Thursday, September 27, 2012

Poligami: Apa Pengertian Anda?

Pengertian Poligami
Poligami bermaksud mengahwini lebih dari seorang pasangan samada lelaki mahupun wanita. Pengertian yang diperolehi dari Dr. Sidi Ghazalba pula ialah perkahwinan antara seorang lelaki dengan lebih dari seorang perempuan. LAWAN bagi poligami adalah POLIANDRI iaitu perkahwinan antara seorang perempuan dengan lebih dari seorang lelaki.

Seluruh dunia memahami akan pengertian poligami tetapi, bukan semua menerima poligami dengan positif. Dunia Barat telah lama mempamerkan penolakan mereka terhadap poligami terutamanya warganegara Britain di mana undang-undang tentang isu rumah tangga menyebut jika seorang warganegara Britain menjalankan poligami, maka dengan sendirinya dia disabit atas kesalahan 'bigamy'.


Poligami di Malaysia

Oleh kerana majoriti penduduk Malaysia beragama Islam, poligami bukanlah satu isu yang besar kerana ia dibolehkan di dalam undang-undang. TIDAK menjadi satu kesalahan bagi seorang lelaki untuk mengahwini lebih dari seorang wanita dalam satu masa kerana Islam itu sendiri membenarkan.

TETAPI, perlu diingat bahawa bukan semua rakyat Malaysia menerima poligami dengan baik. Bukanlah membenci tetapi poligami dipandang serong oleh masyarakat kerana CARA berpoligami itu telah "disalah guna" dan disalah erti oleh SEGELINTIR kaum lelaki.


Hikmah Berpoligami
Antara hikmah berpoligami itu adalah untuk memberi keadilan pada wanita yang lebih memerlukan perlindungan seorang lelaki - baik dari segi sosial mahupun kebajikan.Begitu juga sebaliknya dimana poligami turut memberi keadilan pada lelaki yang mempunyai isteri yang tidak lagi mampu memenuhi keperluannya sebagai seorang suami. Disebabkan itulah perlunya untuk lelaki memahami erti sebenar poligami. Bukan hanya memahami KULITnya sahaja iaitu MENAMBAH seorang lagi isteri.

Siapakah wanita yang berhak untuk dikahwini sebagai isteri yang kedua, ketiga, dan keempat?


Mereka adalah wanita-wanita yang sangat perlu untuk dilindungi seperti janda yang mempunyai anak dan tidak mampu untuk menyara kesemua anaknya seorang diri, anak yatim piatu, wanita yang mandul dan tidak mungkin dinikahi mana-mana lelaki bujang, dan pelbagai lagi kes wanita yang lebih memerlukan suami disisi, biarpun hanya sebagai isteri "tambahan".

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila isteri pertama dirasakan sudah tidak lagi "berfungsi" untuk menyenangkan hati dan membuahkan "keseronokan" atau tiada lagi persefahaman, maka pengganti perlu dicari. Siapa kata TIDAK boleh? Boleh..tetapi biarlah pilihan wanita itu tidak berasaskan NAFSU, tetapi AGAMA.

Memetik ayat dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama, nescaya kamu berbahagia."

Hari ini, lelaki lebih memilih wanita yang lebih muda dari isteri pertama, lebih cantik, lebih manja, lebih genit, dan lebih gebu. Alangkah baiknya jika pilihan kedua, ketiga, dan keempat itu lebih BERAKHLAK, lebih RAJIN beribadat, lebih TERTUTUP auratnya, dan lebih MULIA agamanya walaupun KURANG pada paras rupanya agar keluarga, isteri, dan anak-anak lebih terarah ke jalan syurga.

Habis madu sepah dibuang.

Ingatlah ayat dari surah an-Nisa' ayat ke-3 ini,


Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Poligami Rasulullah
Mari kita ambil contoh bagaimana Rasulullah berpoligami. Poligami Rasulullah bermula setelah baginda kematian isterinya yang tercinta iaitu Khadijah r.a. Rasulullah kemudiannya berkahwin dengan Sawdah binti Zam'ah, wanita yang sudah berusia, demi melindungi Sawdah yang kematian suaminya. Usia Sawdah pada ketika itu ialah 66 tahun.

Dari sudut sosial pula, Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Aisyah r.a. dan Hafsah r.a. atas dasar menghargai orang tua mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan Umar al-Khattab r.a. Begitu juga dengan perkahwinan antara Rasulullah dengan Ummu Salamah yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah. Oleh kerana anak-anak Ummu Salamah masih kecil, jadi mereka memerlukan pembelaan dan didikan dari seorang bapa.

Selain itu, poligami Rasulullah S.A.W. juga ada kaitannya dengan politik dan dakwah. Contohnya, selain memiliki sifat terpuji, Ummu Salamah juga adalah dari kalangan orang kenamaan. Rasulullah mengahwininya untuk menguatkan ikatan kasih sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya mereka turut sama memeluk Islam.

Begitulah hebatnya, adilnya, dan cantiknya poligami Rasulullah.

Nasihat Untuk Para Suami
Berhati-hati wahai lelaki yang bergelar suami.. SILAP LANGKAHMU MAKA CACATLAH AGAMAMU, dan musnahlah gelaranmu sebagai da'ie yang terhormat.

Hanya kerana memilih calon isteri kedua yang SALAH, ia bukan hanya mencetuskan keMARAHan pada isteri pertama, tetapi juga mencipta satu fenomena di mana isteri-isteri pertama yang sudah mula dimamah usia menjadi FOBIA melihat wanita-wanita muda. Maka akhirnya, tercetuslah satu pandangan negatif bukan sahaja pada wanita muda, tetapi juga ada segelintir isteri yang amat mudah berasa curiga pada suami. Seterusnya, ia menjadi PENYEBAB kepada penolakan poligami bagi kebanyakkan wanita.

Bukan isteri sengaja memilih, tetapi kerana perbuatan segelintir para suami yang menjadi fitnah pada pemahaman poligami yang sebenar.

Duhai para suami.. ingatlah ayat ini

Isterimu tidak akan berasa hati jika dirimu mengikut jalan Allah yang sebenar-benarnya. Didiklah isterimu agar dia mencintai Allah dan Rasul melebihi dirimu. Dengan cara itu duhai para suami, barulah adil jika kamu menyalahkannya andai dia masih tidak mahu mengikuti apa yang benar. Janganlah dibiarkan si isteri termangu tanpa mengetahui kesalahan yang telah dilakukan dan tanpa dididik terlebih dahulu.

Duhai para suami..isterimu dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Hanya dikaulah yang mampu memegang tulang itu menjadi lurus. Dan bukanlah mudah baginya untuk dilenturkan kerana kesabaran seorang lelaki, seorang ketua keluarga, seorang da'ie, amat diperlukan isteri..

*_berfikir dan berfikir_*

Tuesday, July 12, 2011

Belajar DARI Kesilapan. Bukan Belajar DAN Membuat Kesilapan.


"Teacher nak tahu... Saya telan 10 biji Panadol."


Terkejut. Malah lebih terkejut dengan gaya pelajar tersebut yang nampak bersahaja.

"Kenapa awak telan sampai 10 biji?"

"Saya stress teacher. Dia minta clash dengan saya." terang pelajar tersebut tentang masalah dengan buayafriend nya.

"Owh... Kenapa tak telan sampai mati ja? Tak ada awak stress dah." dengan nada menyindir tapi melawak saya menjawab. Geram!

Itu bukan sekali pelajar tersebut membuat perangai yang membingungkan. Malah guru-guru telah masak dengan sikapnya yang sememangnya tidak mahu berubah.

Beberapa bulan sebelumnya saya adalah guru praktikal kepada pelajar tersebut. Dia pintar, cerdas, dan ceria orangnya. Bagi seorang guru, saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar harus dilayani dengan setara; tiada yang berbeza. Walaupun begitu, sesetengah situasi memerlukan seorang guru melebihkan perhatiannya - bukan kerana mahu membezakan, tetapi mendidik si "ugly duckling" menjadi seperti si itik yang lain.

Cara Abah
Abah diam. Kemana pergi anak-anaknya seolah tidak dihiraukan. Apa sahaja perbuatan kami lima beradik cuma diperhatikan; tanpa sebarang kata. Tetapi abah punyai seribu mata yang tersembunyi.

Abah hanya menunggu masanya bila rotan berlagu riang, sedangkan di dapur emak sudahpun menyanyikan bait-bait leteran. Klasik sepanjang zaman.

Mungkin sukar untuk kami mengerti tetapi apa yang saya fahami, abah mendidik kami dari kesilapan. Dengan merasai pahitnya sebuah kesilapan, barulah nasihat yang bakal abah berikan masuk ke telinga kanan dan tak mungkin mahu keluar dari telinga kiri.

Kesilapan yang kami lakukan menyebabkan kami menutup rapat pintu telinga kiri agar nasihat yang diberi tidak lari. Kami sangat memerlukannya.

Umar al-Khatab juga belajar dari kesilapan. Kerana amarahnya yang membara apatah lagi setelah diketahui saudara perempuan beserta suaminya juga memasuki Islam, amarahnya pada Rasulullah dan Islam itu semakin membara. Tetapi api itu padam setelah Umar menyedari kesilapannya.

Umar BELAJAR dari kesilapan.

Manusia itu hidup, makan, minum, bekerja, tidur, berbual, bersosial, dan bernafas 24 jam sehari. Masakan dalam sesaat pun tiada kesilapan yang dilakukan. Perkara yang membezakan manusia itu hanya bernama 'manusia' dan yang bernama 'hamba Allah' adalah dari kebolehupayaan dia belajar dari kesilapan yang dilakukan dalam rutin harian.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 119:

"Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki (dirinya), sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Belajar DAN membuat kesilapan
Ramainya jenis manusia ini adalah yang belajar DAN membuat kesilapan. Bak kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, taubat cili api. Walaupun cili api terasa pedas apabila dimakan, tetapi kerana 'sedap'nya pedas itu, kita masih mencari cili.

Begitulah juga kisahnya dengan kesilapan. Membuat kesilapan itu diketahui mudarat dan dosanya, tetapi kerana 'sedap'nya kesilapan, ia tetap dibuat berulang kali.

Jadi, apakah formulanya untuk BELAJAR DARI KESILAPAN dan bukan BELAJAR DAN MEMBUAT KESILAPAN?

Lakukanlah TAUBAT itu di atas KESALAHAN. Iaitu segeralah bertaubat dan jangan ia ditangguhkan. Kerana apabila taubat itu ditangguhkan, jadilah kesalahan itu suatu kebiasaan yang sukar dihapuskan lagi.

Pelajar kembali belajar
Setelah pulang dari hospital akibat kesan sampingan terlalu kerap mengambil panadol dalam dos yang berlebihan, pelajar tersebut kembali sedar bahawa perbuatannya hanya mengundang kesengsaraan sendiri. Jawatan-jawatan yang dahulunya dibanggakan kini semuanya telah dilucutkan.

Raja turun menjadi rakyat biasa. Tetapi raja ini, raja berpengalaman.

Kali terakhir saya sempat berbual dengan pelajar tersebut, nampak tanda penyesalan pada riak wajahnya. Semoga dia berubah dan BELAJAR DARI KESILAPAN.


*_berfikir dan berfikir_*

Wednesday, April 6, 2011

Tidak Perlu Belajar.

"Teacher... Saya tak bawa buku."

"Teacher... Saya terlupa buat."
"Teacher... Buku saya hilang."
"Teacher... #^!%&#^*@(!&@*@&."

Kenapa tiada yang terus menjawab "Teacher... Kami malas belajar."? Itu kan ayat yang lebih mudah dan tidak memeningkan.

Hampir setiap hari terasa jantung direntap, hati dijerut, dan minda diasak dengan warga sekolah yang penyayang lagi prihatin. Keperluan bagaikan sentiasa tidak mencukupi dan tenaga perlu diperah hinggakan tiada titisan lagi yang jatuh ke bumi. Walaupun begitu, masih kurang rasanya penghargaan kepada guru apatah lagi dari ibubapa pelajar sendiri.

Pengasingan

Pernah lihat bagaimana pelancong dilayan di negara kita? Layanannya istimewa dan ramahnya sukar dicari walaupun sesama kita warga Malaysia sendiri. Teknik pengASINGan bukanlah lagi sesuatu yang tidak pernah didengari dalam dunia pendidikan. Terdapat dua cara pengasingan boleh ditafsirkan dan dijalankan.

1) Pengasingan berbentuk 'focus'
Mengasingkan pelajar yang bermasalah dan memberi tumpuan yang lebih terhadap mereka berbanding yang lain. Tumpuan kebiasaannya berbentuk kasih sayang, galakan, dan dorongan kerana adakalanya faktor 'kurang kasih sayang dan perhatian' membuatkan pelajar menjadi liar.

2) Pengasingan berbentuk 'separation'
Berbeza dengan cara focus, separation adalah pengasingan yang sememangnya diasingkan. Perbuatan 'tidak mengambil kisah', 'endah tak endah', dan yang sama waktu dengannya digunakan. Ianya bukanlah bertujuan untuk membalas dendam tetapi hanyalah sebagai satu kaedah.

Reverse psychology - telling a person something that is the opposite of what you want he or she to do. Menyuruh orang yang degil menjadi lebih degil. Begitulah juga dengan pelajar yang tidak mahu belajar. Menyuruh mereka terus dan tidak perlu belajar. Tetapi ingat... Ia hanyalah satu kaedah dan cara.

Belajar atau tidak mahu belajar

Timshel. Man's choices between GOOD and EVIL.

Pilihan untuk kebaikan atau keburukan berada di tangan sendiri. Jika memilih untuk baik, kebaikan lah yang akan didapati. Dan jika memilih untuk jahat, kejahatanlah yang akan diperolehi.

Saya mahu mengajar erti timshel pada semua anak didik yang saya kenali. Membiarkan mereka memilih lorong yang mana perlu dilalui. The road not taken, or the road that has been cleared and well used. The choice is theirs to make.

Sebagai ganjaran, mereka menerima kebebasan tanpa had. Itu lah hadiah teristimewa hari ini yang diberi pada pelajar saya. Tunggu dan lihat, apakah kebebasan tanpa sempadan yang akan menjanjikan kebahagiaan pada hati yang tandus itu. Atau ada yang terkejar mencari pengajar mereka semula. Yang pasti, guru ini sentiasa bersedia menerima mereka.


_*berfikir dan berfikir*_

Sunday, January 16, 2011

Berkecil Hati Juga Berdosa?


"Mengecilkan hati orang adalah berdosa, berkecil hati juga adalah berdosa. Tetapi lebih besar dosanya jika kita berkecil hati"

Hairan..

Kenapa orang kecil kan hati kita, kita pula yg berdosa?

[Fahamkan betul-betul]

Ayah: Jika seseorang hina kita, dia berdosa.
Jika kita terasa hati dgn penghinaan dia, kita juga berdosa.
Tetapi dosa kita lebih besar dari dosa dia.

Anak: Uiikk.. tapi kenapa pula? Kita tak buat apa-apa pun.

Ayah: Kerana orang yang menghina, penghinaannya itu adalah peringatan daripada Allah.

Anak: *blur

Ayah: Kenapa kita dihina oleh orang tu? Kerana itu adalah ujian dri Allah. Kenapa Allah hadiahkan kita ujian itu? Kerana DIA nak mengingatkan diri kita yg dah leka dengan dunia.
Bila kita berkecil hati dengan orang tersebut, bermakna kita tak redha dengan ujian yang Allah turunkan. Kesimpulannya, kita bukan kecil hati dengan orang, tapi kecil hati dengan Allah.

Anak: Ooooooo... ook.... (nada dah faham)

Ayah: Lagi parah bila kita pun cerita pada kawan-kawan kita. "Dia dah banyak buat aku macam ni, macam tu..." dan sebagainya. Dan kawan-kawan kita pula akan cerita pada kawan-kawan lain. "Kesian kawan kita tu.. budak tu dah banyak sakitkan hati dia,....." jadi keredhaan kita terhadap ujian Allah itu akan lesap.

Anak: *termakan cili

Sebagai kesimpulan, jangan mudah terasa hati..
Apabila terasa hati, maknanya kita tak redha dengan Allah..
Takut-takuti Allah juga tak redha dengan kita.. Na'uzubillah.

Semoga diri ini berubah kepada yang lebih baik. Maaf ya sahabat-sahabat jika ada perlakuan sebegini yang tidak disengajakan. Diri ini masih rendah ilmunya. Terima kasih kepada Nurhayatul dan Azura yang sudi berkongsi artikel menarik ini (",)



_*berfikir dan berfikir*_

Monday, May 24, 2010

Bergurau. Boleh Ke Tak Boleh?

Bergurau memang seronok. Kadang-kadang, bergurau boleh membuatkan suasana kelas yang muram menjadi ceria. Yang sepi bertukar gamat terutamanya waktu nak dekat 'exam'. Gurau senda jugalah yang menjadi penambah perisa dalam tautan ukhwah.

Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Kata orang putih "Excess of anything is abnormal!" Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja. Jikalau berlebihan tanpa batas, hidup boleh jadi huru-hara!

Namun, Islam itu cukup cantik. Allah S.W.T. tidak pernah membiarkan umatNya terbiar tanpa panduan. Al-Quran dan As-sunnah itu sentiasa ada untuk menjadi rujukan kita. Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardawi ada meletakkan 5 syarat untuk bergurau senda.

1. PERKARA YANG HENDAK DICAKAPKAN ITU BUKANLAH SESUATU YANG BOHONG HANYA SEMATA-MATA SUPAYA MANUSIA KETAWA.

Nabi SAW bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له
"Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia." (HR Ahmad dan ad-Darimi)

Dalam berbicara, kita perlu beringat supaya tidak menokok tambah dan berkata perkara-perkara yang tidak benar. Cuba lihat apakah kesan media apabila tokok tambah menjadi bahan utama dalam tulisan mereka. Berita yang tersebar menjadi sensasi. Kita pula selalunya tanpa usul periksa menyebarkan berita-berita sebegini kepada kawan. Tetapi berita yang tersebar itu kadangkala boleh menjadi fitnah bagi orang-orang tertentu, dan kesannya hidup seseorang boleh menjadi hancur disebabkan fitnah. Maka, berhati-hatilah.

2. TIDAK MENGANDUNGI PENGHINAAN TERHADAP SESEORANG MELAINKAN ORANG TERSEBUT MENGIZINKANNYA.

Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Nabi SAW bersabda:

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
"Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim." (HR Muslim - sahih)

Ada masanya kita tak sedar perkara yang kita sangka hanya satu gurauan terhadap sahabat kita, sebenarnya telah mengecilkan hati dia. Jangan sesekali menganggap semua insan adalah seperti kita; tidak merasa apa-apa bila diejek. Masing-masing punya perasaan tersendiri.

Jika ada kekurangan pada diri sahabat, tegurlah dengan cara yang baik. Gurauan yang melampau boleh menjadi asbab kepada putusnya sillaturrahim. Maka, berhati-hatilah.

3. MELAWAK YANG TIDAK MENAKUTKAN ORANG LAIN.

Nukman bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasululah SAW di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
"Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam." (HR Thabrani - sahih)

Nabi SAW bersabda:

لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا
"Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul." (HR Ahmad - sahih)

Gurauan yang tidak kena pada tempatnya juga adalah sangat ditegah. Malah nabi sendiri mengharamkan kita untuk menakut-nakutkan saudara seIslam kita. Berpada-pada lah dalam bergurau. Setiap benda ada 'limit' kerana jika tidak memikirkan kesan gurauan yang sepatutnya, hiburan boleh menjadi bala. Maka, berhati-hatilah.

4. JANGAN BERGURAU PADA PERKARA YANG PERLU SERIUS.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak.

Nabi SAW bersabda:

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق
"Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba." (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah - sanadnyaHasan)

Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah S.W.T.:

"Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai."(59 – 61 : an-Najm)

Seriously, perkara sebegini tidak boleh menjadi bahan gurauan kerana ianya melibatkan hukum agama. Maka, berhati-hatilah.

5. HENDAKLAH MELAWAK SEKADAR PERLU DAN TIDAK BERLEBIHAN.

Nabi SAW bersabda:

وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ
"Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – sanad hasan)


Kita seringkali diingatkan, mereka yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Dan bagi mereka yang banyak menangis di dunia (kerana mengenangkan akhirat), hidupnya di akhirat akan lebih bahagia. (Dr. Yusuf Qardawi, Feqhul Lahwi wat Tarwih)

Hmm..siapa kata orang Islam tak boleh bergurau?
Boleh..... Tapi ada caranya.

IKTIBAR KISAH RASULULLAH S.A.W.
Etika melawak dan bergelak ketawa.

Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda
"Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga." Baginda menjawab "Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga." Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya:
"Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman " Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya." (Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata
"Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami." Baginda menjawab:

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا

Maksudnya:
Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar. (Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

*Terima kasih pada adik-adik INTEC yang menampalkan artikel ini di surau. Dengan bantuan bahan-bahan lain yang diguna sebagai rujukan, harapnya dapat dijadikan panduan bagi semua.


*_berfikir dan berfikir_*

Saturday, February 6, 2010

Mesej Dalam H1N1

Tiada seorang pun yang menginginkan neraka Allah kerana asalnya manusia adalah dari syurga Allah. Oleh itu, menjadi fitrah manusia menginginkan syurga. Tetapi pengakhirannya Allah menyediakan dua tempat; syurga dan neraka.

Kenapa?

Kerana mereka ada pancaindera tapi tidak digunakan dengan baik. Mereka ada hati tapi tidak mampu untuk menilai.



Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada [Al-Hajj 22:46]

Ada hati, ada minda, tetapi mereka tidak mampu berfikir dengan baik.

Pepatah ada menyebut "Hayawaanun Laatikum" ertinya manusia seperti haiwan yang berakal.
Manusia itu adalah haiwan, cuma ia mampu berfikir. Masakan haiwan pergi ke surau, kuliah maghrib, dan bersikap rasional. Kerana itu, manusia yang apabila terpisah dari agama, dari peribadi yang mulia serta pemikiran yang rasional adalah diumpakan seperti haiwan.

Selsema Babi (H1N1)
"Babi najis apa adik-adik?"
"Najis Mughallazah..!" sambut adik-adik.

Kanak-kanak faham larangan tentang babi. Kita juga faham larangan tentang babi.
Tetapi adakah yang betul-betul memahami haiwan kotor ini?
Kerana masih tiada kefahaman tentang babi lah yang menjadikan virus H1N1 masih menular sehingga kini tanpa dapat dimusnahkan secara sepenuhnya lagi.

Kita melihat dari perspektif luaran tanpa mencari hikmah.

Manusia, terutamanya umat Islam sering melihat babi sebagai sesuatu yang JAUH dari kita.

Orang Islam tak makan babi. Orang Islam tak sentuh babi.

Mengambil Selsema Babi sebagai suatu amaran.
Suatu ketika dahulu negara kita dikejutkan dengan jumlah kes denggi yang sangat tinggi sehinggakan hospital dipenuhi dengan mangsa-mangsa nyamuk!
Ya..nyamuk. Sama seperti apa yang terjadi pada Raja Namrud; diserang oleh seekor nyamuk sahaja lalu mati.

Nyamuk Aedes hanya aktif pada waktu gelap (maghrib dan subuh).
Amaran untuk mengingatkan manusia betapa pentingnya untuk bangun pada waktu-waktu ini untuk beribadat (nyamuk tak ke surau). Atau mungkin juga mengingatkan kita tentang sikap kita yang semakin menghampiri Namrud.

Apabila Allah menurunkan bala, ianya secara menyeluruh
Kajian antara ayam dan babi tentang cara mendapat pasangan menemui hasil yang sangat menarik.

a) Dua ekor ayam jantan dan seekor ayam betina dilepaskan dalam kandang. Apa yang didapati ialah kedua-dua ekor ayan jantan tersebut bertanding secara sistematik untuk mendapat pasangan. Yang menang dalam sabungan akan mendapatkan ayam betina tersebut.

b) Dua ekor babi jantan dan seekor babi betina dilepaskan dalan kandang babi. Apa yang didapati ialah, ketiga-tiga ekor babi menyerbu sekaligus. Tiada sistem yang sistematik seperti ayam. Malahan, jika kedua-dua babi jantan tidak berjaya mendapatkan babi betina, maka yang jantan akan berpasangan dengan yang jantan. Gay!

Sikap babi sangat menyerupai sikap manusia pada akhir zaman.
Ramai yang menyangka sebagai Muslim, H1N1 adalah sesuatu yang jauh dari kita kerana kita tidak pernah menyentuh, makan, atau apa-apa sahaja yang mendekati babi. Akan tetapi, Allah ingin memberitahu bahawa sebenarnya SIKAP dan PERANGAI manusia lah yang mendekati babi.

Oleh itu, hendaklah memperhalusi ujian dan bencana yang telah Allah beri. Jagalah adab, pemakanan, dan perbuatan agar menjauhi maksiat.

"Jangan campakkan diri kamu ke ruang-ruang kebinasaan."
addzariyat211.jpg
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak perhatikan tanda-tanda dan bukti kebesaran Dia?” [Adz-Dzaariyaat 51:21]

*_berfikir dan berfikir_*

Saturday, January 16, 2010

Daun Kering Yang Dijilat Api

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."

Daun itu apabila ia di atas (daun segar), ia masih mampu berfungsi; menjalankan proses fotosintesis dan melakukan kebajikan dengan memberi manusia bekalan oksigen dan udara segar. Tetapi apabila daun sudah berada di bawah (daun kering), ianya tidak mampu berfungsi lagi. Apatah lagi keadaannya bila dijilat api.
Ibarat manusia kudung. Sudah lah tidak bertangan, putus pula kakinya.

Orang yang rugi
Manusia berbuat kebaikan, tetapi ada pelbagai cara yang boleh memusnahkan pahala kebaikan itu. Antaranya ada tiga:-
a) Riak
b) Ujub
c) Mengungkit kebaikan

Orang yang mengungkit kebaikannya adalah seperti daun kering yang mana pahalanya tidak dapat berfungsi lagi, bahkan terhapus begitu sahaja bagai dijilat api.
Tiada lagi fungsi pahala sebagai penyelamat diri di kemudian hari... Rugi... Rugi...

Sabar dalam berahsia tentang kebaikan diri
"Ala Muna... Tak nak ke tolong aku? Kan dulu aku pernah tolong kau hantar surat."

"Abang ni... Saya dari pagi tadi masak, mengemas, basuh baju, sidai kain, jaga anak, trim pokok... Awak duduk baca suratkhabar je."

"Kamu ni dari kecil akak jaga tau. Suap makan lagi. Dah besar, akak mintak tolong sidai baju pun tak nak."

Kenapa dikatakan bersabar dalam berahsia tentang diri adalah kerana dengan mengungkit kebaikan akan terhapusnya pahala. Walaupun dengan niat adalah untuk menyedarkan orang lain.

Sukarnya untuk mengelak dari tersebut kebaikan diri kerana kadangkala ianya telah menjadi satu kebiasaan. Saya sendiri juga terbiasa. Ia adakalanya terasa seperti sebahagian ayat lazim yang biasa diguna untuk membela diri, walhal hakikatnya ia memakan diri. Kerana ianya sering berlaku tanpa sedar, tanpa niat, menjadikan pahala amalan yang disebut itu ditarik tanpa dosa.

Isu nya kecil, tapi ungkitannya mengakibatkan pembaziran yang sangat besar. Langkah pencegahannya mudah, tetapi sukar untuk dibiasakan. Buluh-buluh yang sudah keras masakan boleh dilentur dengan mudah seperti rebung.

Mengambil pesanan dari nasihat Luqman al-Hakim pada anaknya,
"Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan terhadap orang."

Apabila hati menutup dan menepis perasaan 'perasan baik', dan mengambil sikap 'bersangka baik", kita lebih terdorong untuk mengelakkan mulut dari tersebut kebaikan diri.

Contohnya, kita membantu rakan mengangkat kain di jemuran. Ringan rasanya mulut untuk memberitahu dengan gembira bahawa kita lah orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang 'tidak seberapa' itu. Tetapi, cuba lah menepisnya dengan mengingat kebaikan rakan,

"Aku baru angkat kain sekali je untuk Husna, tapi dia dah angkat kain aku banyak kali."

Agak-agak terselitkah perasaan suka untuk menyebut kebaikan diri? Mungkin ada, tetapi peratusnya rendah sekali. Kerana malu; itu lah yang mahu disimpulkan dari nasihat Luqman al-Hakim.

Membaca sememangnya mudah. Memahami juga mudah. Tetapi untuk mengamalkan memerlukan seribu daya dan kemampuan.

Tanpa rahsia manusia itu tidak sempurna. Rahsia apa? Rahsia tentang amalannya~

*_berfikir dan berfikir_*

Friday, December 18, 2009

Pesanan Buat Penuntut Ilmu.



1) Niat yang ikhlas.
* Belajar semata-mata untuk mengenal Allah dan mengetahui cara menghambakan diri kepadaNya dengan sempurna dalam seluruh kehidupan.

* Bersih daripada sifat-sifat mazmumah (yang dibenci) seperti riya', sum'ah, ujub, takabbur, ingin berhujjah atau mengejar dunia dengan ilmu yang dipelajari.

2) Berdoa sebelum memulakan pengajian. (Samada berjemaah atau bersendirian)

3) Memutuskan segala perkara di dalam fikiran yang menghilangkan tumpuan.


4) Menjaga adab-adab berada di dalam majlis ilmu.
* Memberi perhatian terhadap ilmu yang disampaikan dan tidak memotong penjelasan guru. Sekiranya ada persoalan, catitkan, kemudian bertanya hanya apabila ruang dibuka.

* Tidak mengganggu majlis seperti bercakap-cakap (handphone atau teman di sebelah) atau bersalaman ketika pengajian sedang berlangsung.

* Cara duduk yang beradab. Memberi ruang kepada pelajar lain.

* Elakkan mendesak guru dengan sesuatu dan elakkan menyebut nama guru/ulama' yang lain dalam menyatakan pandangan. Jangan cuba mendahului guru dalam memberi jawapan, kecuali diminta.

5) Menjauhkan diri daripada ta'sub kepada guru atau aliran tertentu.



6) Mencatit ilmu yang diajar.

7) Hadir sebelum guru tiba dan memanfaatkan masa sebelum kehadirannya (dengan melihat pelajaran yang bakal diajar @ zikrullah @ perbincangan dengan teman-teman sepengajian)

8) Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Masing-masing tahu berapa banyak yang telah diamalkan daripada apa yang dipelajarinya. Muhasabahlah.

9) Zakat ilmu, sampaikanlah...walaupun satu ayat.



Tazkirah ini diambil dari nota Ustaz Syed Mohd Norhisyam al-Idrus pada kuliah subuh beliau di Surau Al-Mutmainnah, Pandan Perdana.

*_berfikir dan berfikir_*

Selamat Datang 1431H.



Setahun lagi berlalu. Setahun lebih dekat lagi dgn ajal. Setahun lagi kita disajikan dengan pelbagai azam baru yang seringkali terbengkalai.

Kepada sahabat-sahabat, semoga tahun 1431H adalah tahun yang bermakna. Bukan bermakna buat kita tetapi bermakna buat Islam.

Salam kemaafan, salam pembaharuan, dan salam perpindahan buat semua.

Tuesday, December 8, 2009

Masa Berbunga.


Pernahkah anda melihat bunga di waktu pagi? Atau di waktu petang? Tak kisahlah bunga di taman, padang, pasu bunga depan rumah, mahupun di tepi jalan.
Bagaimanakah rupa bunga di waktu pagi dan petang? Berbeza atau serupa?
Adakah waktu menentukan perubahan bunga?

Jika kita perhatikan, tidak dari sekuntum bunga pun pernah terlewat walau sedikit pun dalam mematuhi masa yang telah Allah tetapkan untuk mereka. Berkembang di waktu pagi; memberikan seri segar pagi dan menyejukkan mata sesiapa yang melihatnya, dan menguncup pabila malam tiba. Terfikirkah oleh anda adakah bunga ada jam buatannya sendiri yang membolehkan ia mengetahui masa..?

Itu sunnatullah yg telah ditetapkn buat si bunga-bunga.

Cuba bayangkan andaikata bunga-bunga di muka Bumi ini ada yang melanggar masa yang telah ditetapkan oleh Allah. Paginya tanpa kembangan segar, dan tanpa kuncup-kuncup di malam hari. Sudah tentu ia mengganggu sistem dan seterusnya menghapuskan keseimbangan alam. Lebah, rama-rama, burung kelicap madu dan sekalian haiwan yang hidup bergantung pada bunga tidak dapat mencari rezeki di siang hari. Dan sudah tentu manusia tidak dapat tidur nyenyak dek kerana kebisingan yang dibuat oleh haiwan-haiwan itu yang terpaksa mencari makan di malam hari.


Itu adalah bunga yang kita jelas kedudukannya lebih rendah berbanding manusia yang diletakkan Allah sebagai khalifah di Bumi ini.

Oleh itu, jika kita sebagai khalifah tetapi gagal dalam menepati masa, kesannya adalah lebih hebat berbanding bunga. Cuba bayangkan seketika sebelum anda melelapkan mata malam ini...

 
Blogger Templates by Wishafriend.com