka ini kalian hanya jumpa sekali sahaja di pasar malam…di kedai makan…di perhentian bas… Bila bertudung labuh, berpakaian sempurna menutup aurat, sekurang-kurangnya kita boleh niatkan di dalam hati “Ya Allah, moga sesiapa yang melihat pakaian ini akan terbuka hatinya kearah kebaikan. Sekurang-kurangnya biarlah dia senang melihat kecantikan agamaMu.” Dengan berjubah dan bertudung labuh, agak-agaknya la, nak ke kalian buat jahat? Nak ke kalian masuk wayang? Pegi karaoke? Cakap yang bukan-bukan? Tentu rasa malu kan sebab nanti orang akan mengata “Ape la…pakai je tudung labuh tapi perangai tahpape.” Ya…pakaian ini menjauhkan diri dari berbuat dosa. Inilah antara hikmahnya berpakaian seperti yang dianjurkan Islam.

Macam mana nak tau yer kita ni dah sempurna menutup aurat?? Teringat kata-kata Kak Su, “Andaikan sahabat terkandas di sesuatu tempat dan perlu bersolat dengan segera sebelum kehabisan masa. Kebetulan tiada telekung yang dibawa atau apa-apa yang boleh dijadikan pengganti telekung. Pakaian yang sahabat pakai itu jika boleh dibawa dalam solat, maka itu menunjukkan pakaian sahabat itu sudah sempurna menutup aurat.”

 
Blogger Templates by Wishafriend.com