Friday, April 24, 2009

Rintihan Hati Seorang Hamba.

"Ah... Kenapa rasa macam tak sedap hati je selalu? Rasa macam...serabut. Sebab apa rasa macam ni..? Macam ada benda yang tak kena..." getus hati kecilku ini.



Dulu pandai nak jaga solat, kenapa sekarang tidak?!
Dulu pandai nak jaga adab, kenapa sekarang tidak?!
Dulu pandai menjaga tutur kata, kenapa sekarang tidak?!
Dulu pandai berjaga malam menghadap Allah, kenapa sekarang tidak?!
Dulu sering muhasabah diri, kenapa sekarang tidak?!
Dulu bibir ini selalu basah dengan zikir pada Allah, kenapa sekarang tidak?!
Dulu deria ini selalu dijaga, kenapa sekarang tidak?!
Dulu setiap saat adalah jalan perjuangan bagiku, kenapa sekarang tidak?!

Ahh~ itu semuanya dulu-dulu...
Kenapa dulu sahaja?? Tidak sekarang??

"Sem ni banyak sangat subjek berat nak kena kejar."
"Banyak assignment...Tu yang leka tu... Masa pun tak cukup-cukup."
"Sekarang dah tak jadi biro kerohanian. Talk ustaz pun takde. Ustaz pun tengah sibuk."
"Banyak sangat la benda nak kena buat... Nak balik rumah pun takde masa."
Bla..bla..bla..

Dan pelbagai lagi alasan yang sengaja direka dalam otak supaya meredakan kegelisahan hati.
Tetapi semestinya...gelisah dan resah itu masih ada~

Rindu...
Sambil tangan menaip, terasa hangat air mata yang mengalir... Rindu pada satu zat yang Subhanallah..lama dilupakan..
Alpa membawa padah.
Rindu pada keasyikkan cinta Allah.
Bukanlah tidak mengingati langsung... Tetapi ingat dalam lupa. Samar-samar, pudar, dan tidak jelas rasa imannya. Memang benar, iman itu adakala di atas dan adakala ia di bawah. Iman ada naik turunnya. Dan pabila iman berada di paras bawah, manusia itu caca-marba; tidak tentu hala.

"Tidaklah kehidupan dunia dibandingkan dengan kehidupan akhirat, kecuali seperti saat salah seorang di antara kamu mencelupkan jari telunjuknya di samudra lautan, lalu lihatlah yang tersisa di jari telunjuknya itu (itulah dunia)." (HR Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Teringat kepada ayat ini yang mana menunjukkan betapa kecilnya dunia berbanding akhirat. Baru la saya terfikir kesan dan padahnya jika mengutamakan dunia melebihi akhirat.

Fitrah Manusia.
Kadangkala kita terlupa. Terlupa formula kimia, terlupa siapkan kerja, terlupa bayar hutang, terlupa membersihkan pinggan di dapur, terlupa pada yang mencipta...
Ia sememangnya merupakan fitrah manusia apatah lagi kita yang bukan tergolong dalam golongan para nabi dan rasul, alim ulamak, para syuhada'. Kita adalah golongan manusia yang rendah.
Saya adalah golongan manusia yang rendah.

Semoga Allah memulakan kehidupanku dengan permulaan yang baik, dan menamatkannya dengan pengakhiran yang baik juga. Amin~

"Dan janganlah kamu merasa lemah,dan janganlah pula bersedih hati kerana kamu paling tinggi(darjatnya) jika kamu orang yang beriman.."~Al-Imran:139~

*_berfikir dan berfikir_*

Tuesday, April 7, 2009

Nilai Seorang Sahabat

Post kali ini saya tujukan khas buat semua sahabat yang amat saya kasihi. Semoga isinya bermanfaat buat semua.

Seorang sahabat tahu kelemahan kita, tapi dia sentiasa menguatkan kita.

Seorang sahabat tahu kekhuatiran kita, tapi dia sentiasa menenangkan kita.

Seorang sahabat tahu kegembiraan kita, dan dia mampu tersenyum gembira bersama.

Seorang sahabat tahu kedukaan kita, dan dia mampu mencari penawarnya.

Seorang sahabat peka dengan perasaan kita, di setiap saat dan ketika.

Seorang sahabat menerima kita seadanya di kala orang lain memandang jelek terhadap kita.

Seorang sahabat tahu menilai kita, yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang sahabat dapat membaca hati kita, walau ia tertutup rapat serapatnya.

Seorang sahabat mampu mendidik kita lebih baik dari guru terhebat di dunia.

Seorang sahabat mampu memberikan yang terbaik di kala kita memberikan yang terburuk.

Seorang sahabat mampu memahami kita, lebih dari seisi dunia.

Seorang sahabat mampu berkongsi tangisan kita, walau di saat dia paling bahagia.

Seorang sahabat mampu melindungi kita, walau terkorban dirinya.

Seorang sahabat adalah pembimbing, pendidik, teman, kawan, rakan, kenalan, dan bisa juga dijadikan keluarga.

Seorang sahabat tidak mengharapkan apa-apa. Memberi tanpa meminta balasannya.

Nilai seorang sahabat itu tiada terperi, melebihi perasaan pada seseorang yang berkasih. Pertalian yang tercipta ini terlalu tinggi darjatnya. Sebagaimana para sahabat dikurnia pada Rasulullah, begitulah juga sahabat pada kita. Andai hubungan antara manusia ini tidak difahami, berseoranganlah kita berkelana di bumi. Kerana di dunia, hanya yang namanya SAHABAT itulah segalanya, curahan segala keluhan, luahan pada saat kepiluan, dan pada akhir kata, janganlah disamakan SAHABAT itu pada teman, rakan, dan taulan. Definisi yang berbeza punya darjat yang berbeza juga.

Allah SWT berfirman ketika memuji NabiNya:
"Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk" (Ad-Dhuha: 7)
Dan petunjuk itu adalah seorang SAHABAT.

_*berfikir dan berfikir*_

Saturday, April 4, 2009

Cabaran Bersangka Baik (husnuzzhon)

Situasi 1:
Apabila anda ternampak seseorang membuang plastik sampah di dalam longkang, adakah anda akan bersangka baik dengannya? - tidak

Situasi 2:
Seorang lelaki yang tidak dikenali cuba memasuki rumah jiran anda. Adakah anda akan bersangka baik dengannya? - tidak

Terlalu melampaukah analogi yang cuba diberi? Tetapi siapa tahu, orang dalam situasi 1 tidak berniat membuang plastik sampah merata, cuma tanpa disedari, plastiknya melayang diterbangkan angin ke dalam longkang. Dan siapa tahu, lelaki yang cuba memasuki rumah jiran anda hanyalah berniat untuk mengambil layang-layang anaknya yang diterbangkan masuk ke laman rumah jiran anda.

Saya tidak pandai beranalogi.

Cumanya, itu sekadar pendahuluan kepada apa yang cuba disampaikan. Cabarannya untuk bersangka baik. Kepada siapa? Bersangka baik kepada Allah dan juga sesama manusia.

Dalam buku “al-Hikam” karangan ibn Ata’illah as-sakandari, beliau mengibaratkan ujian itu suatu nikmat yang tersembunyi atau ditangguhkan. Hanya dapat diperolehi dengan bersangka baik pada Allah swt. Dan orang yang paling bersangka baik pada Allah adalah Rasulullah saw, qudwatun hasanah sepanjang zaman. MasyaAllah..hebat!

Apa yang dikatakan bersangka baik kepada Allah?

Kisah Tembikai


Saya nak ceritakan satu kisah antara si isteri, suami, dan 3 biji tembikai.
Satu hari, si suami pulang dari kerja dengan membawa 3 biji tembikai yang dibelinya. Dengan hati yang gembira, si suami segera menyuruh isterinya membelah sebiji tembikai. Akan tetapi, tembikai pertama itu tidak manis.

Lalu si suami menyuruh si isteri membelah tembikai kedua pula. Kali ini, tembikai yang dibelah tidak cukup masak. Si suami yang dari tadi menunggu dengan sabar terus menggesa isterinya membelah tembikai yang ketiga.

Jeng...Jeng...Jeng...

Tembikai yang ketiga itu pula busuk isinya...
Dengan hati yang membara, si suami terus menendang dinding rumah mereka sambil meradang, "Kenapa semua tembikai ni busuk?! Tadi saya cuba rasa sebelum beli OK jer! Ni mesti apek tu tipu saya! Nak kene apek ni... Siap kau!"

Dengan nada selamber tapi sopan, si isteri berkata, "Abang...Abang marah kat siapa ni?"

"Awak tak boleh teka ke? Mesti la saya marah kat apek jual tembikai ni! Bengang betul saya!" balas si suami.

"Owh...Abang marah dekat Allah yer?" sahut si isterinya lagi.

Terkejut mendengar kata-kata si isteri, si suami berkata lagi, "Eh eh isteri aku ni... Awak sakit telinga ke? Bila masa pulak saya marah kat Allah ni? Ada awak dengar saya kata macam tu?"

Sambil tersenyum si isteri menjawab, "Abang...mana apek tu dapat tembikai?"

Suami: "Dari petani la!"

Isteri: "Dari mana petani tu dapat tembikai pulak bang?"

Suami: "Mestilah dia tanam! Takkan tu pun nak bagitau."

Isteri: "Macam mana dia tanam bang?"

Suami: "Dia pakai benih tembikai la. Takkan benih jagung!"

Isteri: Dalam hati (Kerek jugak suami aku ni). "Siapa yang buat benih tembikai tu bang?"

Suami: "Mestilah Allah yang ciptakan."

Isteri: "Jadi...Betullah abang marahkan Allah yer? Abang nak marah apek, dia cuma menjual tembikai sahaja. Abang nak marahkan petani, dia cuma menanamnya aja. Jadi, abang sebenarnya marahkan Allah kerana Dia yang menciptakannya."

Suami: (Terdiam)

**Kita sering mencela makanan yang kita dapati, ujian yang kita tempuhi, dan cabaran yang kita hadapi...tanpa memikirkan dari mana datangnya semua itu. Sememangnya sebagai manusia biasa, kita sering terlupa. Tapi ingatlah, dari Allah datangnya semua ini, dan kepada Allah jugalah kita perlu bersangka baik. Ada hikmah disebalik setiap kejadian. Cuba lah cari hikmahnya. Moga kita akan berlega hati dengan ketentuan yang diberiNya.

Cabaran Bersangka Baik

Untuk bersangka baik terhadap sesuatu perkara bukan mudah. Adakalanya apabila ditimpa sesuatu ujian, kita cepat melatah. Marah menjadi perkara utama dan kadangkala tidak kena pada tempatnya.

Dalam menghadapi sesuatu perkara, hendaklah didahulukan bersangka baik (Husnuzzhon) kerana firman Allah dalam surah al-Hujuurat ayat 12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain."

Ayat ini antaranya menceritakan perihal bersangka buruk yang boleh membawa kepada fitnah dan mengumpat. Susah untuk bersangka baik? Antara perkara yang boleh kita lakukan untuk mendahulukan bersangka baik ialah:

> membayangkan jika kita berada di tempat orang yang difitnah atau diumpat. Macam mana agaknya perasaan kita?
> beranggapan bahawa lebih baik melihat dosa dan kekurangan diri yang perlu diislahkan. Bagaimana la keadaan kita di akhirat kelak?

Daripada Muawiyah r.a berkata: "Aku mendengar Rasulullah bersabda":
"Jika kamu mencari keburukkan orang, maka kamu telah merosakkannya."

Hadis itu bermaksud memberitahu kita bahawa apabila kita bersangka buruk terhadap orang lain, maka kita dengan tidak semena-mena akan terdorong untuk mencari keburukkan orang tersebut.

p/s: Muhasabah diri amat penting untuk kita menilai dan memperbaiki diri. Smoga ada manfaat yang boleh diambil dari post kali ini. Untuk pembaca dan diri saya sendiri. Saya bukan seorang yang sempurna, bukan seorang insan yang baik. Tapi saya seorang insan yang sentiasa cuba untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik.

_*berfikir dan berfikir*_

 
Blogger Templates by Wishafriend.com